Pengakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan
kembali ke parlimen dalam masa yang terdekat ini (beberapa bulan lagi) mungkin
disambut riang oleh sesetengah orang, akan tetapi tidak mustahil mencemaskan
yang lain.
Ertinya apa? Ertinya Anwar akan segera mengambil tampuk
pemerintahan negara ini daripada Tun Dr Mahathir Mohamed dalam tempoh terdekat.
Jika ini benar-benar terjadi, maka ia tidaklah lagi mengikut perancangan asal.
Keadaan begini pernah terjadi sekitar tahun 1998 di
mana Anwar hanya selangkah lagi ke kerusi tertinggi itu, apabila berlaku krisis
beliau dengan Tun M yang berakhir dengan beliau sendiri dihumban daripada
kabinet dan Umno dan seterusnya ke lokap.
Namun suasana itu sudah berubah di mana Tun M sendiri
mengaku hanya akan berada di tampuk itu sekitar dua tahun dan seterusnya akan
diserahkan kepada Anwar.
Pengakuan Anwar seperti yang dipetik oleh The Malaysian
Insight, menunjukkan beliau tidak akan menunggu “turn”nya selama dua tahun
tetapi mungkin lebih awal lagi kerana beliau akan kembali ke parlimen hanya
dalam beberapa bulan sahaja lagi.
Seperti diketahui, Anwar mempunyai kelebihan majoriti
kerusi melalui PKR yang melebihi daripada parti-parti gabungan yang lain. Bahkan
atas kelebihan inilah Wan Azizah pernah ditawarkan jawatan PM namun beliau
menolak. Tun M meskipun secara konsensus dinamakan sebagai PM tetapi memiliki
kerusi paling sedikit dalam gabungan itu.
Kebetulan pula, bukan rahsia lagi kerajaan Tun M yang
baru dibentuk mendapat kritikan ramai antaranya disebabkan kegagalan memenuhi
janji 100 hari. Rata-rata orang bercakap harga minyak yang dijanjikan RM1.50
tidak kesampaian, bonus kakitangan kerajaan yang ciput serta dolak-dalik untuk
cuba melupakan janji 100 hari. Begitu juga dengan kenyataan untuk ‘mengkaji
semula’ kewujudan Jakim tidak kurang melahirkan rasa terkejut dan cemas orang
ramai.
Di tengah-tengah keributan inilah Anwar akan bertanding
dalam pilihan raya kecil dalam tempoh beberapa bulan untuk kembali ke Dewan
Rakyat.
"Saya boleh mempercepatkan proses ini kerana tidak
ada yang salah dengan saya sebagai ahli parlimen," katanya yang dipetik
oleh The Malaysian Insight hari ini.
Anwar berkata beliau tidak akan bertanding kerusi
Pandan, yang dipegang oleh isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri.
"Pandan akan bermasalah kerana Wan Azizah akan
meletak jawatan sebelum ini sebagai timbalan perdana menteri meninggalkan vakum
untuk PKR," katanya.
Pelan untuk Anwar kembali aktif dengan lebih awal
terserlah apabila beliau juga mengumumkan akan meronda rata seolah-olah mahu mendapatkan
sokongan.
"Minggu depan, saya akan pergi ke London untuk
bertemu (bekas naib presiden AS) Al Gore. Beberapa hari selepas Hari Raya, saya
akan berada di Turki kerana Presiden (Recep Tayyip) Erdogan yang telah
mengingatkan saya tiga kali untuk membuat lawatan.
"Dan terdapat beberapa pertemuan penting dengan
pemimpin dunia yang meminta saya melawat mereka. Saya rasa baik sebagai
warganegara Malaysia yang boleh membincangkan hal-hal dan bertemu dengan
kawan-kawan," katanya sambil menambah bahawa Perdana Menteri India
Narendra Modi juga memanjangkan jemputannya.
"Apabila pusingan itu (lawatan) selesai dalam
beberapa bulan, maka saya akan menawarkan diri saya sebagai calon pilihan raya
kecil."
Anwar juga berkata beliau tidak akan
"mengganggu" pentadbiran Tun M, sambil menambah bahawa hubungannya
dengan bekas musuhnya itu adalah "baik".
"Setakat ini, berlaku komunikasi yang sangat baik,
saya akan bercakap dengannya lagi. Malam tadi, saya bercakap dengannya melalui
telefon. Walaupun sibuk, Tun Mahathir juga mengetahui ke mana saya pergi, sama
ada saya menjadi tetamu diraja atau bertemu rakyat, saya memberitahu Mahathir
terlebih dahulu.
"Saya memberi laluan kepadanya untuk mentadbir
tanpa apa-apa gangguan dan saya biarkan dia selesa untuk menjalankan tugasnya,"
jelas Anwar.
Namun harus diingat, ini Anwar! Ketika beliau hanya
selangkah ke puncak 20 tahun dahulu, ada pihak yang melihatnya sebagai tidak
sabar dan terburu-buru sehingga kecundang melalui tuduhan peliwat.
Kini Tun M punyai jawatan dan berada di puncak, namun
Anwar bila-bila masa sahaja boleh menjatuhkan Tun M kerana miliki kerusi yang
lebih di parlimen. Kini, tindak-tanduk Anwar sedang diperhatikan Tun M, sambil
Anwar sendiri sedang bersedia memerhatikan Tun M!
sepatutnya anwar kene sedar, masa dia telah berlalu. tun sedang menyiapkan generasi baru dlm kabinet. az,in ali dan maszlee amat diyakini lebih mampu dari anwar yg hanya tahu meruntuh je..
ReplyDelete