Monday, June 4, 2018

1MDB: Tubuh RCI segera, henti berpolitik

KUANTAN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya segera menubuhkan satu badan siasatan sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau seumpamanya bagi menyiasat kes penyelewengan dan skandal membabitkan syarikat 1MDB.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, penubuhan badan itu penting bagi membolehkan skandal terbabit dapat disiasat secara telus dan tidak terus-terusan dijadikan modal politik.


Tambahnya, kerajaan tidak seharusnyanya menghabiskan masa dengan menjadi penyiasat dan mendedahkan salah laku pihak lain sama seperti mendedahkan barangan dan wang yang dirampas dari kediaman bekas Perdana Menteri terdahulu yang akhirnya tidak diketahui.

“Janganlah biarkan rakyat menghukum dengan akal dengan menjadi hakim sendiri. Sebaiknya Lim Guan Eng beri tumpuan sebagai tugasan menteri kewangan termasuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Guan Eng juga perlu lebih telus mengumumkan tindakan yang akan diambil bagi meringankan beban kewangan negara serta apakah kesan kewangan kepada jabatan atau agensi kerajaan hari ini,” katanya kepada media.

Beliau diminta mengulas mengenai pendedahan Guan Eng mengenai rahsia ‘fail merah’ yang sebelum ini hanya boleh diakses pihak tertentu.

Ini dilihat oleh rakyat seolah-olah sebagai menteri yang menayangkan cerita-cerita penyiasatan yang penuh suspen. Keadaan ini sama dengan bekas orang kuat PKR dahulu Datuk Mohd Ezam Mohd Nor yang sentiasa berbicara soal rahsia ‘7 kotak’.

Mengulas lanjut mengenai pendedahan itu, Andansura yang juga Adun Beserah berkata, panel yang akan dilantik untuk mengetuai RCI perlu bersifat bebas dari mana-mana pengaruh parti politik.

Jelasnya, ini bagi memastikan ketelusan dalam menjalankan siasatan terhadap skandal terbabit. Sementara prinsip PAS jelas, tidak bersalah selagi belum didapati bersalah.

Beliau turut mengkritik cara kerja Guan Eng yang dilihat seolah-olah masih lagi bersifat seperti pembangkang.

“Guan Eng lupa yang sekarang ini beliau adalah kerajaan bukan lagi pembangkang. tapi saya lihat cara kerja beliau seperti pembangkang,” katanya.

No comments:

Post a Comment