Monday, June 25, 2018

61 tahun merdeka, jalan masuk kampung pun masalah

JERANTUT: Bayangkan setelah 61 tahun merdeka, masih ada kampung yang mempunyai masalah jalan raya untuk masuk ke kampung. Ia bukan berlaku di Sarawak atau Sabah malah di negeri Pahang Darul Makmur.

Masalah ini diadukan oleh penduduk dalam lawatan Adun Tahan Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badardin bersama sekretariat Dun berkenaan ke Kampung Batu Balak di sini semalam.

Katanya sehingga kini, anak-anak kampung yang berada di perantauan yang pulang terpaksa meletakkan kenderaan mereka di Pekan Kuala Tembeling, seterusnya menaiki bot dan mendaki tebing untuk sampai ke rumah ibu bapa mereka setiap kali musim perayaan dan cuti umum.

“Kita tidak dapat bayangkan dalam sebuah negara merdeka yang pernah diuarkan sebagai negara maju 2020, dalam sebuah negeri yang kaya dengan hasil bumi dan di daerah yang dikunjungi pelancong dalam dan luar negeri, masih ada masalah seperti ini.


“Justeru saya akan angkat masalah mendesak ini kepada pihak berwajib di mana keperluan asas penduduk selaku pembayar cukai seperti ini perlu diutamakan, “ ujarnya.

Menurutnya, rombongan beliau sendiri terpaksa menaiki pacuan 4 roda untuk sampai ke melalui Jambatan Gemuncor.

Tambahnya, selain daripada itu terdapat lagi dua masalah penting yang perlu diselesaikan segera iaitu bekalan air bersih di mana sehingga kini penduduk masih menggunakan sumber air bukit yang tidak mungkin boleh bertahan lama dengan beberapa faktor kesukaran untuk kegunaan harian.

Tambahnya lagi, satu lagi ialah masalah masjid usang yang tidak dapat menampung bilangan jamaah terutama ketika musim perayaan.

Kawasan berkenaan pernah diwakili oleh Ahli Parlimen yang bertaraf menteri (Datuk Sharif Ahmad) dan dua timbalan menteri (Wan Abu Bakar Wan Mohamad dan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar) namun keadaan tidak banyak berubah.

Ustaz Zakhwan sebelum itu menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Saudara Akma di Jalan Belida yang rumahnya dilanda ribut petang semalam sehingga mengakibatkan sebahagian besar atap di ruang utama rumahnya tercabut (lihat gambar).

Sebuah lagi keluarga yang diziarahi ialah rumah Pak We Mustafa di Jalan Temalian yang rumahnya dinaiki air akibat petang kelmarin akibat banjir kilat yang berpunca dari sistem perparitan.

Ustaz Zakhwan mengambil tindakan pantas memaklumkan kepada agensi-agensi yang berkaitan termasuk Majlis Ugama Islam Pahang Cawangan Jerantut dan tindakan selanjutnya akan diambil.

Untuk rekod, Dun Tahan merupakan kawasan paling luas di Pahang. Sehingga seorang rakan Adun PAS berseloroh, “jika dicantumkan tujuh Dun yang PAS menangi masih tak sebesar Dun Tahan”.

No comments:

Post a Comment