Monday, October 3, 2011

Dr M akui PR akan menang BN tewas

BN sukar kekal kuasa

JITRA - Tun Dr Mahathir Mohamad menjangka peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang dan mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum (PRU) akan datang agak tipis.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, ini kerana semangat perjuangan dalam BN terutama Umno kini dilihatnya semakin pudar.

“Kebanyakan hanya bersemangat untuk dapatkan jawatan dalam parti,” katanya.

Selain itu, budaya cantas-mencantas dalam parti itu kini di tahap kritikal.

“Ini akan berlarutan hingga pilihan raya. Jika sikap ini masih tidak diubah, peluang untuk kita menang saya boleh kata, agak tipis,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, dalam Umno juga masih wujud sikap berpuak.

“Apabila Presiden (Umno) umumkan calon, ada saja protes konon calon yang dipilih itu pasti kalah. Jika orang lain dipilih, orang yang tidak dipilih pula cantas calon yang dipilih.

“Kita sepatutnya sokong bukan protes calon parti sendiri,” katanya kepada pemberita selepas selepas menyampaikan Bicara Negarawan pada Perhimpunan Perdana Siri 2, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) peringkat negeri di Dewan Wawasan di sini, semalam.

Kira-kira 2, 000 pemimpin JKKKP seluruh Kedah menyertai program itu yang turut dihadiri Pengerusi Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Mohd Hanipah dan timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir.

Dr Mahathir berkata, jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, undi yang diperolehi BN dijangka akan lebih merosot, malah peluang untuk menang juga tipis.

“Kalau nak menang, dalam Umno tak boleh ada puak. Ahli tak boleh setia pada pemimpin tetapi setia pada parti. Apabila pemimpin itu tak jadi calon, calon yang dipilih tak dapat sokongan (ahli), mulalah nak tutup bilik gerakan. Ahli Umno kena tinggalkan pera-ngai tikam belakang,” katanya.

Katanya, budaya ini tidak wujud dalam Umno dahulu kerana ahli Umno pada masa itu ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air atas landasan parti.

“Orang Umno dulu walaupun tak dapat habuan, sanggup berkorban harta dan wang ringgit untuk sokong perjua-ngan parti. Sekarang, kebanyakan ahli hanya harapkan balasan, pegang jawatan sebab mahu dapat kontrak.

“Mahu dapatkan jawatan dan mahu jadi wakil rakyat, yang nak jadi perdana menteri pun ada,” katanya.

Dr Mahathir berpendapat, PRU-13 belum sesuai diadakan sekarang.

“Banyak lagi perlu dibuat untuk kukuhkan parti sebab Umno belum cukup kuat. Jika dibuat sekarang, tempoh untuk pulihkan Umno tidak sempat dilakukan untuk berdepan saingan pihak lawan.,” katanya.

~ Sinar Harian

1 comment:

  1. Itulah hakikatnya........
    Bolehlah bersiap siap sediakan tapak diPutra Jaya untuk bina tugu peringatan.....

    ReplyDelete