Beberapa orang warga pendidik tampil menyatakan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mempergunakan program yang sepatutnya memantapkan institusi pendidikan, sebaliknya menjadi agenda Umno menghentam Pakatan Rakyat (PR).
Tidak cukup dengan itu, program sehari yang dinamakan Seminar Pemantapan Warga Pendidikan Negeri Pahang di Hotel Vistana, Kuantan pada Rabu 28 September lalu itu, menjadi medan ceramah kutukan selain diedarkan bahan risalah serta VCD yang memburukkan kerajaan dan pemimpin PR.
Serentak dengan itu, mereka mahu pihak Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) disiasat bagaimana boleh bersekongkol dengan Umno kerana bagi mereka bidang pendidikan tidak boleh digadaikan dengan kepentingan politik berparti seperti itu.
Salah seorang daripada mereka berkata JPNP mesti bertanggungjawab bagaimana pihak mereka boleh memperalatkan guru-guru yang hadir ke program berkenaan hanya untuk mendengar kempen Umno.
“Lima orang guru dari setiap sekolah di negeri ini dipaksa hadir dengan meninggalkan waktu persekolahan dan kelas masing-masing. Tetapi apa yang terjadi program yang sepatut dimantapkan pendidikan menjadi medan kutukan, tohmahan dan penghinaan yang dilemparkan kepada parti pembangkang.
“Kami guru-guru bukannya tunggul kayu yang tidak boleh menilai yang buruk dan baik. Sedangkan negara ini demokratik yang membenarkan individu memilih pendirian politik masing-masing. Jadi kenapa tergamak guna kesempatan ini untuk berkempen Umno sekali gus memburukkan PR?
“Apa yang terjadi jelas merosakkan kredibiliti jabatan pelajaran sendiri sebagai penganjur yang diamanahkan menjaga hal ehwal pendidikan selama ini tetapi tiba-tiba lari dari matlamat dan dipergunakan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu,” katanya.
Tambahnya yang enggan dikenali, program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Fuad Zarkashi sementara antara penceramahnya ialah Prof. Dato' Dr. Siddek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ezam Mohd Noor.
Katanya selain ceramah menghasut termasuk mengungkit kes liwat Anwar, guru-guru yang hadir untuk mengambil ilmu berguna tentang pendidikan dibekalkan pula dengan bahan risalah serta VCD yang memburukkan PR.
“Dulu kami pernah dengar imam-imam dipanggil oleh jabatan tertentu untuk mendengar tohmahan tentang PR. Kami juga pernah dengar belia-belia dipanggil untuk tujuan yang sama. Tak sangka pula hari itu giliran kami warga pendidik yang terpaksa menadah telinga.
“Bagi kami kempen cara ini amat mengecewakan, dukacita dan jelas sekali mahu memperbodohkan golongan pendidik yang selama ini dihormati masyarakat, tetapi tidak oleh parti pemerintah.
“Kami tidak mahu perkara ini diulang lagi pada masa depan dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran mesti ambil tahu dan siasat hal ini,” desaknya.
No comments:
Post a Comment