Monday, May 9, 2011

Pahang negeri di bawah laut 250 juta tahun dulu

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa jutaan tahun dahulu negeri Pahang dan sekitarnya yang ada pada hari ini, merupakan dasar lautan yang dihuni oleh cengkerang primitif. Kenyataan ini dibuktikan melalui penemuan fosil cengkerang yang berusia antara 200-250 juta tahun lampau di Kuala Lipis baru-baru ini.

Bahan purba yang sama pernah ditemui di Mentakab sebelum ini

Menurut akhbar Sinar Harian hari ini, Penyelidik Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Rosli Othman berkata, fosil cengkerang itu telah ditemui di Taman Emas, Lipis pada satu singkapan batuan yang merupakan tapak cadangan untuk pembinaan perumahan yang terletak di atas permatang bukit.

Katanya, fosil cengkerang tersebut yang ditemui dalam pelapisan batu pasir adalah dari jenis cengkerang dwikatup berkulit keras yang lazimnya hidup di persekitaran laut cetek.

“Kawasan Kuala Lipis sememangnya mempunyai banyak kawasan berfosil. Dari kawasan inilah rekod fosil terawal didokumentasikan di Malaysia oleh ahli paleontologi dari British iaitu Newton pada tahun 1900 .

“Fosil cengkerang ini hanya boleh ditemui di permatang bukit sahaja dan para penyelidik percaya lebih banyak fosil boleh ditemui di sepanjang lima kilometer permatang bukit di kawasan Taman Emas ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad Rosli berkata, fosil cengkerang yang ditemui tersebut adalah hidupan lautan dan memberitahu kepada umum bahawa kawasan Kuala Lipis satu ketika dahulu berada di bawah permukaan laut.

Menurutnya, fosil cengkerang yang ditemui di Lipis lebih tebal kerana hidup di persekitaran laut cetek berbanding di Mentakab yang mempunyai cengkerang nipis kerana kawasan berkenaan merupakan laut dalam serta tidak bergelora.

“Berdasarkan kajian geologi, hidupan primitif ini pernah hidup di sekitar 237-228 juta tahun lampau. Tempoh ini dikelaskan dalam usia geologi sebagai zaman Trias Tengah di mana zaman bermulanya dinosaur.

“Fosil cengkerang seperti ini juga turut ditemui di Cegar Perah, Temerloh, Bahau, Gemas dan Aring. Ini menunjukkan bahawa kawasan-kawasan tersebut juga pernah dilitupi oleh lautan pada masa itu,” katanya.

Ahmad Rosli berkata, fosil cengkerang ini perlu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang kerana ia adalah salah satu sumber warisan geologi yang tidak boleh diperbaharui.

“Saya menyarankan agar tapak penemuan batuan fosil terbabit dapat dipulihara untuk penyelidikan saintifik tempatan dan luar negara menjalankan kajian di kawasan terbabit.

“Selain itu, tapak berkenaan juga perlu dipeliharajavascript:void(0) agar generasi akan datang dapat belajar sesuatu tentang kehidupan lampau yang sudah lama wujud,” katanya.


2 comments:

  1. Patutlah masa kami meneroka Gua-Gua di Pahang beberapa tahun dahulu jumpa hidupan laut seperti kerang,siput dll.

    ReplyDelete
  2. Dinding gua-gua itu sendiri terbina dari kulit-cengkerang jutaan tahun lampau. Hidupan laut yang mazlanyasin jumpa itu adalah lebih muda usianya iaitu kira-kira 1.6 juta tahun lampau. Ahmad Rosli

    ReplyDelete