Kebanyakan blog sudah meneka-neka bahawa bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin akan keluar daripada parti itu dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam waktu terdekat. Bagaimanapun jika pun keluar PKR, Badrul Hisham, yang turut dikenali sebagai “Chegubard”, akan kekal bersama Pakatan Rakyat (PR) dengan menyertai sama ada PAS atau DAP.
Beliau yang tewas tipis dalam pemilihan ketua Angkatan Muda PKR akhir tahun lalu sudah membincangkan perkara itu bersama rakan-rakannya dalam parti itu dan membayangkan “sudah sampai masanya” berbuat demikian.
Blog sahabat Wartawan Reformasi menyebut, ada banyak sebab mengapa Chegubard memutuskan untuk keluar, dengan ada halangan kepada dia daripada menjalankan program, aduan Chegubard mengenai pemilihan pusat tahun lalu juga belum selesai sampai sekarang.
Badrul Hisham juga merupakan ketua cabang PKR Rembau.
Pada pilihan raya umum 2008 beliau bertanding di kerusi Parlimen Rembau menentang Khairy Jamaluddin iaitu Ketua Pemuda Umno dan Pemuda BN.
Sumber ibu pejabat PKR yang dihubungi juga mengesahkan ada mendengar desas-desus itu tetapi tidak dapat disahkan kesahihan.
“Saya ada dengar Chegubard sudah berkongsi pendiriannya dengan beberapa pengikut dan penyokongnya baru-baru ini,” kata sumber itu lagi.
Sumber juga berkata beberapa pemimpin kanan PKR juga sedia mengetahui keputusan Badrul Hisham itu, yang akhir tahun lalu turut menolak pelantikan sebagai penolong setiausaha agung PKR selepas tewas pemilihan.
Badrul Hisham merupakan antara beberapa pemimpin mempertikaikan proses pemilihan tahun lalu.
Ketika ditanya parti yang bakal sertai, sumber terdekat dengannya berkata, “pilihan Chegubard adalah sama ada PAS atau DAP.”
“Kemungkinan besar DAP, sebab parti itu memerlukan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Melayu di mana Chegubard merasakan boleh menyumbang melalui DAP,” kata sumber itu.
Dalam entri terbaru di blognya kelmarin, Badrul Hisham ada menyentuh tentang DAP dan keperluan kepimpinan Melayu dalam parti itu.
Antaranya kata beliau, “DAP tidak anti-Melayu” tetapi momokan media dengan parti-parti yang berkuasa telah membuat orang Melayu mempunyai perasaan takut kepada dominasi parti itu kalangan kaum Cina.
“Maka yang menggunakan sentimen rasis ini adalah Umno dan ini hakikat. Takkanlah saya keliru kerana saya juga pernah bergiat aktif dalam Umno dan itu perkara yang di antara sesama Melayu memahaminya,” katanya.
Kata Badrul Hisham, jika DAP menunjukkan kepada rakyat bahawa ia adalah parti untuk semua kaum, maka DAP sepatutnya meletakkan beberapa calon Melayu.
“Dan, jika ini dilakukan oleh DAP, maka yang pasti akan terjadi parti itu akan mendapat sokongan dari sebahagian pengundi Melayu di dalam pilihanraya yang akan datang,” katanya lagi.
Kenyataan itu dibuat oleh blogger Cucu Mat Kilau (CMK) hasil pertemuannya dengan Chegubard di sebuah restoran mamak dekat bandar Kuantan, pada 2 Mei lalu.
“Dalam berbual, Chegubard sekali lagi meluahkan perasaan terkilan beliau akibat kegagalan PKR menyelesaikan kemelut pemilihan 2010 lalu. Parti katanya, seolah-olah cuba mengalih pandangan dan mahu beliau melupakan apa yang sudah berlaku, sedangkan perkara itu sepatutnya diselesaikan seperti janji dua minggu yang dibuat oleh Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution semasa Kongres PKR di Petaling Jaya tahun lalu.
No comments:
Post a Comment