Wednesday, May 18, 2011

Zahid Hamidi suruh kerajaan kaji dulu sebelum naik harga minyak

Saya agak terperanjat juga apabila membaca seorang menteri kanan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, meminta kerajaan menjalankan kajian secara mendalam sebelum membuat keputusan untuk menaikkan harga minyak petrol RON95.

Saya hairan, tetapi orang lain saya tak pastilah.

Sebagai seorang anggota kabinet yang membuat dasar dalam kerajaan, beliau pula yang menasihatkan kerajaan supaya mencari satu mekanisme lain bagi menjimatkan pemberian subsidi untuk bahan bakar itu.

Saya pelik, apakah selama ini apabila kerajaan bertindak menaikkan harga barangan, perkara yang ‘sangat besar’ sehingga melibatkan kepentingan rakyat itu, tidak pernah dibincangkan dalam kabinet?

Siapakah selama ini yang menetapkan kenaikan harga minyak, gula, tepung, dan lain-lain barangan itu? Apakah individu ataupun ‘panel menaikkan harga barang’ itu lebih besar statusnya daripada barisan kabinet dan Naib Presiden Umno?

Zahid yang juga Menteri Pertahanan, dalam akhbar Sinar harian hari ini, berkata kerajaan dalam keadaan serba salah jika harga minyak tidak dinaikkan, kerana akan meningkatkan defisit kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika program gotong royong (sebenarnya berkempen utnuk Umno) ‘tentera masuk kampung’, di Masjid Kampung Sungai Gau, Temerloh.

Kenapa pula apabila tidak naikkan harga minyak, kerajaan terpaksa menanggung defisit? Bukankah Malaysia merupakan negara pengeluar minyak seperti Brunei, Arab Saudi, Venezuela dan lain-lain?

Ke mana perginya wang bayaran eksport minyak ke luar negara selama ini? Apakah akaun jualan minyak diasingkan daripada akaun kerajaan?

Bagaimana pula dengan wang barangan eksport lain seperti minyak sawit, emas, getah dan lain-lain?

Kenapa tidak ada ketelusan dalam urusan dagangan dan apakah tindakan menaikkan harga minyak (yang pastinya membuatkan rakyat bertambah papa kedana akibat kenaikan harga barang) merupakan pilihan terakhir kerana kerajaan amat terdesak?


No comments:

Post a Comment