Thursday, November 25, 2010

Satu ahli satu undi tidak semestinya terbaik?

Hak seseorang ahli dalam sesebuah pertubuhan terjamin bagi memilih seorang pemimpin yang diidamkannya. Dengan lain-lain perkataan, seorang ahli berhak memilih pemimpin yang beliau suka melalui pemilihan.

Namun begitu, apakah mekanisme yang membolehkan seseorang itu betul-betul secara mutlak boleh menentukan pemimpin pilihannya? Seandainya sesebuah pertubuhan itu memiliki sejuta ahli, bagaimanakah cara atau kaedahnya tiap-tiap kepala ahli yang sejuta itu boleh mengundi pemimpin pilihan mereka?

Saya mempunyai seorang rakan akrab dari Pahang, yang melihat jauh kehadapan dalam demokrasi, termasuk dalam PAS sendiri berkaitan urusan memilih kepimpinan. Dalam Muktamar Agung PAS ke 56 yang lalu beliau berucap bagi melaksanakan ideanya, iaitu membahaskan usul memperkasakan parti yang dibawa oleh Dewan Ulamak.

Namun ucapannya telah menimbulkan kontroversi.

Antara lain beliau mahukan sejuta ahli diberi peluang untuk memilih presiden. Sedangkan pada masa ini kepimpinan dipilih melalui undi perwakilan daripada kawasan-kawasan dalam Muktamar Agung. Perwakilan ini pula merupakan sebahagian AJK Kawasan yang dipilih oleh perwakilan Cawangan dalam Mesyuarat Agung Kawasan.

“Kita mahu merakyatkan PAS... jadi kita rasakan ahli-ahli lebih berkuasa daripada presiden, jadi mestilah ahli-ahli diberi peluang memilih pemimpin-pemimpin mereka di segenap peringkat, bukannya ditentukan oleh perwakilan semata-mata,” katanya.

Saya fikir idea rakan saya itu baik, namun ia tidak demestinya praktikal.

Berdasarkan pemilihan kepimpinan melalui akar umbi yang baru dijalankan oleh Parti Keadilan Rakyat, tidak semestinya cara seorang ahli satu undi itu yang terbaik, Sekurang-kurangnya buat masa ini.

Pertama, berlakunya kekecohan yang tidak sedikit kerana sistem yang baru dijalankan itu (satu ahli satu undi) belum benar-benar dihadamkan oleh ahli di samping menimbulkan kekeliruan. Sepatutnya persediaan rapi dan percubaan demi percubaan mestilah dilaksanakan kerana itu mekanisme baru yang banyak mengelirukan ahli.

Kedua, peratusan mengundi yang sangat kecil. Ada yang menganggarkan peratusan keluar mengundi di sekitar bawah 10%. Ini menggambarkan kesedaran demokrasi di kalangan ahli masih sangat rendah dan yang terpilih tidak melambangkan pilihan majoriti.

Dengan kata lain, hasrat bagi melihat 400,000 ahli PKR masing-masing mengundi pemimpin tidak tercapai dan jauh daripada sasaran. Ertinya bukanlah senang merealisasikan sesuatu pembaharuan apa lagi persediaan rapi tidak dibuat.

Jadi kesimpulannya saya fikir teori seorang ahli diberikan satu undi secara langsung itu tidak semestinya yang terbaik pada masa ini. Meskipun saya dengar Umno juga akan melaksanakan pemilihan seperti itu.

Seperti kata seorang sahabat, jika Umno melaksanakan pemilihan sebegitu rasuah undi akan lebih berleluasa, hilang kawalan dan yang sangat berkuasa pada ketika itu ialah Ketua Umno Cawangan.





3 comments:

  1. maaf saya mohon berbeza pandangan.hujjah sdr melihat kpd 'kekecohan' dan jumlah pengundi yg sikit tidak dpt dipertahankan.isu kecoh ini saya kira melanda semua parti,cuma skala dan cara ianya diolah oleh media,itu sahaja;manakala tentang yg keluar mengundi,hakikatnya dari sekian juta pengundi dlm daftar spr,tidak semua yg keluar pun.pun begitu saya akui ada kelemahan dan kekurangan tetapi inilah yg terbaik.mana yg lebih bagus-20 orang perwakilan yg undi lantik pemimpin atau seluruh anggota parti di berikan hak?juga anggota yg berlainan latarbelakang,dari jutawan hingga ke tukang kasut diberikan hak yg sama.ertinya segala kelemahan yg ada tidak bermakna sistem ini tidak praktikal atau tidak boleh dilaksanakan kerana sistem inilah yg paling baik dgn segala kelemahannya.tk
    p/s.cuba sdr baca Buku Hijau atau The Green Book tulisan Muammar Gadhafi Libya,mungkin boleh dijadikan sandaran

    ReplyDelete
  2. Pertamanya, saya “angkat tabik” kepada sdr Nizam kerana sikapnya mempertahankan parti walau dalam keadaan apapun, ini sudah tentu harus dipuji dan disanjungi sebagai seorang pendokong. Kerana yang ramainya ialah apabila parti dalam keadaan tertekan, lebih ramai yang suka mengkritik atau mengambil kesempatan.

    Perlu diingat, artikel di atas fokusnya adalah dalam konteks PAS sementara “kekecohan” dalam pemilihan PKR hanyalah merupakan satu contoh bahawa tidak semestinya “satu ahli satu undi” adalah terbaik.


    Penulisan di atas terbit di atas satu semangat, iaitu mempertahankan parti dalam apa keadaan pun. Seperti sdr Nizam, saya juga suka mengambil sikap mempertahankan parti walau dalam keadaan apa sekalipun, termasuk apabila ada ahli sendiri yang mengkritik bahawa PAS tidak demokratik kerana menggunakan sistem “perwakilan”. Ada ahli (PAS) sudah pandai membandingkan betapa “demokratik”nya PKR berbanding PAS!

    Itu sahaja.

    Apa bezanya jika dalam pemilihan dibuka kepada satu ahli satu undi sedangkan hakikatnya yang mengundi hanya sekitar 5%, dengan sistem yang sedang diamalkan dalam PAS melalui perwakilan?

    Jawapnya tidak ada beza, sebab semua ahli (dalam sistem perwakilan) tetap diberikan hak mengundi pemimpin yang dikehendaki tetapi tidak secara langsung iaitu melalui wakil yang dipilihnya di Kawasan untuk membawa mandat ke pemilihan pada muktamar agung.

    Dalam konteks inilah saya merasakan PAS masih relevan dengan sistemnya. Kecuali apabila jamaah memutuskan PAS pada satu hari nanti menggunakan sistem yang digunapakai oleh PKR, maka pada hari itu saya akan bersama parti mempertahan sistem baru itu. Sebab, saya sama macam sdr Nizam iaitu mempertahan parti dalam apa keadaan sekalipun.

    Mengenai perhatian pihak media yang luar biasa bagi memperburuk-burukkan keadaan, itu saya setuju. Sebagai sebuah parti yang usianya lebih lewat daripada kemerdekaan negara, PAS sudah melalui semua itu. Apa yang tidak dituduh kepada PAS? Komunis? Pengganas? Pemecahbelah? Diktator? Ketinggalan zaman?

    Media musuh adalah propaganda dan gerak saraf parti pro-penjajah yang tidak pernah memperhitungkan soal dosa dan pahala.

    Cuma dalam konteks pemilihan kepimpinan ini, kita sudah tentu tidak wajar meletakkan media musuh sahaja sebagai punca kesalahan atau kekecohan, kerana sifat media penjilat Umno itu samalah seperti langau yang sentiasa suka menghurung tahi.

    Apa yang lebih penting ialah bagaimana persediaaan, persiapannya dan muhasabah serta post-mortem sistem yang agak kontroversi itu. Selebihnya, kita bertawakkallah kepada Allah.

    Melihat kepada keputusan Umno hari ini yang menangguhkan pemilihan mereka berdasarkan sistem baru ‘satu ahli satu undi’, saya rasa Umno pun sebenarnya takut untuk melaksanakan idealisme tersebut!

    ReplyDelete
  3. saya ingin tarik perhatian sdr tentang sikap saya bahawa saya bukanlah seorang fanatik kpd parti atau jamaah!jadi telahan sdr saya pertahankan parti dalam keadaan sekalipun sedikit tersasar.

    sikap saya ialah akan pertahankan atau mungkin lebih tepat berikan pandangan saya tidak kira berkaitan PKR mahupun PAS atau yang lain jika saya fikir ada keperluannya.dan dalam isu ini kebetulan yg sdr kritik ialah PKR;jika keadaan sebaliknya,PAS yg buat dan dikritik,saya akan tetap berikan pandangan saya juga.malah jika sdr perhatikan 'pertualangan' saya dalam politik dan sebagai manusia,terlepas dari dilihat mendabik dada,saya yakin sdr akan dapat melihat watak saya pertahankan PAS dan sesiapa shj.

    saya tentunya tidak bermaksud mahu mengubah pendirian sdr bhw pemilihan terus PKR lebih aula daripada PAS;bukan itu maksud saya sedari mula.yang saya pertahankan ialah sistem pemilihan terus ini memberikan hak dan peluang kepada setiap dan kesemua ahli untuk memilih pimpinan mereka;isu hanya sekian peratus yg keluar mengundi saya kira bukan penanda aras yg tepat kerana jika dibandingkan dgn umno umpamanya,jika tidak khilaf,sekadar 0.07% shj ahlinya memilih presiden.berlapang dada,sdr bandingkan dgn jumlah anggota PKR yg keluar mengundi walaupun masih sedikit tetapi jauh lebih besar dari umno.
    berkenaan dgn kekecohan saya setuju dgn sdr tidak boleh dipersalahkan 100% media umno kerana ada kekurangan dlm pengurusan.ini saya akui malah kelemahan turut diakui oleh parti.

    terima kasih atas tanggapan

    ReplyDelete