Tuesday, February 21, 2012

10 penduduk fail saman halang operasi Lynas

KUANTAN: Seramai 10 wakil penduduk berada antara tiga ke 10 kilometer dari kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, memfailkan permohonan semakan penghakiman ke atas lesen operasi sementara Lynas yang diluluskan 30 Januari lalu.

Saman difailkan pada Jumaat lalu itu memohon perintah penggantungan iaitu menghalang Lynas daripada memulakan operasi sehingga semakan kehakiman tersebut dilupuskan.

Pihak Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar di Jabatan Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd dinamakan sebagai responden.

Pemohon-pemohon pula ialah Zakaria Abdullah, Ramli @ Kamaluddin Awang, Ab Sani Ahmad, Mohd Rasid Hamzah, Mansor Bedu, Ali Akbar Othman, Hashim Bin Awang, R. Nadarajan, Pang Chee Kian dan Tuw Yin Lan kerana hilang kepercayaan terhadap agensi berkaitan yang dipertanggungjawabkan kerajaan.

Saman difailkan dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui syarikat gumana Kanesalingam & Co.

Dalam afidavit mereka, antara lain pemohon-pemohon membuat pernyataan bersama semua mereka tinggal dalam lingkungan radius 30 batu daripada tapak operasi Loji Lynas Advanced Material Plant
(LAMP) menyebabkan keluarga mereka bakal terjejas secara langsung daripada segi kesihatan apabila melepaskan sebarang sisa radioaktif.

“Tambahan pula, keluarga kami juga berasa sangat risau dan cemas bahawa ikan yang dibeli daripada nelayan tempatan juga sayur-sayuran, buah-buahan, ayam dan daging daripada pasaran tempatan akan dirosakkan oleh sisa radioaktif.

“Oleh itu, dalam apa jua keadaan sekalipun adalah merbahaya untuk kami mengambil mana-mana hasil pemakanan sebaik sahaja Tapak LAMP memulakan operasi. Malah, air yang kami minum juga akan tercemar.

“Sesungguhnya, cara hidup kami secara keseluruhannya akan diprejudis secara serius sekiranya operasi bermula sedangkan kami mempunyai hak yang dilindungi di bawah perlembagaan untuk menikmati persekitaran yang Bersih”.

Afidavit tersebut turut menyatakan Lynas bersedia untuk memulakan operasi dalam tempoh enam minggu dari pengeluaran TOL.

Sedangkan nadir bumi boleh diproses menjadi oksida dalam 10 hari bermulanya operasi. Ini akan mengakibatkan penghasilan sisa radioaktif dengan serta-merta.

“Oleh yang demikian, ia adalah sangat merbahayakan dan terdapat risiko berlakunya penghasilan sisa radioaktif pada minggu menyebabkan kerosakan yang tidak boleh diselamatkan kepada kami, keluarga kami dan persekitaraan kita.

“Dalam keadaan ini kami memohon satu Perintah seperti yang dipohon dan satu perintah penggantungan yang mempunyai kesan untuk menghalang Lynas daripada memulakan operasi sehingga Semakan Kehakiman ini dilupuskan”.

Afidavit tersebut turut disokong afidavit pakar kimia dan sains material Dr Lee Chee Hong.


No comments:

Post a Comment