Thursday, September 1, 2011

Debat merdeka perlu demi serlah kebenaran

Politik dan propaganda Umno tidak terhenti dengan sambutan hari raya yang jatuh serentak dengan ulang tahun kemerdekaan tahun ini.

Jika lidah rasmi Umno akhbar yang sesekali mempromosikan video porno dan sesekali menyiarkan kartun menghina hukum Islam Utusan Malaysia terus menyerang Timbalan Presiden PAS dalam isu serangan terhadap polis penjajah di Bukit Kepong, media propaganda Umno Tv 3 juga terus membangkitkan kekeliruan dalam isu yang sama.

Propagandanya disiarkan melalui ucapan-ucapan dan ulasan pengampu dimanupulasi menjadi serangan politik tanpa Haji Mohamad Sabu sendiri diberi peluang untuk membuat penjelasan. Medium yang ada digunakan untuk menghentam, bukannya memberi penjelasan.

Jalan ceritanya cuma satu, iaitu Umno mahu menggambarkan hanya parti itu yang menjuarai perjuangan kemerdekaan.

Tapi pernahkah mereka menilai balik kenapa sambutan kemerdekaan atau sikap patriotik dengan mengibarkan bendera tidak dihiraukan langsung oleh majoriti rakyat? Mengapa rakyat teramai seolah-olah tidak menghargai langsung detik-detik kemerdekaan? Kenapa kemerdekaan yang dianggap begitu bermakna di negara-negara lain, tetapi tidak begitu di sini?

Semuanya kerana fakta perjuangan kemerdekaan yang sebenar sudah dipesongkan, dan sudah tentu oleh Umno sehingga rakyat meluat dengan sejarah kemerdekaan yang sudah berbaur dengan propaganda dan gerak saraf politik kepartian.

Kenapa dalam sejarah kemerdekaan negara tidak disebut langsung peranan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy) yang terlebih dahulu menuntut kemerdekaan?

Saya pernah menemubual bekas anggota PKMM Allahyarham Ustaz Jamaher Idris pada satu masa dulu.

Katanya PKMM yang ditubuhkan sebelum Umno itu (sekitar 1943) pada masa itu terus melaungkan tuntutan merdeka daripada penjajah Inggeris. Umno yang ditubuhkan oleh pegawai-pegawai kerajaan dan anak didik Inggeris kemudian, hanya melaungkan slogan “hidup Melayu”.

Sehinggalah kira-kira tahun 1950 apabila Umno berada di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman, slogannya ditukar kepada “merdeka”. Tetapi kena ingat, bahawa bahang dan tuntutan kemerdekaan ketika itu telah meluas di kalangan segenap peringkat rakyat di seluruh tanah air.

Tidak ada siapa pun yang menafikan peranan pemimpin Umno (lama) berusaha menuntut perisytiharan kemerdekaan bertulis daripada penjajah. Tetapi perlu diingat, semua kelompok pejuang kemerdekaan lain seperti PKMM, PKM, Hizbul Muslimin, Api, Awas, Peta dan sebagainya telah diharamkan oleh penjajah Inggeris pada 1948 sementara pimpinan dan anggota mereka diburu, diberkas dan sumbat ke penjara ISA!

Kenapa Umno tidak diharamkan? Kenapa pemimpin mereka tidak “diusik”? Dalam masa pejuang kemerdekaan merengkok di penjara, diburu di hutan dan dibunuh oleh tentera penjajah, tidakkah pemimpin Umno masih boleh duduk dan minum-minum sambil berbincang dengan kepimpinan penjajah?

Semua pengorbanan dalam tuntutan sejarah menuntut kemerdekaan ini digelapkan dalam buku-buku sejarah pelajar sekolah. Yang hanya tertonjol ialah Umno memerdekakan negara sedangkan rakyat melihat bagaimana pemimpin Umno hari ini yang berada di puncak kekuasaan berlumba-lumba mengumpulkan kekayaan, rasuah dan berbuat apa sahaja sekehendak hati.

Apakah rakyat boleh ditutup mata terhadap semua ini?

Kenapa rakyat seolah-olah tidak berbangga dan tidak menghargai kemerdekaan negara jika diukur daripada kibaran bendera gemilang?

Akhirnya saya fikir debat kemerdekaan mesti diadakan secara meluas bagi menarik kembali ghairah anak muda berbicara tentang kemerdekaan. Yang benar mesti serlahkan kerana sejarah tetap sejarah.

Jika Karangkraf boleh menemukan Ambiga dan Wan Ahmad dalam isu pilihan raya, Tuan Ibrahim dengan Harussani dalam isu ulamak, maka saya fikir Haji Mohammad Sabu juga boleh berdebat atas satu pentas dengan Muhyiddin Yassin dan lain-lain yang dirasakan perlu.

Tindakan mengaitkan ‘hanya Umno pejuang kemerdekaan’ boleh mengakibatkan generasi muda dan akan datang makin jauh daripada penghayatan kemerdekaan sebenarnya. Dan inilah harganya sebuah penipuan!


No comments:

Post a Comment