Monday, September 26, 2011

Lantikan Isa sebagai Pengerusi Koperasi Felda tidak sah

SEREMBAN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan membantah tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantik Pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) kerana pelantikan itu tidak menepati tiga syarat undang-undang kecil KPF.

Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata tindakan Najib melantik Mohd Isa jelas menyalahi tiga syarat yang terdapat dalam undang-undang kecil KPF.

Menurutnya, undang-undang kecil itu menyebut “Seseorang yang dilantik menjadi Pengerusi KPF mestilah merupakan seorang Peneroka Felda atau Anak Peneroka Felda atau memegang jawatan tetap di dalam Felda.”

Tegas beliau, “Mohd Isa bukan seorang Peneroka Felda. Bukan juga bukan anak Peneroka Felda dan bukan seorang yang berjawatan tetap di dalam Felda. Jawatan beliau sebagai Pengerusi Felda hanyalah jawatan bertaraf kontrak.

“Maka jelas disini Najib menyalah guna kuasa dengan melanggar undang-undang kecil KPF”, kata Mohd Nazree.

Malah pelantikan Mohd Isa oleh Najib juga tidak ada merit kerana prestasi Felda sendiri tidak baik sejak beliau menjadi Pengerusi Felda.

Kes-kes saman peneroka terhadap pengurusan Felda menunjukkan kegagalan pentadbiran Mohd Isa yang jelas menindas peneroka.

“Pinjaman Felda daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebanyak RM6 billion juga berlaku ketika Mohd Isa menjadi Pengerusi Felda. Malah Najib melantik Mohd Isa pada bulan Ogos lepas ketika Pengerusi KPF asal Dzulkifli Abdul Wahab sedang mengerjakan Umrah di Mekah.

“Saya difahamkan pelantikan Mohd Isa menggantikan Dzulkifli ini dibuat tanpa pengetahuan Dzulkifli sendiri yang juga merupakan Pengarah Besar Felda dan Ahli Lembaga Pengarah yang lain,” ujar Mohd Nazree.

Mohd Nazree berkata Najib harus menjelaskan kepada umum terutama warga Peneroka Felda apakah rasionalnya beliau melantik Mohd Isa dalam keadaan tergesa-gesa dan jelas melanggar undang-undang kecil KPF.

“AMK Negeri Sembilan mendesak agar pelantikan Mohd Isa ditarik balik dan dibuat siasatan bagaimana proses pelantikan boleh dibuat tanpa prosedur yang betul. Kita bimbang pelantikan seumpama ini boleh menjejaskan integriti pengurusan KPF”, ulas Mohd Nazree lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, ketika diminta mengulas isu tersebut berkata beliau sedia maklum isu tersebut dan isu tersebut akan dibawa ke Sidang Parlimen pada bulan Oktober ini.

“Yang pasti pada Sidang Parlimen bulan hadapan kami (Pakatan Rakyat) akan buat satu kejutan atau pendedahan besar berhubung kes ini”, kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

~ FMT

No comments:

Post a Comment