Itulah Tuhan empunya kuasa.
Beberapa tahun lalu tiada siapa yang mampu menduga bahawa parti-parti komponen BN yang berasaskan perkauman boleh berpecah-belah begitu teruk, sama ada sesama parti mahupun dalam parti-parti itu sendiri.
BN yang dikatakan utuh tanpa cabaran sengit sepanjang 52 tahun yang lalu tiba-tiba seakan-akan bakal menerima hukuman alam, bahawa yang lama pasti akan lenyap berganti baru.
Beberapa waktu dulu, tidak ramai yang boleh meramal dengan yakin bahawa BN akhirnya bakal hancur atau bercerai-berai.
Semuanya gara-gara perubahan rakyat yang dimanifestasikan melalui keputusan pilihan raya umum (PRU) pada Mac 2008.
Selama ini BN digambarkan pohon rendang tempat bernaung dan berlindung rakyat majmuk, khususnya di bawah payung parti berasaskan kaum masing-masing.
Namun seperti yang penulis nukilkan di atas, hukum alam tidak dapat disekat apabila tiba waktunya. Pada PRU 2008 orang-orang Cina terjun daripada kapal BN yang mereka tumpang selama ini dan berhijrah ke kapal Pakatan Rakyat beramai-ramai.
Orang India lebih hebat lagi! Jika peratusan berpaling orang Cina dari BN sehingga 65%, orang India pula menjangkau 75%. Ini membuatkan calon-calon BN kebanyakannya kalah di hampir semua kerusi yang jumlah pengundi Cina dan India tinggi.
Lebih memeranjatkan lagi, “taiko-taiko” Cina dan India dari MCA, Gerakan dan MIC tewas tersungkur!
Kali ini BN hanya diselamatkan oleh undi di kawasan padat orang Melayu. Jika pada PRU 1999 kerusi-kerusi BN hanya diselamatkan oleh undi di kawasan-kawasan bukan Melayu, maka PRU 2008 pula sebaliknya.
Pola keputusan tersebut tidak terhenti setakat itu, sepanjang 11 pilihan raya kecil (PRK) selepas itu menunjukkan undi Cina yang menyelamatkan kapal BN sebelum 2008, terus meninggalkan parti usang yang karat dengan retorik perkauman itu.
Tiada siapa dapat menjangka, calon PAS yang terdiri daripada ulamak dan lebai mendapat undi besar daripada Cina dan India. Mereka sudah tidak hiraukan lagi propaganda dan gerak saraf Umno selama ini yang menggambarkan orang PAS sebagai “pengganas dan Al-Qaeda”.
Senario ini tidak terhenti di situ. Terbaru ialah keputusan PRK Hulu Selangor dan PRK Sibu yang menunjukkan kaum Cina sudah berpatah arang dengan BN. Kebetulan, pemimpin-pemimpin Cina dalam MCA terus berkecamuk dan berbalah sesama sendiri.
Orang India juga begitu. Mungkin ada yang berkata, selepas PRU 2008 kemarahan kaum itu kepada BN mulai kendur akibat kelumpuhan Hindraf dan penubuhan parti Makkal Sakti.
Namun pertelingkahan luar biasa dalam MIC sehari dua ini, dilihat pemerhati sebagai isyarat penghijrahan beramai-ramai kaum India kepada Pakatan.
Selamat Tinggal BN!
Kebetulan, Umno yang selama ini dianggap pelindung kepada bangsa Cina dan India, tiba-tiba bertukar menjadi begitu lantang sekali sentimen perkaumannya. Di sana-sini ekstrimis Umno berdemonstrasi dan melompat-melompat mencabar kaum bukan Melayu.
Tiba-tiba muncullah Perkasa dan Gertak, yang tujuannya tidak lain melainkan melaung-laungkan isu perkauman. Kalau satu masa dulu Umno berteriak: “Undilah BN bagi kesejahteraan”, nampaknya sudah terbalik kerana BN kini membawa kepada huru-hara. Semuanya gara-gara marah kerana dendam akibat bukan Melayu tidak lagi mengundi BN.
Jika dulu mereka mempropaganda dan menggeraksarafkan bahawa negara ini tidak sesuai dengan hukum Islam kerana negara ini bermasyarakat majmuk, kini sudah terbalik kerana dengan mengundi calon parti Islam mereka selamat sebaliknya mengundi Umnno/BN bermakna merelakan agenda perkauman sempit.
Kini ramai yang melihat bahtera BN makin tenggelam akibat agenda perkauman sempit komponen parti itu sendiri.
Semuanya Tuhan yang empunya kuasa.
Andainya pada PRU akan datang PAS berjaya meyakinkan pengundi Melayu, maka hagemoni Umno/BN akan terus karam, tenggelam dan hanya dikenang dalam sejarah.
Kelibat kemenangan PAS dan Pakatan sudah kelihatan sebenarnya di nun kejauhan, Ini bukan khayalan dan imiginasi, tetapi realiti. Cuma perlukan komitmen, gerak kerja berganda dan fokus secara serius.
Sabarlah.... hanya selangkah sahaja lagi ke garis penamat!
No comments:
Post a Comment