Thursday, May 20, 2010

PRK Sibu punya hal, BN cirit birit

Barangkali sudah agak terlewat untuk menganalisis kemenangan manis Pakatan Rakyat merampas kerusi Parlimen Sibu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 16 Mei, Ahad lalu. Penulis mengakui ketinggalan.

Namun begitu sudah banyak tulisan, komentar dan pendapat telah disiarkan mengenai kegagalan BN mempertahankan kerusi parlimen tersebut di mana calonnya, Robert Lau Hui Yew dari parti SUPP dikalahkan oleh calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.

Wong mendapat 18,845 undi, Lau memperoleh 18,447 undi manakala calon bebas Narawi Haron 232 undi.

Semua mengakui, ini sudah tentulah merupakan kemenangan besar kepada DAP yang mewakili Pakatan kerana pada Pilihan Raya Umum 2008 BN memenangi kerusi tersebut daripada DAP dengan majoriti 3,235.

Cuma penulis dapat melihat beberapa fakta yang terkandung dalam kemenangan gemilang Pakatan yang sudah tentu amat menyenakkan dada pimpinan BN, terutamanya Perdana Menteri Najib Tun Razak itu.

Pertamanya, nyata orang-orang Cina tidak mudah dijual beli undi mereka, tidak mudah diperkotak-katikkan dengan gula-gula wang dan projek. Pengundi Cina bukan sahaja berpaling daripada BN seperti yang mereka lakukan pada PRU 2008, malah bertindak menyebelahi Pakatan meskipun BN memberi belasan juta ringgit peruntukan segera kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan menjanjikan pelbagai projek serta tindakan.

Semua orang tahu, beberapa jam sebelum pengundian, Najib turun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke Sibu dna berkempun untuk BN, termasuk kawasan Cina di Rajang, dengan pelbagai taburan janji, ugutan dan rasuah. Anehnya orang-orang Cina bijak dan matang kerana menerima Najib dengan baik, tetapi tidak memberi sokongan kepada BN.

Jelas bahawa usaha BN mendapatkan semula undi Cina masih tidak berhasil walaupun telah memberi dan menjanjikan pelbagai kemudahan.

Kedua, mainan politik perkauman dan ugutan terhadap bangsa Cina oleh ekstremis Umno dan sekutu-sekutunya nyata memakan diri. Ini juga menunjukkan trend pengundian 2008 akan berterusan kerana belum kelihatan tanda-tanda orang Cina berpatah balik kepada BN.

Ketiga, ternyata strategi kolot dan tradisional BN memikat hati pengundi dengan umpan kebendaan dan janji, tidak semesti berkesan, kecuali di tempat-tempat tumpuan orang Melayu.

Keempat, keputusan ini menjadi salah satu indikator BN Sarawak bakal menghadapi cabaran besar dalam pilihan raya negeri yang pada mulanya dirancang November ini.

Namun lebih jauh daripada itu, kesan kemenangan ini ialah lambang kepada terlingkupnya bahtera BN pada PRU akan datang.

Bayangkan, jika Sarawak yang selama ini dianggap kubu dan penyelamat kerajaan BN boleh tersungkur pada PRK yang selalunya memberi advantage kepada BN, ini bermakna tidak mustahil Pakatan mampu mara lebih jauh pada PRU akan datang!

Tidak ramai yang sedar, bahawa pimpinan BN kini berada dalam keadaan migrin, ciri birit dan demam kuat pada masa ini!





No comments:

Post a Comment