Tuesday, May 11, 2010

Mengapa Felda jadi sarang pengedar dan penagihan dadah?

Apabila sebuah akhbar harian baru-baru ini menyiarkan berita bahawa Felda merupakan sarang pengedar dadah, ia sebenarnya tidak begitu mengejutkan kerana selama ini perkara tersebut telah menjadi rahsia umum dan dibicarakan banyak pihak.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut sudah tentulah menyedihkan kerana apabila disebut Felda, lebih 95 peratus penghuninya terdiri daripada yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Malah, bukan sahaja penyalahgunaan dadah bahkan di Felda jugalah berkembang suburnya budaya merempit, gejala sosial, judi, rogol, sumbang mahram dan bunuh.

Bagi kes dadah ini, KetuaJabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri sendiri baru-baru ini mendedahkan untuk tahun ini sahaja pihaknya telah menahan 26 pengedar dadah di sekitar Gugusan Felda Jengka sejak awal tahun ini.

Mengikut akhbar harian tersebut, Supritendan Yap Toon Khuan berkata, kesemua pengedar dadah itu disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung.

Menurut beliau, Kejayaan JSJN dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran membuktikan Gugusan Felda Jengka tempat pengedar dadah.Bagaimanapun, menurut Toon Khuan, lebih 60 pengedar dadah yang bergiat aktif dikenal pasti adalah dari luar dan selebihnya penduduk tempatan.

Kenapa kawasan Felda seperti Jengka menjadi tumpuan pengedar dadah? Secara logiknya sudah tentu disebabkan ‘permintaan’ yang tinggi daripada ‘pelanggan’ setempat.
Akhbar yang sama sebelum ini turut menyiarkan berita bahawa Gugusan Felda Jengka diklasifikasikan sebagai kawasan paling kritikal berhadapan dengan gejala dadah di Pahang.

Kenyataan daripada Ketua Turus Operasi dan Siasatan Jabatan Narkotik Negeri, Asisten Supritendan Mohd. Sakri Ariffin berkata, masalah penagihan di kawasan Felda agak rumit kerana sebahagian aktiviti pengedaran dilakukan oleh peneroka sendiri membabitkan generasi kedua dan ketiga.

Sehingga Disember tahun lepas sahaja, polis memberkas hampir 1,000 penagih di kawasan Jengka dan sebahagiannya dihantar ke pusat pemulihan, manakala ada yang dipenjarakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Felda dilakukan dengan lebih terancang kini bagi mengelakkan tindakan berterusan pihak polis ke atas penagih dan pengedar termasuk mewujudkan pangkalan-pangkalan haram secara bergerak.
Namun begitu kita melihat penguatkuasaan polis memang berkurangan. Buktinya, seluas 25 tanah rancangan Felda Jengka cuma ada satu balai polis iaitu di Bandar Pusat Jengka. Ini sudah tentulah tidak masuk akal.

Kenapa gejala ini terjadi?

Bagi sesetengah pihak, bersarangnya semua penyakit masyarakat di Felda disebabkan generasi kedua yang tinggal itu sendiri ialah mereka yang gagal dalam pendidikan. Sedangkan generasi kedua yang berkualiti dan berjaya bekerja di luar tanah rancangan. Golongan yang memiliki pencapaian rendah dalam pendidikan formal ini tidak produktif dari segi ekonomi sehingga memberi ruang kepada mereka menghabiskan masa dengan perbuatan tidak berfaedah yang akhirnya menjurus kepada keruntuhan akhlak.

Berdasarkan jumlah peneroka seramai 112,635 orang seluruh negara, kini dianggarkan terdapat lebih 800,000 generasi kedua dan ketiga Felda. Hasil kajian yang dibuat hanya 5 peratus daripada jumlah tersebut yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke institut pengajian tinggi. Selebihnya merupakan golongan yang terpaksa bekerja kilang, bekerja sendiri dan yang lebih malang menjadi penganggur dan tidak syak lagi merekalah penyumbang gejala sosial di tanah-tanah rancangan.

Sebab itu dasar pembangunan Felda sebenarnya dalam keadaan yang tidak seimbang kerana terlalu berorientasikan bisnes sehingga mengabaikan perhatian terhadap nilai-nilai kemanusiaan.

Dapat dilihat peruntukan yang dibelanjakan Felda untuk belia melalui persatuan banyak dihabiskan untuk hiburan. Jika pada tahun-tahun 80-an dulu banyak juga program-program agama. Satu lagi, dulu ada Penyelia Agama Felda (SDAU) yang sedikit sebanyak dapat juga merancang program-program bercorak keagamaan. Namun khidmat mereka dihentikan sejak 1990-an. Jadi ini antara yang menyumbang kepada gejala sosial di Felda.

Majlis belia yang ada di tanah rancangan pula hanya berebut-rebut untuk mendapatkan peruntukan bagi memenuhi program-program bersukaria dan melancong.

Semua ini terjadi kerana kelemahan dan tidak adanya perancangan teliti dari pihak berkuasa dalam menggariskan hala tuju anak cucu peneroka sebagaimana generasi pertama yang telah diperas tenaga dan keringatnya untuk membangunkan hutan belantara menjadi tanah ladang yang menyumbang hasil kepada negara.

Akhirnya penyelesaian masalah sosial di tanah rancangan Felda perlu kerjasama masyarakat peneroka, pemimpin setempat, agensi kerajaan dan pertubuhan sukarela. Semangat kesukarelawan dalam diri, keluarga, dan masyarakat sekeliling perlu disemarakkan. Secara tidak langsung, kegiatan sebegini mampu menyemai konsep masyarakat penyayang sekali gus membanteras gejala sosial di kalangan peneroka dan generasi kedua.

Badan-badan yang ada di Felda mesti serius menangani dan memfokuskan isu gejala sosial yang mula merosakkan masyarakat dalam komuniti tersebut.

Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Rancangan (JKKR) merupakan badan tertinggi di tanah rancangan Felda, maka pemimpin-pemimpinya sepatutnya berusaha dan merancang program-program pembinaan sahsiah untuk mengembalikan belia kepada identiti yang meyakinkan, memiliki kekuatan intelek, cergas dan tidak mudah dikuasai emosi serta nafsu.


No comments:

Post a Comment