Friday, May 14, 2010

Penduduk Luit dakwa operasi musnah tanaman tak adil

MARAN: Operasi kedua pemusnahan tanaman sawit penduduk Kampung Hulu Luit oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Maran baru-baru ini didakwa tidak adil dan menimbulkan banyak keraguan.

Sebahagian daripada tanaman mereka yang berusia tiga tahun di atas tanah bekas lombong itu dimusnahkan kira-kira 80 orang dari PTD dengan dibantu oleh JKR dan polis.

Dakwa penduduk, operasi pemusnahan pada 3, 4, 5 dan 6 April lalu itu lebih bersifat pilih kasih kerana ladang tauke-tauke (bukan Melayu) tidak diusik meskipun mereka mengusahakan tanaman seluas ribuan ekar.

Malah, penduduk mendakwa ribuan ekar tanah yang diusahakan tauke-tauke besar di kawasan terbabit dengan tanaman kelapa sawit, getah dan buah-buahan secara besar-besaran itu sebahagiannya terletak dalam tanah rizab Hutan Simpan Kekal dan telah beroperasi lebih 40 tahun. Namun masih ‘selamat’ hingga kini.

Selamatkanpahang dibawa meninjau ke lokasi tanaman penduduk yang dimusnahkan itu yang letaknya lebih 16 kilometer dari jalan besar. Namun untuk sampai ke situ terpaksa melalui tanaman kelapa sawit, getah, kebun limau yang diteroka secara haram oleh tauke besar lama sebelum penduduk kampung meneroka tanah yang dimusnahkan PTD itu.


“Bagaimana pegawai PTD hanya nampak tanaman diusahakan penduduk Kampung Hulu Luit yang diteroka secara kecil-kecilan tetapi tidak nampak penerokaan haram milik tauke besar yang mereka lalui terlebih dahulu. Pelik, mereka tak nampak atau buat-buat tak nampak?,” soal seorang penduduk mangsa pemusnahan tersebut.

Penduduk mengakui tanah bekas lombong tempat tanaman yang mereka usahakan itu tidak ada geran namun mereka telah memohonnya sejak tahun 2007 lagi kerana berstatus boleh mohon. Namun pihak PTD hanya diam sahaja kerana kononnya berlapis dengan permohonan sebuah syarikat pengusaha pembalakan dan galian.

Namun kawasan tersebut belum pernah diusahakan selepas balak-balak ditebang dan dikeluarkan.

"Kami menganggap tidak ada salahnya sebagai penduduk di sini mempertahankan tanah air daripada terus diteroka oleh pihak lain, kami sedar di mana kedudukan kami sebagai anak jati Melayu tetapi malangnya kami terpaksa berhadapan dengan kerajaan yang dipimpin parti Melayu, sedangkan tauke-tauke besar terus bermaharaja lela," ujar seorang penduduk.

Tambah beliau, jumlah keluasan kawasan yang diteroka 200 penduduk di situi tidak sampai sesuku berbanding keluasan kawasan yang diteroka oleh sendiket terbabit.

"Tetapi apa boleh buat, PTD nampak kami yang bersalah, penceroboh besar yang teroka lebih luas mereka tidak nampak kesalahannya," rungutnya lagi.

Dalam pada itu, penduduk dikatakan telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana syak seuatu yang tidak kena berlaku dan difahamkan agensi tersebut telahpun bertindak.Bagi seorang lagi pemilik tanaman yang dimusnahkan, sepatutnya ada budi bicara dan perbincangan boleh diadakan supaya tidak ada pihak yang rugi.

“Kalau kata ada syarikat lain berhak ke atas tanah itu, kenapa tidak bayar sahaja pampasan kepada kami sebab kalau untuk diusahakan pun pasti kena mengambil masa juga. Ini sawit dah besar. Pada saya jika boleh berbincang lebih lanjut, ini satu cara menang-menang,” jelasnya.

Sementara itu, Pemangku Yang Di Pertua PAS Kawasan Maran, Ramli Abdul Rahman, mahu pihak berkuasa menyiasat adakah berlaku salah guna kuasa, ini kerana operasi yang dilakukan agak mencurigakan.



“Kenapa ladang penduduk kampung yang berbangsa Melayu sewenang-wenangnya dimusnahkan sedang ladang tauke-tauke besar malah di Hutan Simpan Kekal bersebelahan dibiarkan walaupun terang-terang diceroboh?”.

“Malah saya dapat tahu mereka mengusahakan tanaman di hutan simpan sejak tahun 1967 lagi. Ini menunjukkan kes pencerobohan hutan berprofil tinggi, iaitu pencerobohnya mempunyai kuasa dan wang kerana mereka seolah-olah bebas dan dilindungi.”

Tambah Ramli, sepatutnya bertindaklah dengan bijak dan kalau boleh luluskan lesen sementara kerana kerajaan juga yang dapat hasil cukai dan boleh tingkatkan pendapatan kerajaan negeri.

“Semua orang tahu di negeri ini banyak tanah terbiar, sepatutnya inilah cara untuk meningkatkan ekonomi rakyat sekali gus memberi pulangan kepada kerajaan negeri. Kita sudah tentu tidak mahu jika ada yang menuduh tindakan hanya kerana sentimen atau hasutan pemimpin bawahan sahaja,” ujarnya.

Gambar:

1. Ramli (kiri) dan Hj. Mohd Noor menunjukkan pokok sawit yang disodok menggunakan jentera

2. Penduduk menunjukkan sebahagian kawasan pencerobohan oleh tuke besar dan akan ditanam

3. Papan tanda bukti Hutan Simpan Kekal, tetapi tidak diindahkan tauke besar

4. Lambakan batu pancang di tengah-tengah tanah bekas lombong tanpa pemilik itu menimbulkan tanda tanya penduduk Melayu



No comments:

Post a Comment