Setelah jenuh bertarung bagi menghalang rumah ibadat berusia hampir setengah abad, Masjid Tengku Abu Bakar (MTAB) Raub, daripada diroboh dan didirikan pusat komersial termasuk hotel di atas tapak yang strategik itu, akhirnya jamaah memperoleh ‘kemenangan besar’ apabila Majlis Agama Islam Pahang (Maip) membenarkan bekas masjid daerah itu didirikan semula Sembahyang Jumaat sejak bulan lalu.
Sebelum ini Ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan terpaksa bertarung berikutan ada ura-ura terdapat usaha pihak tertentu yang 'mengidam’ untuk mengambil-alih kawasan masjid berkenaan yang terletak di lokasi amat strategik, di tengah bandar Raub itu.
Itulah sebabnya tapak MTAB menjadi rebutan pihak berkepentingan termasuk ahli-ahli politik tempatan yang melihat betapa berpotensinya kawasan itu. Difahamkan, mereka kini giat melobi pihak yang memegang amanah wakaf tanah masjid berkenaan.
Namun jalan yang diambil berliku, termasuk termasuk 500 penduduk Islam Raub telah menurunkan tandatangan beramai-ramai dan menghantar memorandum bantahan itu kepada pihak berkuasa agama negeri. Mereka mendesak agar MTAB dikekalkan dengan fungsi asalnya sebagai masjid. Meskipun tidak lagi sebagai masjid daerah, namun sebagai masjid kariah dan Solat Jumaat dibenarkan sebagaimana biasa.
Kenapa MTAB menjadi rebutan, khususnya oleh pemimpin politik Umno Raub? Jawabnya kerana kedudukannya yang strategik terletak di kawasan ‘tiga segi’ di tengah-tengah bandar Raub, amat popular di kalangan umat Islam yang berulang-alik menggunakan laluan Kuala Lumpur-Bentong-Kota Baharu. Di sinilah destinasi persinggahan mereka untuk berehat, makan-makan, melepaskan hajat atau untuk solat
Dengan kawasannya yang luas dan redup, memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan sambil menghirup udara segar ditambah pula dengan kemudahan gerai makan. Terdapat juga bangunan Pusat Pungutan Zakat Pahang di situ. Selain itu, pejabat Pos, Kedai Telekom, bank, serta pusat membeli-belah berada tidak jauh dari situ. Ini menjadikan MTAB seolah-seolah pusat R& R (Rawat dan Rehat) di lebuh raya Plus atau LPT (Lebuh Raya Pantai Timur).
Justeru itu, MTAB amat besar erti dan nilainya kepada musafir yang singgah sebentar sebelum meneruskan perjalanan menuju destinasi masing-masing. Tidak kurang juga ada yang bermalam di masjid itu kerana ketinggalan bas atau untuk melelapkan mata sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya.
MTAB pusat syiar Islam
Bagi umat Islam di bandar Raub pula, kewujudan MTAB di tengah-tengah pusat bandar itu selain menjadi syiar Islam, ia dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat kerohanian, ibadah dan sumber ilmu kerana di situ juga terdapat sebuah perpustakaan yang memiliki tidak kurang 8 ribu judul buku berkaitan Islam dan pelbagai ilmu.
Lantaran itu, MTAB terus makmur dengan solat berjamaah dan kuliah-kuliah yang berterusan. Hasil wang sumbangan orang ramai, lembaga pengurusan masjid mampu membayar elaun tetap dua orang imam dan pekerja am.
Dari segi sejarahnya, MTAB pada asalnya ialah padang tenis kelab kerajaan dan padang kanak-kanak bandar Raub. Pada awal 60-an, Ahli Parlimen Raub, Allahyarham Hussain Hasan Allahyarham dan Dato’ Setia Lela Tengku Mahmud, telah mengadap Almarhum Ke bawah Duli Sultan Abu Bakar untuk memohon perkenan supaya padang tenis dan taman kanak-kanak dipindahkan ke tempat lain bagi membolehkan pembinaan masjid daerah di situ. Almarhum telah memperkenankannya.
Pada tahun 1962, masjid tersebut siap dibina dengan kos RM80 ribu, dengan RM35 ribu daripadanya adalah hasil derma dan wakaf orang ramai. Sejak itu, MTAB memberi kemudahan kepada ribuan penduduk bandar, Taman Intan dan kampung persekitaran seperti Bukit Koman, Simpang Kallang, Sempalit, Jalan Lipis, Ialan Cheroh dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Mahmud untuk mengerjakan Solat Jumaat dan fardhu. Ia juga menjadi persinggahan musafir dari ibu negara ke Pantai Timur.
Setelah terbinanya masjid baru daerah Raub beberapa tahun lepas yang terletak kira-kira 2 kilometer ke pinggir bandar, hari ini MTAB tetap berdiri megah dengan fungsi yang semakin kecil. Solat Jumaat sudah tidak dibenarkan, namun kuliah-kuliah yang diatur tetap berjalan. Para pengguna laluan Kuala Lumpur-Bentong-Kota Baharu, tetap memilih MTAB sebagai persinggahan utama.
“Susahlah untuk ke masjid baru… jauh. Di sini lebih hampir dengan bandar dan suasananya lebih menyeronokkan”, kata Abdul Aziz Abas, pemandu lori ikan yang berulang-alik dari Kota Baharu ke Kuala Lumpur setiap hari.
Tidak mahu MTAB jadi restoran Cina
Ada yang berpendapat, dengan hanya solat fardhu sahaja dibenarkan di MTAB, ia dipercayai sebagai satu usaha dan perancangan ‘tangan-tangan’ tertentu untuk melumpuhkan masjid bersejarah itu sebelum di tukar fungsinya daripada masjid kepada tapak komersial.
“Kami tidak mahu, tapak masjid ini menjadi korban kedua setelah bangunan Darul Qur-an dirobohkan dan diganti dengan restoran Cina”, Norhisham Nazri, seorang ahli jamaah MTAB.
Sebelum ini, kelab kerajaan bersebelahan MTAB yang telah dijadikan Darul Qur-an (tempat anak-anak belajar Qur-an dan fardhu ‘ain) dan kawasan riadah selama 20 tahun, telah diubah-suai menjadi restoran Cina.
Ada penduduk mendakwa, kawasan MTAB mengikut perangcangan ‘tangan-tangan’ tertentu, juga dimasukkan sekali ke dalam pakej untuk di bangunkan sebagai pusat komersial.
Difahamkan, pihak Jabatan Agama Islam Pahang turut sependapat dengan penduduk supaya MTAB dikekalkan sebagai masjid kerana mengambil kira ia tidak menjejaskan kedudukan masjid daerah yang baru. Malah, MTAB masih mampu memberi pilihan dan keselesaan kepada banyak pihak selain sejarah MAB yang wajar di pulihara.
Jika sekiranya MTAB dirobohkan demi mengizinkan kemajuan di atas runtuhannya, maka ini menjadi sejarah di negeri Pahang. Kerana semua masjid lama daerah lain seperti di Bentong, Lipis, Jerantut, Maran, Jengka dan Pekan tidak diroboh, malah terus dikekalkan sekalipun masjid baru serba canggih telah dibina.
Di Bentong umpamanya, masjid lama yang terletak di pusat bandar terus dikekalkan dengan fungsi asal sekalipun masjid daerah dibina di Ketari dan bakal berpindah ke jalan Bentong-Raub tidak lama lagi.
Di Kuala Lipis lebih menarik, apabila Majlis Daerah Lipis tidak meroboh sebuah tokong lama, sekalipun ia menjadi ‘duri dalam daging’ kepada sebuah pusat komersial di bandar itu. Tokong tersebut kekal di celah pembinaan pusat komersial di bandar itu dan menjadi antara ‘perkara pelik’ di bandar itu yang tidak terdapat di tempat lain.
No comments:
Post a Comment