Saturday, May 15, 2010

Badminton kita kalah kerana 1Malaysia?

Pagi ini sewaktu minum ada yang tidak sabar-sabar bertanya kepada saya kenapakah pasukan badminton Piala Thomas Malaysia begitu mudah diaibkan oleh pasukan China?

Tidak seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, bagaimana pasukan yang mendapat sokongan dan pelukan ‘first lady’ Malaysia begitu mudah diperbudak-budakkan sehingga begitu enteng ditundukkan oleh johan bertahan itu dengan 0-3 di peringkat separuh akhir yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil semalam?

Pemain ‘nombor satu dunia’ pula begitu mudah dijinakkan dan semua pemain Malaysia ditumpaskan dengan ‘straight set’.

Sebagai pilihan ketiga dalam kejohanan ini dan bermain pula di gelanggang sendiri, ramai yang bertanya apakah lagi yang kurang bagi merangkul trofi rebutan yang selama 18 tahun ini terlepas setelah kali terakhir Malaysia memperolehinya dalam perlawanan di Kuala Lumpur pada 1992.

Pada peringkat awal dulu, Malaysia diaibkan oleh Jepun, sebuah kuasa baru dalam arena badminton antarabangsa, dengan 2-3.

Saya turut tertanya-tanya, apakah sebenarnya berlaku kepada pasukan negara. Di mana semangat 1Malaysia yang selama ini didewa-dewakan sebagai kalimah keramat dan tangkal azimat melambangkan kejayaan?

Apabila persoalan tersebut diajukan kepada seorang sahabat, beliau hanya mengatakan: “Padan kalau Malaysia kalah, kerana selama ini pemimpin negara hanya suka beretorik, cakap besar tanpa menilai realiti sebenar.... semuanya kerana politik. Dan inilah akibatnya!”, ujarnya tegas.

Pusing kepala saya untuk cuba menangkap apa maksud yang diucapkannya. Namun saya cuba juga untuk memahaminya.

“Apa maksud semuanya kerana politik?,” soal saya kembali.

“Semuanya mahu dipolitikkan... semuanya mahu menggambarkan sesuatu kehebatan mestilah dikaitkan dengan kehebatan Perdana Menteri Najib Tun Razak. Semuanya mahu diprojekkan untuk Najib, Rosmah dan BN,” katanya lagi.

Makin pusing saya dibuatnya.

“Cuba tengok bagaimana RTM berkempen untuk menonton siara Bolesepak Piala Dunia Jun nanti,” tambahnya.

“Apa dia”, soal saya balik.

“Kempen RTM, saksikan sorakan satu Malaysia, satu dunia! Apa ke jadahnya dikaitkan slogan satu Malaysia dengan Piala Dunia? Tidakkah Malaysia duduk di tangga 156 dalam ‘ranking’ bolasepak dunia?”, hujahnya bersungguh-sungguh.

Barulah saya faham maksudnya, bahawa kerajaan lebih suka memperlihatkan sesuatu, yang jika berjaya, mesti dikaitkan dengan imej untuk meningkatkan kepimpinan negara yang baru berkuasa setahun ini.

Saya juga sedar, apabila Najib mula berkuasa dulu, ucapan salam dalam siaran berita RTM kemudiannya diubah menjadi “Salam satu Malaysia...”.

Apa ertinya semua itu jika tidak satu bentuk propaganda atau kempen menaikkan imej Najib atau Rosmah atau BN secara tidak sedar kepada rakyat?

“Awak tahu jika pasukan badminton menang Piala Thomas kali ini? Sudah pasti mati-mati akan dikaitkan dengan kehebatan kepimpinan negara. Kononnya berkat satu Malaysia, berkat ‘big mama’. Nah, sekarang bila sudah diabkan oleh China... mahu ‘big mama’ mengambil tanggung jawab?,” soalnya lagi membuatkan saya mengangguk-angguk dan terus terdiam.

Jauh di sudut hati saya, sebenarnya tetap mendambakan pasukan negara menang, meskipun ianya sudah diprojekkan sebagai “Satu lagi projek Kerajaan BN”.

Jangan khuatir, saya patriotik.

Cuma saya berpendapat, sepatutnya kerajaan BN pimpinan Najib dan big mama mestilah berusaha memperkasakan semua bidang yang diceburi rakyat dengan ikhlas dan bertangungjawab, tanpa memikirkan keuntungan politik semata-mata. Ukurlah sesuatu dengan realiti, bukan fantasi.

Itupun jika tidak mahu negara ini diketawakan dunia antarabangsa.














No comments:

Post a Comment