Sunday, May 16, 2010

Pasti sudah ada 1,700, pelajar 65,000

TEMERLOH: Sepanjang 26 tahun usia kewujudan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), kini sudah ada 1,700 buah, termasuk milik pelbagai kaum, dengan lebih 65,000 pelajar di seluruh negara, kata Pengarahnya, Cikgu Azrin Abdul Majid.

Malah, katanya, kini Pasti sudah mampu melaksanakan program lanjutan di mana bekas pelajarnya yang sudah memasuki sekolah-sekolah aliran perdana, boleh terus mengikuti pelajaran agama dan akhlak yang mana modulnya setakat ini digubal sehingga pelajar berusia 12 tahun.

“Di Perak sudah ada Pasti bagi pelajar berbangsa India yang diusahakan oleh Kelab Penyokong PAS. Di Penampang, Sabah sudah ada Pasti pelajar Kadazan. Di Tumpat ada Pasti yang mana pelajar-pelajarnya terdiri dari kalangan pelajar berbangsa Siam.”

“Kenapa bukan Islam turut meyakini sistem pendidikan Pasti? Sudah tentu kerana sistem pengajaran dan pembelajarannya, termasuk tentang konsep perpaduan. Sebagaimana maksud agama... iaitu “a” (tidak), “gama” (kacau orang) ... makna agama tidak kacau orang.”

“Berdasarkan konsep itulah sepertimana yang mereka fahami, bukan Islam yakin dan minta kita buka Pasti untuk tujuan pendidikan, akhlak dan konsep perpaduan,” katanya.

Azrin berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Makan Malam Pasti Az-Zahra’ pada 15 Mei di Dewan Orang Ramai Taman Temerloh Jaya. Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis berkenaan.

Pada majlis yang sama, beliau turut memuji aktivis-aktivis Pasti Pahang, khususnya Temerloh yang selama ini bertungkus lumus memperjuangkan bidang pendidikan bagi menjayakan misi parti.

“Perjuangan tidak asing lagi di Temerloh ini. Saya baca sejarah di mana orang Temerloh ini pernah menghalau penjajah Inggeris. Saya baca sejarah Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau. Saya baca sejarah Pak Sako, malah saya baca sejarah dan semangat perjuangan Lubuk Kawah yang kental mengusir penjajah.”

“Jadi kini tepat pada masanya... dan saya yakin apabila anak Temerloh dari bumi Pahang ini, dengan semangat daripada keturunan yang sama memperjuangkan peningkatan Islam melalui bidang pendidikan, khususnya melalui Pasti,” katanya.

Azrin berkata, kegemilangan Pasti selama ini sebenarnya turut dicemburui pihak lain terutamanya kerajaan sendiri.

“Sekarang ini kita boleh lihat bagaimana pihak kerajaan cuba menyaingi Pasti. Pesara guru diberikan lesen dengan mudah untuk mewujudkan pusat pendidikan pra sekolah. Permata Negara hari ini diperuntukkan dengan bajet besar, iaitu RM100 juta setahun.”

“Sebelum ini kerajaan memperkenalkan pra sekolah di sekolah-sekolah tertentu. Jadi ini membuktikan usaha Pasti yang dilihat berkesan selama ini diperhati dan dicemburui oleh kerajaan BN.”

Azrin hadir ke Temerloh sempena merasmikan Majlis Sukan Tahunan Pasti Pahang pada 16 Mei di Padang Taman Gajah Temerloh.

Sementara di majlis berkenaan, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan nasyid oleh penyanyi Qomarul Raihan, Mohd Sabri dan kumpulan Huffaz dari Berhala Gantang.

Pelajar Pasti Az-Zahra’ sendiri turut mempersembahkan keletah masing-masing.










No comments:

Post a Comment