Monday, May 10, 2010

Hilangnya blok minyak atau semangat patrotisme yang hilang

Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN

SELASA, 11 MEI 2010 | 25 JAMADILAWWAL 1431H


ISU PENYERAHAN Blok L dan M kepada Brunei merupakan malapetaka paling serius dalam sejarah pemerintahan BN. Tragedi ini lebih buruk bilamana pihak kerajaan cuba merahsiakan isu sebenar di sebalik penyerahan kedua-dua blok yang mempunyai hasil lebih dari RM320 billion. Apa yang mendukacitakan penyerahan kedua-dua blok ini hanya diumum sepintas lalu, seolah-olah ianya bukanlah perkara besar yang perlu diketahui oleh rakyat. Sikap baik sangka rakyat terhadap kenyataan PM pada waktu itu, bahawa pertukaran surat dibuat bagi menyelesaikan tuntutan bertindih antara kedua-dua negara, dan lebih meyakinkan bilamana ia dianggap jalan baik “win-win situation” bagi menyelesaikan isu tuntutan Limbang oleh Kerajaan Brunei.

Pertikaian sempadan wilayah adalah perkara biasa dialami oleh mana-mana negara di dunia, apatah lagi bila ianya melibatkan kawasan ZEE. Lantaran itu penyelesaiannya akan mengambil masa yang panjang dan pelbagai jalan dilakukan bagi mempertahankan hak negara. Kita boleh bandingkan negara berhak mengambil tindakan ketenteraan bilamana perairan atau ruang udara diceroboh. Itulah makna kedaulatan negara. Amat malang bilamana pemimpin hanya mengadakan perbincangan di peringkat kabinet, dan membuat keputusan menyerahkan wilayah sendiri sebegitu mudah.

Kita memahami deklarasi yang dibuat, Namun ianya bukanlah bermakna kita terus tunduk tanpa membuat apa-apa usaha. Tragedi ini adalah kali ketiga negara menghadapi situasi kehilangan wilayah. Bermula dengan penyerahan Singapura, kemudian melalui mahkamah antarabangsa kita kehilangan Batu Putih, dan hanya melalui mesyuarat kebinet kita hilang dua blok minyak. Apakah selepas ini kita akan hilang lagi kedaulatan mana-mana wilayah kita? Dengan sikap pimpinan BN yang ada semuanya tidak mustahil. Rakyat kini menuntut satu tindakan ke atas semua pemimpin yang terlibat dengan tragedi malang ini.

Kita sangat sedih dengan kehilangan ini. Namun lebih dukacita bilamana pemimpin seolah-olah melihat isu ini sebagai perkara remeh temeh, dan rakyat pula disibukkan dengan kempen Piala Dunia yang diulang setiap kali selepas berita utama. Andainya isu sebegini berlaku di negara lain, kita yakin kerajaan BN sudah hilang dari persada politik tanahair; bahkan mungkin pimpinannya sedang termenung di sebalik tabir besi. Ternyata sebenarnya rakyat semakin hilang petrotisma; sehingga kehilangan wilayah sebesar ini pun tidak menjadi satu isu yang membangkitkan amarah rakyat.

Kita perlu lakukan sesuatu. Saman awam perlu diteruskan, di samping tuntutan agar satu usul tergempar perlu dibawa agar Parlimen mengadakan sidang khas bagi membincangkan isu ini. Rakyat perlu tahu dan perlu diberitahu apa sebenarnya telah terjadi. Kerajaan dituntut agar telus dalam sebarang isu besar negara kerana negara ini milik semua warga. Sikap menyembunyi apa yang berlaku; tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang mewar-warkan sebagai sebuah negara paling pesat membangun.


No comments:

Post a Comment