Wednesday, July 3, 2019

Belasungkawa Wan Iqbal

Saya mulai mengenalinya pada tahun 1998 di mana ketika itu beliau berniaga pati gamat keluaran Luxor di kedai yang disewanya di Medan Warisan, Kuantan. Ketika itulah kami pernah berkereta ke hulu ke hilir berniaga.

Saya menjadi rapat dengannya kerana dia ketika itu berniaga dengan abang angkatnya yang juga rakan sekelas saya ketika di sekolah rendah iaitu Badrul Hisham Mohamad.


Beliau seorang yang periang, gemar bergurau, suka membelanja kawan-kawan ketika ada wang tetapi ada masanya kelihatan tegas dan keras dengan sesuatu pendapatnya.

Beliau amat setia dalam bersahabat.

Saya mengkaguminya kerana pandai dalam ‘public speaking’ kerana menurut bakat bapanya Allahyarham Wan Hamid Wan Mahusin. Sehinggakan pada satu ketika beliau pernah dipilih berucap dalam Perhimpunan Agung Umno mewakili negeri Pahang. Pantun memantun yang diluncurkannya sering menjadi tumpuan dan mendapat btepukan gemuruh.

Ketika perkenalan itu, beliau menyokong reformasi yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim, meskipun beliau orang Umno.

Satu lagi bakat yang ada beliau ialah menulis dan di situlah kami berkongsi minat. Pernah beliau menulis sebuah buku berkaitan agama dan buku itu diambil oleh Najib Tuan Razak, yang merupakan Ketua Umno Bahagian Pekan merangkap Naib Presiden Umno ketika itu.

Ketika itu Wan Hamid (ayahnya) ialah AJK Umno Bahagian Pekan.

Itulah Wan Iqbal Afdza Wan Abdul Hamid. Selepas beberapa ketika saya terputus hubungannya dengannya sehingga ketika bertemu kembali, rupa-rupanya bintang beliau cerah dalam politik dan akhirnya dinamakan sebagai calon BN di Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya (sebelum itu Kuala Pahang).

Beliau menang dalam Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) itu mengatasi penyandang dari PAS Mohd Iqbal Hamdy Mohd Rusdy selepas BN dan Umno diterajui oleh Mr Clean, Pak Lah Badawi pada 2004.

Sayangnya, beliau hanya bertahan sepenggal. Maklumlah tempat Najib, sudah tentu orang Najib berebut-rebut untuk menjadi calon. Selepas ditamatkan sebagai YB itu, saya dikhabarkan beliau sering pula berulang-alik ke Indonesia menguruskan perniagaan.

Semalam, pada usianya 47 tahun, beliau kembali ke rahmatullah kira-kira jam 3 pagi ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC), Indera Mahkota, di sini.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 17 Jun lalu akibat darah tinggi sebelum disahkan menghidap strok, kemudian koma dan akhirnya  tidak sedarkan diri sehingga menghembuskan nafas terakhir pada usia yang begitu muda.

Allahyarham pernah menuntut di Univeraiti Yarmouk, Jordan dalam pengajian Bahasa Arab.

Kini beliau melangkah pergi mendahului kita. Berehatlah tuan dan moga tenang di sana dengan bekalan amal jariah yang tidak kering ditaburkan.

Al-Fatihah...


No comments:

Post a Comment