Benarkah Hadis Itu Palsu Seperti Kata Penulis Wan Ji?
Pagi tadi seorang sahabat mengirimkan satu artikel daripada penulis bernama Wan Ji Wan Hussin yang mengulas tentang sebuah hadith berkaitan ‘Rasulullah SAW menyuruh supaya harta yang ada tidak dihebahkan, kerana ramai pendengki.’
Saya ahli akademik. Justeru, saya tidak bermaksud untuk mengulas lanjut tentang apa-apa isu dalam artikel itu, sama ada tentang politik, tentang integriti ataupun tentang tolak isytihar harta. Bagi saya perkara itu tidak timbul kerana usul untuk mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta telah diterima sebulat suara tanpa sebarang bangkangan.
Tulisan saya ini hanya ingin mengulas hadith yang disebutkan oleh penulis tanpa matan (teks) itu. Tulisan ini tidak berbicara tentang maksud atau huraian hadith, tetapi lebih kepada klasifikasi hadith itu sahaja.
Ini kerana hadith ini sangat popular menjadi perbincangan ulama’, lebih-lebih lagi pengkritik hadith terkenal, Syeikh al-Albani menyatakan hadith tersebut adalah diterima!. Ulama’ kontemporari lain seperti Dr. Abdullah al-Sulmi pula klasifikasinya hadith ini da’if tetapi maksudnya baik.
Artikel penulis tersebut hanya memaparkan satu dimensi perbahasan sahaja, lantas kemudian dipanjangkan oleh media sosial dengan penekanan seperti penulis, ‘hadith itu hadith palsu’.
Kata penulis, _‘Sebenarnya, hadis yang dinukilkan.. itu adalah hadis palsu berdasarkan apa yang pernah dinyatakan oleh al-Imam Ibn al-Jawzi. Ia dianggap daif oleh al-Imam al-Iraqi dan al-Imam al-Sayuti, manakala Imam Ibn Abi Hatim menganggapnya sebagai mungkar.”_
Bagi berlaku adil terhadap ilmu penelitian sanad dan klasifikasi hadith, ada baiknya kita melihat teks serta jalur sanad lain bagi hadith tersebut. Guru-guruku selaku mengingatkan sesuatu hadis yang sanadnya dinilai sebagai daif tidak bermakna matan (teks) hadis itu juga daif.
Justeru, kita jangan terlalu pantas menghukum sesuatu teks hadis itu sahih hanya semata-mata sanadnya thiqah; juga jangan terlajak menghukumnya daif hanya semata-mata sanadnya daif. Mungkin khasifikasinya tidak begitu kerana terdapat syadh (keganjilan) atau ‘illat dalam teks hadith atau kewujudan rantaian sanad lain bagi teks hadith tersebut. Kita perlu berhati-hati dan jangan lekas menghukum.
Dalam tulisannya, penulis tidak menyebutkan teks hadith dalam Arab, tetapi daripada perbincangan artikel penulis, teks hadith tersebut mungkin salah satu daripada teks berikut. Saya sebutkan empat contoh sahaja.
اسْتَعِينُوا عَلَى الْحَوَائِجِ بِالْكِتْمَانِ ، فَإِنَّ لِكُلِّ نِعْمَةٍ حَاسِدًا
اسْتَعِينُوا عَلَى إنْجَاحِ الْحَوَائِجِ بِالْكِتْمَانِ ، فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُودٌ
استعينوا على طَلَبِ الحوائجِ بالكِتمانِ مِنَ النَّاسِ فإنَّ لكلِّ نعمةٍ حسْدةً
اسْتَعِينُوا عَلَى قَضَاءِ حَوَائِجِكُمْ بِالْكِتْمَانِ لَهَا ؛ فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُودٌ
Teks hadith ini diriwayat dan dihimpunkan dalam karya hadith oleh ramai, antaranya al-Tabrani dalam ketiga-tiga Mu’jamnya, al-Saghir (1186), al-Awsat (2455) dan al-Kabir (20/94) serta Musnad al-Syammiyyin (408); juga terdapat dalam al-Kamil Ibn ‘Ady (828), al-Syu’b al-Bayhaqi (6655), al-Hilyah Abu Nuaym (5/215 dan 6/96), al-Du’afa’al-‘Uqayli (508 dan 1449), Mu’jam Ibn Jami’ (p.33), Musnad al-Quda’i (707 & 708), I’tilal al-Qulub al-Khara'iti (665) dan dalam pelbagai karya hadith lain.
Semua karya di atas memuatkan teks riwayat daripada Mu’az bin Jabal RA, yang juga terkandung dalam karya hadith daif al-Du’afa’ oleh Ibn Jawzi. Ulama’ hadith lain termasuklah Ibn Abi Hatim dalam ‘Ilal (2/255), al-Suyuti dalam Jami’ al-Saghir dan syarahnya al-Munawi dalam Faidh al-Qadir (1/630), al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ (1/135) dan al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (8/195) menyatakan hadith ini da’if kerana mempunyai dua masalah:
(i) Sanadnya terputus kerana perawi Khalid bin Ma’dan tidak mendengar hadith daripada Mu’az bin Jabal RA.
(ii) Perawi sanad semuanya diterima (siqah) kecuali perawi Sa’id bin Salam al-‘Attar al-Basri yang dipertikaikan oleh ulama’ hadith.
Ramai ulama’ al-Jarh wa al-Ta’dil menolak periwayatannya termasuklah al-‘Uqayli, al-Razi, Ibn Hibban, Abu Zur’ah, al-Zahabi serta Imam Ahmad, al-Bukhari dan al-Nasa’i . Walaupun begitu, Ahmad bin Salih al-Jili, al-‘Ijli dalam Thiqat dan Yahya bin Ma’in (pada suatu riwayat) pula menyatakan beliau tiada masalah.
Menurut Ibn ‘Adi dalam al-Kamil (489), perawi Sa’id bin Salam pada hadith ini mempunyai mutaba’ah (penguat) perawi lain iaitu Hussin bin ‘Ulwan tetapi perawi tersebut juga dikatakan da’if.
Namun, pengkritik hadith moden, al-Albani menyatakan hadith ini diterima. Malah, al-Albani turut memuatkan hadith ini dalam al-Silsilah al-Sahihah beliau (3/436 hadith no. 1453) serta Sahih al-Jami’ (hadith no. 943). Beliau menyatakan hadith ini ‘baik bagiku’ walaupun ulama’ lain tidak menerimanya.
Ini kerana al-Albani bukan melihat sanad hadith ini semata-mata daripada Mu’az bin Jabal RA, tetapi daripada jalur sanad daripada Sahabat lain termasuklah Abu Hurayrah RA, ‘Ali bin Abi Talib RA, ‘Umar al-Khattab RA, Ibn ‘Abbas RA dan Abu Burdah RA.
Albani apabila ditanya tentang sebuah karya yang menolak pandangannya tentang hadith ini, iaitu karya Syeikh Khalid al-Mu’azzin yang bertajuk (إقامةُ البرهان على ضعف حديث استعينوا على إنجاح الحوائج بالكتمان وفيه الرد على العلامة الشيخ محمد ناصر الدين الألباني), Albani berkata beliau membaca buku kritikan tersebut. Lalu Albani menyatakan beliau tidak melihat kepada satu sanad yang daif tersebut, tetapi melihat kepada keseluruhan thuruq (jalur-jalur) riwayat berkaitan yang menunjukkan hasan (baik).
Apabila diteliti terdapat 29 syawahid (penguat) hadith ini pada rantaian sanad lain. Berikut disertakan empat contoh rantaian sanad berlainan daripada perawi a’la Sahabat yang berlainan.
Daripada Mua’az bin Jabal RA dalam Mu’jam al-Awsat al-Tabrani (2519):
حَدَّثَنَا أَبُو مُسْلِمٍ ، قَالَ : نا سَعِيدُ بْنُ سَلامٍ الْعَطَّارُ ، قَالَ : نا ثَوْرُ بْنُ يَزِيدَ ، عَنْ خَالِدِ بْنِ مَعْدَانَ ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اسْتَعِينُوا عَلَى إنْجَاحِ الْحَوَائِجِ بِالْكِتْمَانِ ، فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُودٌ
Daripada Abu Hurayrah RA dalam Rawdah al’Uqala’ Ibn Hibban (91). Kata Abu Hatim, ‘Sanad ini baik’.:
أَنْبَأَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سُلَيْمَانَ بْنِ فَارِسٍ الدَّلالُ ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ سَعِيدٍ الْعَبْدِيُّ ، حَدَّثَنَا سَهْلُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ مُطَرِّفٍ أَبِي غَسَّانَ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ الْمُنْكَدِرِ ، عَنْ عُرْوَةَ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اسْتَعِينُوا عَلَى الْحَوَائِجِ بِالْكِتْمَانِ ، فَإِنَّ لِكُلِّ نِعْمَةٍ حَاسِدًا
Daripada ‘Umar bin al-Khattab RA dalam I’tilal al-Qulub al-Khara'iti (651):
حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حَرْبٍ ، قَالَ : حَدَّثَنَا حَلْبَسُ بْنُ مُحَمَّدٍ ، عَنْ جُرَيْجٍ ، قَالَ : قَالَ عَطَاءُ بْنُ أَبِي رَبَاحٍ : قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " اسْتَعِينُوا عَلَى قَضَاءِ حَوَائِجِكُمْ بِالْكِتْمَانِ لَهَا ؛ فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُودٌ
Daripada Abu Burdah RA dalam Adab al-Suhbah al-Sulami (56). Juga riwayat al-Sahmi dalam Tarikh Jurjan (356):
أنا إِبْرَاهِيمُ بْنُ عَلِيِّ بْنِ مَعْقِلٍ ، قَالَ : أنا أَبُو الْفَضْلِ الْمَرْوَزِيُّ ، قَالَ : أنا عِيسَى بْنُ يُونُسَ ، قَالَ : أنا السيناني ، قَالَ : أنا الْحُسَيْنُ بْنُ وَاقِدٍ ، عَنِ ابْنِ أَبِي بُرْدَةَ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " اسْتَعِينُوا عَلَى حَوَائِجِكُمْ بِالْكِتْمَانِ , فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُودٌ "
Walaupun penguatnya banyak, ramai ulama’ hadith menyatakan sanad dalam riwayat di atas adalah daif atas faktor mursal, munqati’ (terputus sanad) atau kedaifan perawi.
Namun, dalam perbincangan ilmu hadith, sesebuah hadith yang daif boleh diangkat sebagai hasan (diterima) jika mempunyai jalur sanad yang lain yang menguatkannya. Malah, perawi pada sanad riwayat Abu Hurayrah RA lebih diyakini diterima seperti nukilan Abu Hatim. Lagi satu maksud hadith juga adalah baik.
Kesimpulannya, hadith ini antara hadith-hadith yang dibincangkan dari segi klasifikasinya. Ada menolak, ada menerima. Meletakkannya sebagai daif boleh berkira. Memukulnya sebagai hadith palsu amatlah tidak manis. Tiada masalah jika menerimanya sebagai bukan daif kerana ulama’ hadith ada yang menerimanya.
Dr. Najahudin Lateh
Shah Alam
2 Julai 2019
No comments:
Post a Comment