Wednesday, May 18, 2011

Himpunan raksasa warga Felda

Setelah 55 tahun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda ditubuhkan, hari ini agensi tersebut berdiri megah sebagai syarikat korporat terkemuka hasil industri perladangan antara yang terbesar di dunia. Perolehan pendapatannya pula berada di tempat kedua selepas Petronas.

Di sebalik kehebatan dan kemegahan ini, tidak ramai yang menyedari bahawa para peneroka yang memiliki 10 ekar tanah ladang seorang itulah yang selama ini memainkan peranan besar dengan berpenat lelah membanting tulang, menghamburkan keringat dan darah serta bergelumang dengan keperitan dan berjuang untuk hidup.

Anehnya di manakah peneroka? Selepas setengah abad berlalu kekayaan dan kemewahan Felda rupa-rupanya tidak mengalir seperti selayaknya kepada peneroka-peneroka yang berjasa besar ini. Malah mereka masih terperangkap dengan perjanjian demi perjanjian dan jerat hutang yang tidak pernah kunjung selesai. Selain daripada itu terdapat terlalu banyak cerita-cerita duka yang timbul. Antaranya ialah berkaitan isu-isu perladangan, monopoli kekayaan Felda, masalah sosial serta kurangnya penyertaan anak-anak peneroka didalam agensi-agensi milik Felda.

Insaf dengan dengan fenomena sedemikian satu Himpunan Perdana Peneroka Felda yang disertai kira-kira 2000 generasi kedua dan ketiga Felda seluruh Pahang akan diadakan di sekitar Jengka dan Kerdau, Pahang pada 27 dan 28 Mei ini. 4 November minggu lalu.

Menurut penganjur, logik himpunan generasi kedua Felda diadakan di Jengka ini ialah kerana ia merupakan tanah rancangan paling luas di Pahang sedang lebih satu pertiga keluasan Felda seluruh negara terletak di negeri ini. Dengan kedudukan strategik di daerah Temerloh, Maran dan Jerantut, ia juga dianggap mempunyai sentimental value kerana berada di negeri pelopor Felda sendiri iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Husin. Kebetulan pula tanah rancangan Felda pertama terletak di Pahang iaitu Lurah Bilut.

Antara lain matlamat perhimpunan ialah untuk menghimpun warga peneroka bagi mendapatkan sokongan pengundi-pengundi FELDA di Pahang yang merupakan nadi kemenangan PAS, mendedahkan kepada peneroka hak-hak yang layak dituntut, menjana momentum peneroka bersikap berani bagi menuntut hak mereka terhadap FELDA, memperlihatkan bahawa PAS menjuarai isu-isu kezaliman terhadap peneroka seperti isu KPG, wang TTS dan harta pusaka (faraid) yang membawa perbalahan keluarga di kalangan peneroka FELDA dan memprogramkan generasi muda supaya berkecenderungan kepada PAS.

Antara tokoh yang akan terlibat ialah Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, YB Nurul Izzah Anwar, Normala Sudirman, Mazlan Aliman, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Haji Mohamad Sabu, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Siti Aishah Sheikh Ismail, Harris Abdullah, Fadzli Ramly dan Bob Lokman.

Sementara itu Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata luas kawasan Felda ialah 883,000 hektar atau 2,000,000 ekar dan mampu meraih keuntungan berbilion ringgit setahun. Namun kekayaan yang dikecapi tidak mengalir kepada peneroka. Kekayaan yang diperolehi membuatkan pegawai-pegawai kanan memperolehi puluhan ribu sebulan sedangkan para peneroka yang memiliki atau tuan tanah kepada 10 ekar tanah seolah-olah seperti kuli sepanjang masa.

Katanya lagi, wawasan Tun Razak menubuhkan Felda dulu ialah supaya orang Melayu berdikari dan akhirnya Felda ini akan dipimpin dan ditadbir oleh pewaris peneroka iaitu generasi kedua.


1 comment:

  1. HIMPUNAN RAKSASA?
    TAK PANGGIL ULTRAMAN KE?
    HEHEH...

    ReplyDelete