Saturday, December 31, 2011

Lynas: Pengarah JAS Pahang diminta bercakap benar


Kenyataan Media
MP Kuantan
31 Dis 2011

Surat Terbuka
Kepada Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang
Dr Ahmad Kamarul Najuib Che Ibrahim

Tuan Pengarah,

Kenyataan Tuan Pengarah yang dilaporkan oleh akhbar Sinar sewaktu taklimat tertutup anjuran JASA pada hari khamis 29hb Disember berkenaan isu kilang Lynas, menggunakan fakta untuk menyelewengkan pandangan awam dan wajar di perbetulkan.

Selaku Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang pihak tuan harus bersifat lebih bertanggungjawab kepada rakyat. Apabila pihak tuan membuat kenyataan bahawa " kilang Lynas ialah kilang kimia dan bukan kilang radioaktif" ianya merupakan kenyataan 'separuh benar' yang berselindung di sebalik fakta.

Mengapakah pihak tuan selaku Pengarah JAS tidak boleh berterus terang dengan status sebenar kilang Lynas.
Iaitu:

1) Bahawa kilang ini ialah kilang kimia yang akan mengeluarkan sisa buangan bersifat radioaktif diparas 6bq|g. Menteri MOSTI didalam Dewan Rakyat pada 14 nov juga telah mengakui bahawa WLP (water leach purification) solid residue -sisa berbentuk pepejal ialah sisa yang diklasifikasikan sebagai radioaktif.

2) Bahawa Kilang Lynas juga merupakan logi pemrosesan 'rare earth' yang terbesar didunia di luar negara Cina apabila ianya beroperasi sepenuhnya kelak dan akan mengeluarkan sebanyak 30% keperluan 'rare earth' didunia.
Kilang Lynas menggunakan bahan galian yang dibawa dari Australia dan kemudian di proses di Gebeng dimana sisa radioaktifnya akan di buang di Malaysia.


3) Sisa pepejal bersifat radioaktif (WLP solid residue) yang akan di keluarkan nanti ialah sebanyak lebih dari 60,000 metric ton setahun dan setakat ini masih belum ada jalan penyelesaian yang ditemui oleh Lynas berkenaan dengan pengurusan jangka panjang sisa buangan radioaktif tersebut. Malah cadangan dari Lynas telah di tolak sekurang-kurangnya 3 kali oleh pihak AELB.

4) Bahawa Preliminary EIA untuk kilang Lynas diluluskan secara ekspres dalam masa 3 minggu oleh JAS Pahang. (Diterima 21 Jan 2008 dan mendapt kelulusan 15 feb 2008.

5) Bahawa Detailed EIA tidak pernah di pinta keatas Lynas oleh pihak JAS Pahang.

6) Bahawa pada 20 june 2011, pihak JAS telah pun meletakkan aktiviti seperti kilang Lynas ini diantara yang memerlukan DEIA. (Aktiviti memproses bahan radioaktif dan mengeluarkan sisa buangan radioaktif) - fakta ini menunjukkan bahawa aktiviti kilang ini termasuk didalam aktiviti yang memerlukan penelitian dan kajian terperinci berkenaan kesan pemrosesan di kilang ini terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.


Kesemuanya ini wajib di terangkan kepada orang ramai. Mengapa JASA perlu adakan taklimat tertutup? JASA juga telah tidak membenarkan sebahagian dari meraka yang hadir dan wartawan untuk masuk ke Dewan Auditorium RTM. Mengapa perlu JASA mengatakan bahawa isu ini isu sensitif dan juga mengatakan bahawa ada pihak yang cuba manipulasi fakta.

Mengapakah Pengarah JAS perlu bersekongkol dengan JASA dalam taklimat tertutup? Bukan kah juga tanggungjawab Pengarah JAS ialah memberitahu perkara yang benar kepada rakyat dan tidak diperalatkan sebagai alat politik oleh pihak pemerintah yang mahu memutar belitkan fakta sebenar?

Demi Rakyat, saya tuntut Pengarah JAS Pahang menjelaskan kebenaran kepada rakyat berlandaskan fakta sebenar.

Fuziah Salleh
MP for Kuantan, Malaysia

Friday, December 30, 2011

Peneroka Umno, pergi tanya Zainal Hasan

Seseorang itu tidak akan dilihat bodoh jika dia sendiri tidak memperlihatkan kebodohannya. Begitulah sebaliknya.

Di Jengka baru-baru ini terdapat sekelompok peneroka Umno yang berdemonstrasi, kononnya membantah tindakan empat orang peneroka dari Jengka 15 baru-baru ini yang memfailkan injunksi terhadap KPF yang akan bermesyuarat menetapkan status Tan Sri Isa Samad (5 Jnauari depan) yang mahukan Felda melalui FGVB disenarai dalam bursa saham.

Kalau nak diikutkan kenyataan akhbar pendemo yang diketuai oleh peneroka Umno itu, mereka percaya bahawa tindakan kerajaan untuk menyenaraikan aset Felda (yang dibangunkan duit peneroka) itu adalah tepat dan mereka percaya kepada perdana menteri.

Barangkai peneroka Umno tidak pernah bertanya ke mana lenyapnya Bank Bumiputera. Pandai sangatkan pimpinan tertinggi Umno sehingga hilang institusi kewangan terbesar Melayu?

Janganlah tertipu dengan kenyataan untuk dapat durian runtuh, harta benda peneroka boleh dipajak.

Saya sarankan peneroka-peneroka Umno ini pergilah merujuk kepada Dato’ Zainal Hasan. Sebab saya dengar Dato’ Zainal antara ahli lembaga pengarah Felda yang menentang cadangan Isa Samad untuk senarai sahamkan harta Felda.

Mereka juga boleh tanya Ketua Peneroka iaitu Pak Sam, yang mahu “diluku” oleh Isa Samad dalam ceramahnya. Cuba tanya mengapa Pak Sam tak setuju. Pada perkiraan kita, tentulah Pak Sam lebih cerdik sedikit daripada peneroka-peneroka Umno Jengka!

Selain daripada itu, peneroka-peneroka Umno juga boleh membaca apa yang ditulis oleh bekas YB Umno Dun Pulau Manis iaitu Dato’ Aris Sabri.

Antara lain beliau menulis dalam blognya: “Setelah di IPO kan, pegangan FGV ialah sekitar 28%. ( 39% dari 70% perniagaan). Pegangan KPF ialah 42%. FGV akan set aside sebahagian dari saham mereka untuk di agihkan kepada 220,000 peneroka. Berapa banyak yang akan di agihkan? Katalah 10%. 10% itu berapa nilai nya dalam sebutan mutlak? Saya tidak tahu macam mana mereka buat perhitungan, tapi target FGV ialah mencatat nilai 7 billion apabila di IPO. Jadi kalau mereka set aside 10%, maka nilai mutlak nya ialah 700 juta. Bahagikan 700 juta ini dengan 220,000, maka seoang peneroka akan mendapat lebih kurang RM3200 seorang.

“Terpulanglah kepada peneroka untuk berfikir adakah premium 3200 seorang ini setimpal dengan penyerahan segala yang mereka miliki secara langsung melalui KPF dalam FH berbaloi. 3200 di bahagikan dengan 12 bulan, tidak sampai 300 Ringgit sebulan.”

Datuk Sak juga menggesa jangan cepat sangat percaya dengan kata-kata manis Isa dan Najib yang sering menyebut durian runtuh. Durian runtuh itu hanya sekali, cuba renung apa akan jadi dalang jangka panjang.

Kalau tak tahu bab saham-saham ni, tanya orang yang arif ekonomi macam Dato’ Sak.

Katanya: “Apabila penstrukturan berlaku, kepentingan peneroka akan meningkat kepada 61%. Kan itu lebih banyak? Tapi 61% daripada berapa? Jika 30% saham di resebkan untuk orang awam, maka baki perniagaan yang tinggal ialah 70%. 61% dari 70% hanya sekitar 42% sahaja. Jadi pegangan kepentingan peneroka mengecil dan bukan membesar. Tapi business nya besar kata pihak FELDA. Ianya besar setelah IPO. Betul, tapi nilai pegangan peneroka akan hanya bertambah jika modal yang di perolehi oleh FGV di laburkan semula kedalam bisnes FGV. Tapi kita tidak pasti ini akan berlaku. Rekod FGV tidak menyokong optimism seperti ini.”

Jadi kalau tak tahu, peneroka-peneroka Umno jangan buat-buat tahu. Jangan ugut peneroka lain yang mahu mempertahankan hak mereka!


Thursday, December 29, 2011

Pejuang Api, Rejimen Ke-10 Ibrahim Chik meninggal dunia

Bekas pejuang pembebasan tanah air melalui Angkatan Pemuda Insaf(Api) dan sektor Melayu dalam Partai Komunis Malaya (PKM),Rejimen ke 10, meninggal dunia di rumah anaknya di Taman Setia Jasa, Batu 7, Temerloh pukul 9 malam sebentar tadi pada usia 89 tahun kerana sakit tua.

Beliau meninggalkan seorang balu, Zamiah, dan tiga orang anak. Dua perempuan dan seorang lelaki.

Anak kelahiran Sungai Dingin, Mentakab yang merupakan guru agama, memilih jalan masuk hutan di Lubuk Kawah bersama nasionalis tulen yang lain setelah perisytiharan tangkapan dan darurat oleh penjajah Inggeris pada 1948. Cerita panjang perjalanan dan perjuangannya menentang penjajah diabadikan dalam memoirnya.

Beliau kembali ke tanah air setelah perjanjian damai dua kerajaan dengan PKM.

Selamatkan Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Pak Brahim, dan mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh pejuang tanah air itu.

Al-Fatihah...



Berita ni konfem tak keluar Utusan TV3

Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, 439 lagi keluar parti

Susan Loone & Low Chia Ming
9:00AM Dis 29, 2011

Dalam satu tindakan yang mengejutkan malam tadi, Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Eng Hiap Boon meletak jawatan daripada semua jawatan parti, kerana mendakwa kecewa dengan kepimpinan MCA.

penang mca youth chief eng hiap boon quit party 281211 eng hiap boonEng (kanan) berkata 439 ahli juga turut keluar parti bersama-sama dengan dia, mengakibatkan dua MCA cawangan di negeri itu dibubarkan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di George Town malam tadi, Eng berkata, beliau dan rakan-rakan seperjuangannya amat kecewa dengan pemimpin parti yang menurutnya sedang berdepan dengan isu moral dan tidak beretika dalam kepimpinan mereka.

Perbalahan dalaman parti, tambahnya, semakin buruk dan para pemimpin pula didakwanya enggan melibatkan diri dengan akar umbi atau berkhidmat kepada rakyat secara ikhlas.

Eng dikenali sebagai "penyokong tegar" bekas presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, tetapi tegasnya, tindakannya itu adalah keputusannya sendiri.

Katanya, beliau juga difahamkan bahawa kira-kira 500 ahli parti dari Johor mungkin turut keluar MCA pada masa yang sama (malam tadi), mengakibatkan pembubaran lima cawangan parti itu.

Eng berkata, beliau tidak tahu bila badai itu akan berhenti, tetapi menegaskan bahawa kepimpinan MCA perlu melakukan muhasabah diri.


~ Sumber Malaysiakini

Wednesday, December 28, 2011

Mangsa saman demo, hantar memorandum kepada MPK Jumaat ini

KUANTAN, 28 Dis: Pakatan penduduk di sini yang menamakan kumpulan mereka Suara Kumpulan Rakyat akan mengadakan perhimpunan aman sebelum menyerahkan memorandum di pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Jalan Tanah Putih pada 30 Disember ini.

Menurut penyelaras kumpulan berkenaan, Shukri Jamaluddin, hampir 500 orang yang pernah menjadi mangsa MPK mengesahkan akan hadir bagi memprotes saman parking oleh oleh pihak berkuasa itu yang disifatkan keterlaluan.

“Pengguna kenderaan di daerah ini seolah-olah fobia dengan MPK kerana kenderaan mereka boleh disaman sesuka hati walaupun pada pukul 2 hingga 4 pagi sedangkan MPK sepatutnya sedar bahawa parkir awam di bandar ini tidak mencukupi.

“Apa yang dikesalkan pengguna, kenderaan mereka disaman pada hari Ahad dan cuti umum seperti hari raya, sambutan hari kemerdekaan, majlis-majlis rasmi, expo dan karnival. Yang sedihnya, pada waktu solat termasuk hari Jumaat juga kenderaan disaman.

“Ini sudah tentu tidak masuk akal. Bahkan yang lebih menjadi kemarahan penduduk ialah kenderaan mereka disaman dalam kawasan perumahan, kawasan hospital dan di Pusat Pengajian Tinggi,” katanya.

Tambah Shukri, ada pengguna mengadu kenderaan mereka disaman berkali-kali pada hari yang sama dan ada pula yang merungut kenderaan yang sudah membayar parking bulanan
juga disaman oleh MPK.

Katanya isu ini telah lama menghantui warga Kuantan dan pelancong justeru mereka mahu MPK lebih berhemah sehingga tidak dilihat menjadikan wang saman sebagai sumber pendapatan utama.

“Bayangkan sekali saman RM5, tetapi dalam tempoh sebulan jika tak bayar boleh jadi RM30. Ini bukannya isu kita tidak mahu bayar saman, tetapi isu yang lebih besar ialah tindakan saman oleh MPK jelas melampaui batas dan sistem gores kupon yang digunakan jelas menguntungkan MPK sedangkan rakyat terus didera.

“Kita tidak mahu saman parking dijadikan satu kaedah paling mudah untuk mengisi kewangan MPK. Bayangkan sudah begitu ramai penguatkuasa, attendan parking pula diberi kuasa menyaman. Dan terbaru, semua kakitangan MPK telah diberikan kad kuasa dan buku saman sebagai kerja sambilan mereka untuk mendapat komisyen.

“Jika tidak MPK akan buat pesta saman pula semasa SUKMA 2012 di Kuantan Julai nanti. Oleh itu sesiapa saja yang pernah menjadi mangsa digesa datang pada waktu tersebut dan berkumpul di Taman Esplanade memakai baju merah dan memawa bersama resit-resit saman serta poster bantahan sebagai tanda protes.

“Sebab itu dalam memorandum itu nanti kita nyatakan mahu MPK kembalikan sistem bayaran parking kepada sistem asal iaitu meletakkan resit kuning atau parking bermeter,” katanya.

Tambahnya, Kuantan merupakan ibu negeri serta bandar pintu masuk ke Pantai Timur justeru sudah tentulah tindakan rakus MPK itu boleh memberikan imej buruk sebagai ‘bandar saman’ di mata umum terutama kepada pelancong.

Saman terhadap KPF, FGV didengar 4 Januari

TEMERLOH, 28 Dis: Kes Empat orang ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) yang memfailkan saman pemula memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, ditetapkan pendengaran di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 4 Januari ini.

Injunksi yang juga dibuat bagi menghalang penyenaraian saham FGVH di Bursa Malaysia dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding itu akan didengar di hadapan hakim Datuk Mariana Yahya.

Serentak dengan itu, peguam plantif Mohd Harris Abdullah, akan mengemukakan “interim injunction” pada hari tersebut bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari.

“Memandangkan masa yang suntuk, saya akan memohon interim injunction secara lisan kepada hakim pada hari tersebut bagi menghalang meyuarat agung KPF keesokan harinya.

“Kita memfailkan saman injunksi di Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum ini adalah untuk menghalang mesyuarat agung tersebut jadi jika dibenarkan hakim keputusan injunksi itu akan dihantar segera ke pejabat Felda,” katanya kepada Harakahdaily.

Jumaat lalu Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya ahli KPF dari Felda Jengka 15,
telah memfailkan saman pemula terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saman tersebut adalah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.

Difahamkan, mesyuarat khas KPF itu adalah untuk mengesahkan status Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF dan meminta sokongan ahli KPF bagi pelupusan ekuiti koperasi itu dalam Felda Holding untuk tujuan penyenaraian FGVH ke dalam Bursa Malaysia.

Sebelum ini Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memaklumkan Isa belum menjadi Pengerusi KPF namun beliau dikatakan sudahpun bertindak sebagai penjawat itu berdasarkan surat pelantikan daripada Perdana Menteri.

Tindakan menyenaraikan saham Felda melalui FGVH juga turut dipertikai warga Felda kerana prestasi KPF iaitu koperasi terbesar dalam negara pada masa ini paling berjaya sehingga memperolehi RM5 bilion setahun dan menjana keuntungan sebanyak RM800 juta manakala rizab tunainya sahaja melebihi RM1.1 bilion.

Sebaliknya penyenaraian saham FGVH yang mahu disekat peneroka itu didakwa hanya untuk mendapatkan dana sebesar RM3 bilion untuk agenda tertentu menjelang April nanti.


~ Sumber: Harakahdaily



Tuesday, December 27, 2011

Banjir di Rompin: Tv 3 bohong!

Selama ini orang ramai menganggap TV3 hanya berbohong dalam soal-soal politik pembangkang sahaja, rupa-rupanya dalam hal banjir pun mereka nak pekenakan penonton.

PAS Rompin hari ini menempelak siaran berita Buletin Utama TV 3 yang menyiarkan kononnya Tanjong Gemok, Rompin kini lumpuh disebabkan banjir sebagai penipuan besar.

Pengarah PAS Dun Tioman, Mohd Fadzli Ramli, berkata sebenarnya tidak ada langsung air di atas jalan di Tanjong Gemok (jeti untuk ke pulau Tioman) dan berita tersebut jelas menipu serta tidak bertanggungjawab.

“Dalam dua, tiga hari lepas pun air pasang dekat menara jam saja di situ, nampok beno nipunya...,” cekasnya dalam facebooknya.

Sementara pengomen-pengomen posting berkenaan kesal kerana “berita pasal banjir pun nak tipu jugak ker”.

Sementara yang lain mengatakan mungkin selama ini televisyen berkenaan berbohong dalam soal politik bagi menyokong Umno, tetapi mereka tidak faham bagaimana dalam hal banjir pun TV3 mahu menipu. Sedangkan cerita tidak benar itu boleh menimbulkan kekeliruan dan huru-hara.

Aksi apek Chua

Jika beberapa ketika dulu Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek begitu kontroversi dengan penyiaran video lucah bersama teman wanitanya, kini didedahkan pula aksi beliau dengan seorang wanita muslimat.

Chua yang sejak akhir-akhir ini begitu lantang menghina hukum Islam, digambarkan sedang begitu asyik mahsyuk seperti bergurau senda dalam satu majlis di kerusi VIP.

Gambar tersebut dipercayai didedahkan sendiri oleh penyokong Umno melalui facebook.

Bagi seseorang pengamal hidup bebas, adegan yang dipertontonkan mungkin dianggap biasa. Tetapi bagi yang tahu tata cara dan adab hidup bermasyarakat secara Islam, perlakuan terbuka seperti itu boleh dianggap sangat mengaibkan. Juga terasa jengkel dan meloyakan tekak bagi pelakon setua itu untuk beraksi di hadapan umum!

Sebagai bukti, boleh lihat di:
http://www.facebook.com/photo.php?fbid=198449613582950&set=a.179610805466831.42195.100002537375765&type=1&theater

Monday, December 26, 2011

Al-kisah Umno dan Melayu

1. Siapakah yang menukar wang Royalti kepada wang Ehsan pada tahun 2000 apabila PAS berjaya merampas negeri dari tangan BN dalam PRU 1999?

2. Siapakah yang menghalang kerajaan kedua2 negeri bermajoriti 95%Melayu menikmati hasil royalti Petronas, sedang negeri2 seperti Sabah dan Sarawak tidak dikenakan tindakan sama?

3. Siapakah yang menghalau peneroka bandar Melayu di Kg Berembang, Kg Plentong, Kg Chubadak, Kg Malaysia Tambahan?

4. Siapakah yang menghalau Melayu Pulau Pinang dengan helah pembangunan hingga mereka merempat ke Seberang Jaya dan Kedah Selatan?

5. Siapakah yang menggadai Tanah Rezab Melayu hampir 50% dari 3 juta hektar pada 1948 kepada 1.6 juta hektar pada 1997?

6. Siapakah yang membunuh orang Melayu kerana perbezaan fahaman politik di Kg Memali, Lubuk Merbau dan Hutan Aji?

7. Siapakah yang membolot saham AP untuk menantu dan kroni, sedang ia adalah hak setiap rakyat dibawah dasar DEB?

8. Siapa yang melingkupkan dasar DEB hingga milikan ekuiti Melayu tersekat kepada 18% pada 2000.

9. Siapakah pula yang memansuhkan DEB, dan diganti dengan dasar Liberisasi dan Model Ekonomi Baru yang mesra kapitalis dan anti subsidi?

10. Siapa yang menyelewengkan dana untuk orang2 Melayu yang miskin dalam program PPRT?

11. Siapa yang mengkhianat wasiat Raja2 Melayu menjelang kemerdekaan supaya tidak diserah bukit, gunung dan pulau kepada bukan Melayu?

12. Siapa yang mencipta krisis perlembagaan 1982 yang menyebabkan kuasa Yang DiPertuan Agung terhakis dan hanya sekadar menjadi rubber stamp Parlimen?

13. Siapa pula yang melucutkan kekebalan raja2 Melayu pada awal 1990-an?

14. Siapa yang menggelarkan rajanya 'MENATANG' bila namanya ditolak sebagai Menteri Besar Terengganu selepas PRU12 yang lalu?

15. Siapakah yang mengubah sempasan kawasan undi majoroti Melayu bila Melayu sendiri menolak Umno dalam PRU 1999?

16. Siapa yang melanggar peruntukan Perlembagaan mengenai hak2 istimewa Melayu untuk mendapat biasiswa?

17. Siapa yang menukar biasiswa kepada pinjaman dengan kadar 4%?

18. Siapa yang mencemar bahasa Melayu dengan istilah-istilah "infotainment", "boulevard", "presint", "bajet" dan lain2?

19..Siapa yang menukar bahasa pengantar dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan Matematik pada ketika jurang pendapatan bandar-luar bandar semakin melebar?

20. Siapa yang mencadangkan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris untuk SPM dan bahasa pengantar Inggeris di universiti2?

21. Siapa yang jual air kepada negara jiran dengan harga 3 sen 1000 liter, dan jual balik kepada rakyatnya sendiri dengan harga 80 sen 1000 liter?

22. Siapa yang serah blok minyak kepada negara Brunei tanpa persetujuan DUN, Parlimen atau YDPA?

23. Siapa yang cuai menjaga tanahair sendiri hingga Pulau Batu Putih dan Singapura terlepas ke negara orang?

24. Siapa yang menghapuskan tulisan jawi dari diajar di sekolah2?

25. Siapa yang kata Sekolah Agama Rakyat (SAR) tempat melahir militan dan ekstrimist?

26. Atas alasan itu, siapa yang menghentikan geran perkapita kepada SAR hingga menyebabkan sebahagian institusi pendidikan agama hidup segan, mati tak mahu?

27. Siapa yang mencadangkan pelan pembangunan Kg Baru Kuala Lumpur hingga membuka milikan kepada 40% bukan Melayu?

28. Siapa yang kekang akta2 maklumat, Auku dan pandangan2 kedua orang Melayu supaya orang Melayu senang diper*****kan?

29. Siapa yang naikkan harga petrol,diesel dan barangan asas kepada ketika Melayu adalah golongan majoriti yang miskin di negara ini?

30. Siapakah pula yang memper*****kan dirinya konon mengaku Melayu sedang nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) dibuang dan diguna bahasa penjajah UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION (UMNO)?

_ Pahlawan Sunyi (facebook)

Sunday, December 25, 2011

Jaip 'tangkap' Bob Lokman

Sekarang ini kalau buat maksiat bebas, jarang-jarang ditangkap. Tetapi kalau memberi nasihat agama, awas, akan cepat-cepat ditangkap.

Buktinya, bekas pelakon dan penulis lirik lagu terkenal, Bob Lokman, yang pernah menerima waran tangkap Jabatan Agama Islam Selangor, semalam menerima notis daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kerana disyaki menyampaikan ceramah tanpa tauliah.

Bob atau nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, ditahan pegawai Jaip sebaik selesai menyampaikan tazkirah selepas solat Maghrib di hadapan jemaah Masjid Taman Sri Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang dekat sini.

Seperti biasa, Bob Lokman berucap memberi beberapa nasihat menegnai pengalaman hidupnya dan kembali ke pangkal jalan. Sebaik selesai, beliau didekati kakitangan Jaip lalu membawa Bob ke beranda masjid untuk disoal siasat.

Mereka mengambil maklumat daripada Bob Lokman pada ketika jemaah yang penuh sesak ketika itu menunaikan Solat Isyak dan Bob disiasat di bawah Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Bagaimanapun beliau tidak ditangkap malah Bob Lokman kemudiannya menyampaikan ceramah di Kampung Razali, Jalan Gambang,” katanya.

Ramai yang percaya, tindakan Jaip itu ekoran rungutan dan bantahan orang politik (Umno) yang merasa tercabar dengan kebebasan Bob Lokman yang boleh memberi nasihat di masjid tanpa dapat tauliah terlebih dulu.

Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 ialah peruntukan bagi “Mengajar Ugama yang salah” di mana jika sabit kesalahan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Ehhh, salah ke ajak orang buat baik ha? Bob berceramah bukannya macam Umi Hafilda.


Saturday, December 24, 2011

Umno sebar kartun lucah di UiTM

GAMBAR LUCAH DIEDAR MERATA DI UITM

23 DISEMBER 2011, UITM SHAH ALAM:
edaran risalah bergambar lucah (seperti dalam gambar) memaparkan karikatur Anwar dan Saifudin sedang berliwat hangat diperkatakan oleh seluruh warga kampus UITM Shah Alam. Edaran yang disedari oleh seorang mahasiswa itu segera dilaporkan kepada wakil aktivis siang tadi.

KAMI UITM percaya bahawa ini adalah kesinambungan kempen puak-puak penentang yang cuba memburukkan nama aktivis mahasiswa dan pemimpin masyarakat yang pro-Mahasiswa tidak kiralah dari UMNO atau Pakatan.

Semalam, dipercayai kumpulan yang sama mengedarkan risalah berbaur hasutan menghina seorang pimpinan aktivis mahasiswa UITM. Risalah itu menunjukkan gambar mahasiswa yang difitnah itu seraya menggelarkan mahasiswa tersebut sebagai "penyebar ajaran sesat".

Mangsa, KHALID MOHD ISMATH berkata ketika ditemui, "kita sudah mual dan muak dengan cara taktik lama ini. Sejak 2009, apabila ada sahaja suara yang lantang mengkritik pentadbiran kampus, maka akan wujudlah puak-puak "bawah tanah" ini yang bertindak secara bacul dengan tidak berlawan dengan hujjah sebaliknya berlawan dengan gangsterisma dan fitnah. kita doakan mereka semua diberi petunjuk dan hidayah."

dipetik dari:
Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)



Friday, December 23, 2011

Anak PJ, SU Ulamak peroleh 8 A PMR

Anak perempuan Pesuruhjaya PAS Pahang Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat keputusan 8 A dalam peperiksaan PMR yang diumumkan semalam.

Anak Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pahang, Ahmad Nazmi Abdul Rahim juga memperoleh 8 A dalam peperiksaan yang sama.

Mus'ab Umair bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara, Pekan.

Semoga keduanya menjadi penerus perjuangan Islam yang telah diasaskan keluarga.

Shahrizat letak jawatan?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mulai dihujani pertanyaan wartawan apakah ahli kabinetnya Menteri Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sudah meletakkan jawatan.

Difahamkan, cerita Ketua Wanita Umno itu meletak jawatan mula disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina.

Shahrizat akhir-akhir ini diasak dengan persoalan skandal melibatkan syarikat lembu National Feedlot Centre (NFC) bernilai RM250 juta dan tanah 5,000 ekar di Gemas yang dimiliki keluarganya.

Apabila dibongkar, syarikat yang sepatutnya memenuhi keperluan 41% keperluan daging negara itu juga disyaki memiliki lain-lain kemewahan seperti banglo mewah, restoran mewah, serta pusat beli belah di Singapura.

Dapat juga dikesan syarikat itu memiliki dua buah kondominium, membeli kereta mewah Mercedes Benz serta dua lot tanah strategik di Presint 10 Putrajaya yang dibeli secara tunai dengan kos RM3.3 juta.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, yang ditugaskan untuk menyiasat dan membongkar itu mendakwa, ia disebabkan projek tersebut ‘dianugerah’ kepada syarikat yang langsung tiada pengalaman tetapi berkepentingan politik.

Pada ketika ini Shahrizat yang kalah kepada Nurul Izzah pada PRU 2008 tetapi menang melawan Rafidah Aziz dalam PAU 2009, telah didesak hebat meletakkan jawatannya termasuk dari dalam Umno sendiri kerana dianggap sudah menjadi liabiliti kepada pari Umno Baru itu!

Thursday, December 22, 2011

Saman KPF, FGV di Mahkamah Tinggi esok: Datang beramai-ramai

TEMERLOH: Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) akan memfailkan saman pemula terhadap Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Pengerusinya Mazlan Aliman berkata, saman pemula tersebut adalah bagi memohon injunksi (menghalang) kepada Mesyuarat Khas Perwakilan KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan aset KPF dalam Felda Hplding.

“Tindakan ini dibuat bagi menyelamatkan harta Felda dan peneroka,” katanya dalam sidang media di pejabat Perhubungan PAS Pahang hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mazlan berkata, penyenaraian yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu adalah tidak berasas, tidak masuk akal dan hanya bakal menggali kubur untuk peneroka.

“Sebenarnya tindakan tersebut hanya untuk dapatkan dana sebesar RM3 bilion untuk agenda tertentu menjelang April nanti. Kita kenal siapa dalangnya, syarikat pelabur dan kita akan dedahkan apabila sampai masanya nanti.

“Anak juga akan buat bantahan kali kedua di tribunal Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menentukan status Tan Sri Isa Samad kerana kita tidak berpuas hati dengan jawapannya yang mengatakan beliau belum menjadi Pengerusi KPF sedangkan dia sudah bertindak sebagai penjawat itu berdasarkan surat pelantikan daripada Perdana Menteri,” katanya.

Mengenai prestasi KPF, Mazlan memberitahu, pada masa ini koperasi terbesar dan paling berjaya itu sudah memperolehi RM5 bilion setahun sehingga menjana keuntungan sebanyak RM800 juta dan rizab tunainya sahaja melebihi RM1.1 bilion.

“Sebab itu kita bersama 11 NGO pada masa ini minta semua pihak menyekat penyenaraian saham FGVH ke Bursa Malaysia supaya terus berkembang. Kami ada maklumat bahawa penyenaraian hanyalah konspirasi tertinggi untuk dapatkan dana daripada Felda.

“Mereka ini ada agenda lain dan bukan wang semata-mata. Sebab itu kita mahu kerajaan juga menyekat usaha ini kerana ia melibat maruah negara dan isu keuntungan durian runtuh kepada peneroka sebenarnya tidak berbangkit langsung.

Mengenai Isa Samad, Mazlan memberitahu Pengerusi Felda itu telah bertindak di luar bidang kuasa beliau kerana sedang berusaha menyingkirkan orang-orang yang dianggap tidak boleh bekerjasama dengannya.

“Baru-baru ini Pengurus Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab dicutikan, Kemudian saya dengar Timbalan Pengarah Pembangunan yang juga Setiusaha KPF diarah berpindah ke Putrajaya dan hari in Timbalan Pengarah Besar pula dikeluarkan oleh Isa.

“Saya diberitahu ada 18 orang lagi pegawai kanan yang akan dikenakan tindakan. Jadi kita mahu Cuepacs bertindak segera kerana tindakan oleh Isa ini dilakukan sewenang-wenangnya hanya kerana mereka ini dianggap tidak boleh bekerjasama,” katanya.


Wednesday, December 21, 2011

NFC: Najib, Pak Lah terlibat?

TEMERLOH: Di sebalik pendedahan keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil memiliki banglo mewah di Singapura dan pelbagai isu melibatkan syarikat lembu National Feedlot Centre (NFC), dijangka lebih ramai tokoh Umno yang terpalit dalam kontroversi tersebut.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, yang ditugaskan untuk menyiasat dan membongkar skandal NFC bernilai RM250 juta dan tanah 5,000 ekar di Gemas itu mendakwa, ia disebabkan projek tersebut ‘dianugerah’ kepada syarikat yang langsung tiada pengalaman tetapi berkepentingan politik.

“Oleh kerana projek ini diberi bukan atas merit, kita sedang menyiasat lebih ramai pihak yang akan terpalit. Umpamanya Datuk Seri Najib adalah pengerusi kabinet bagi projek berimpak tinggi pada tahun 2006.

“Tan Sri Muhyiddin pula sebagai Menteri Pertanian pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang mempengerusikan kabinet manakala Khairy Jamaluddin dianggap ‘sangat berkuasa’ pada masa itu.

“Kita sedang meneliti peranan mereka semua dalam isu lembu. Satu lagi kita sedang menyiasat apabila jamaah mesyuarat memutuskan projek dianugerah kepada keluarga Shahrizat, apakah beliau ada atau tidak dalam majlis berkenaan pada masa itu,” katanya.

Tambah Rafizi, jika Ketua Wanita Umno itu ada di situ ia bersalahan dengan peraturan.

Berucap dalam majlis anjuran PKR Cabang Temerloh di Taman Saga Mentakab di sini, Rafizi berkata skandal lembu itu menunjukkan betapa hodoh dan rakusnya pemimpin Umno mengendalikan wang tabung petani itu dan rakyat sepatutnnya memberikan amanah kepada pemimpin yang lebih bertanggungjawab dalam pilihan raya akan.

Rafizi menceritakan, beliau sendiri pernah menyamar sebagai penjual lembu dari Kuala Lumpur dan masuk ke pejabat ladang syarikat tersebut di Gemas.

Beliau diberitahu oleh kakitangan syarikat, lembu tidak dipelihara di situ tapi diimport dari Australia hanya sekali pada tahun 2008 sebanyak 3,000 ekor dan stok yang ada pada masa itu hanyalah 1,000 ekor.

“Melalui maklumat yang kita dapat syarikat untuk mengendalikan lembu untuk keperluan bekalan seluruh negara itu telah membeli dua buah sendiri dengan kos RM480 ribu setahun.

“Wang RM250 juta yang sepatutnya membantu rakyat daripada tabung petani itu didapati membeli kereta mewah Mercedes Benz, dua lot tanah strategik di Presint 10 Putrajaya yang dibeli secara tunai dengan kos RM3.3 juta.

“Kami juga tengah siasat kaitan syarikat keluarga Shahrizat itu dengan tiga restoran mewah dan sebuah pusat beli belah di Singapura. Begitu juga bayaran secara tunai RM80 ribu kepada sebuah syarikat pelancongan Impian Global Network,” jelasnya.

Tegas Rafizi, menurut syor Ketua Audit Negara sepatutnya syarikat milik keluarga Shahrizat itu bukan sahaja pelihara lembu tetapi juga mesti melatih 300 orang penternak lembu.

“Bayangkan sebuah syarikat yang langsung tidak ada pengalaman tetapi diberi RM250 juta dan tanah 5,000 ekar dan gagal. Sebab itu jika pemimpin Umno ada maruah, mereka akan minta Shahrizat letak jawatan.”

Turut berceramah Exco Kerajaan Selangor Elizabeth Wong dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid.


Tuesday, December 20, 2011

Manisnya Abby Abadi!

Itulah kuasa Allah SWT.

Dalam pada kuatnya sekutu BN menghentam Islam, masih ada juga yang sanggup berhijrah kepada Islam.

Bukan sebarangan orang, selebriti juga sudah ramai yang berpaling kepada ajaran Islam sebenar.

Lihat gambar ini, wanita manis dan menawan itu ialah pelakon terkenal siri Gerak Khas Abby Abadi (janda Norman Hakim) ketika hadir ke kuliah Ustaz Azhar Idrus baru-baru ini.

Kita harap muslimat PAS atau Nisa’ cepat-cepat programkan dia untuk turun dengan mesej dakwah!


Tengok, buruknya bila disebut: umnooooo....

video

Monday, December 19, 2011

Kim Jong-Il mati

TRIBUNNEWS.COM, SEOUL — Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Il meninggal dunia pada usia 69 tahun, Sabtu lalu ketika dalam perjalanan kereta api, lapor berita Reuters.

Kematian pemimpin komunis yang disebut sebagai “The Lodestar of the 21st Century” itu diumumkan menerusi televisyen hari ini. Sebab kematian yang diumumkan ialah kerana menderitai pelbagai penyakit seperti diabetes, strok, kaser pankreas dan buah pinggang.

Kim mengalami serangan strok pada tahun 2008, tetapi dalam beberapa kesempatan terakhir dia tampil dalam kondisi sehat.

Negara tertutup itu sudah memulai peralihan kepemimpinan kepada puteranya, Kim Jong-un, yang masih muda. yang baru berusia 28 tahun muda.

Kim dilahirkan pada 16 Februari, 1942. Beliau Kim secara rasmi mengambil alih kuasa Republik Rakyat Demokratik Korea Utara secara rasmi pada bulan Oktober 1997 dengan menjadi Setiausaha Agung Parti Pekerja Korea iaitu selepas tiga tahun kematian bapanya Kim Il Sung.

Pada tahun 1994, beliau menjalin hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat untuk menandatangani satu perjanjian yang memelihara program nuklearnya.

Tetapi Amerika yang menyokong Korea Selatan, juga mengcop Korea Utara sebagai negara pengganas, seperti Iran.

Kebuluran di Korea Utara menyebabkan kematian sebanyak dua juta rakyat negara itu. Sejak itu, pengeluaran pertanian telah dipulihkan tetapi masih lagi bergantung kepada bantuan makanan daripada masyarakat antarabangsa, terutamanya negara jiran China dengan kira-kira 45 peratus daripada bahan makanan Utara serta kira-kira 90 peratus minyak dan 80 peratus daripada barangan pengguna.

Pada bulan Julai 2002, Kim menaja perubahan struktur ekonomi negara yang berpenduduk seramai kira-kira 23 juta orang itu yang selama ini dianggap tertutup.

Kim mempunyai tiga orang isteri, tiga anak lelaki dan tiga orang anak perempuan.

Ada yang menganggap, kematiannya menjadi jalan perintis untuk penyatuan kedua-dua korea yang telah terpisah akibat ideologi. Ada yang membandingkan, Semenanjung Korea boleh menjadi sebuah negara seperti yang berlaku kepada Jerman Barat dan Jerman Timur dulu.


Saturday, December 17, 2011

Terbuktilah betapa lemahnya Umno mempertahan satu khazanah Melayu

(Akhirnya kerajaan yang ditulangbelakangkan Umno mengaku kalah dan mundur terus daripada mempertahankan sebuah karya kesusasteraan Melayu. Diumumkan pula penyingkiran itu oleh bukan Melayu. Apa lagi yang mahu dibanggakan?)

Presiden MIC: Novel Interlok digugur dari silibus tingkatan lima


KUALA LUMPUR, 16 Dis — Kerajaan memutuskan untuk menarik balik novel kontroversial Interlok, yang dibantah banyak pertubuhan bukan kerajaan, daripada silibus sastera tingkatan lima.

Dipetik Star Online, Presiden MIC Datuk G. Palanivel (gambar) berkata Kabinet memutuskan perkara itu minggu lalu.

Dalam pada itu Bernama Online memetik Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi menggunakan novel Interlok yang menjadi buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun depan.

Katanya, beliau berharap akan diumumkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.

Beliu berharap penarikan balik novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu dapat diterima oleh semua pihak dan sekaligus menamatkan kontroversi yang ditimbulkan sebelum ini.

“Menteri Pelajaran telah bersetuju tidak akan menggunakan buku ini mulai tahun hadapan dan saya minta pengumuman rasmi mengenainya dapat dibuat dalam tempoh terdekat agar tiada lagi pertikaian dibangkitkan oleh mana-mana pihak,” katanya di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Novel itu sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India namun telah ditarik balik dan perkataan berkenaan telah dipinda hasil cadangan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan.


PAS mahu kerajaan selesai masalah bas

TEMERLOH: PAS Pahang mendesak Kerajaan Negeri Pahang campurtangan segera bagi menangani masalah bas City Liner di bandar ini yang menggantung perkhidmatannya sejak dua minggu lalu sehingga mengakibatkan ribuan pengguna terkandas.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang, Hassanuddin Salim, berkata pengangkutan awam itu amat penting kerana ia melibatkan pelajar sekolah, kakitangan awam, peniaga kecil dan orang kampung yang mahu ke hospital.

Tambahnya, kerajaan mesti proaktif menangani masalah tersebut tanpa mengambil kira terpaksa melibatkan kos kewangan kerana ia lebih daripada kebajikan dan keperluan rakyat yang tidak dapat tidak di samping pemandu bas kehilangan sumber pendapatan.

“Saya difahamkan bas City Lyner yang merupakan pengangkutan awam utama digunakan saban hari di daerah ini menggantung sementara operasi berikutan tidak mampu menampung kos yang semakin meningkat.

“Malangnya tindakan menghentikan operasi bas henti-henti itu telah menjejaskan ribuan pengguna termasuk mereka yang bekerja dan berurusan di bandar ini juga yang mahu pergi ke hospital Temerloh.

“Jadi kerajaan jangan ambil kira untung rugi sangat, demi keprluan dan kebajikan rakyat yang tidak mempunyai kenderaan segera pulihkan operasi pengangkutan awam berkenaan supaya perjalanan semua pihak dapat tidak terganggu,” katanya.

Tambah Hassanuddin, jika kerajaan boleh menghabiskan wang kepada urusan-urusan lain jadi kenapa tidak berusaha memulihkan pengangkutan utama ini kerana ia keperluan mendesak puluhan ribu rakyat di sini pada masa ini.

Hassanuddin berkata, beliau difahamkan beberapa negeri telah mengambil inisiatif menampung kos operasi bas di negeri masing-masing kepada syarikat pengangkutan yang tidak mampu lagi.

Bas City Liner menghubungkan daerah ini dengan Bera dan Maran dengan melalui bebrapa buah perkampungan, sekolah dan hospital. Dengan ketiadaan perkhidmatan bas berkenaan, penumpang terpaksa menggunakan teksi yang melibatkan perbelanjaan yang lebih besar.

Sementara itu lebih 30 pemandu bas berkenaan yang kehilangan sumber pendapatan utama mereka sejak operasi bas digantung, turut mengadakan demonstrasi (lihat gambar) meminta kerajaan campur tangan segera.

Pemandu bas, Ahmad Bila Adam 46, berkata, pemandu dan penumpang merayu kerajaan selesaikan masalah itu dengan segera memandangkan hampir setiap hari ratusan penumpang yang masih tidak tahu perkhidmatan bas digantung terkandas.

Menurutnya, sejak lebih 20 tahun bekerja dengan syarikat terbabit, masalah yang berlaku kali ini agak perit kerana kehilangan sumber pendapatan utama dalam keadaan harga barangan semakin mahal sekarang.

“Kami tidak ada punca pendapatan lain, sebab itu menggesa kerajaan negeri dan agensi berkaitan campur tangan dalam isu ini.

“Kerajaan kena turun sendiri selesaikan masalah kami, sekurang-kurangnya adakan perbincangan dan jenguk kami di sini yang semakin tertekan,” katanya ketika ditemui dalam demonstrasi aman di Stesen Bas Henti-Henti di Lurah Semantan semalam.

Pemandu bas, Mohd Safran Abdul Karim berkata, pendapatan mereka kini hanya bergantung pada gaji pokok di antara RM300 hingga RM600 sebulan.

Menurutnya, dia sendiri dibayar di bawah RM400 sebulan dan dengan pendapatan sebanyak itu sudah tentu tidak cukup untuk menyara keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah.

“Perkhidmatan bas digantung bermakna kami tidak ada kerja, tidak ada kerja bermakna tidak ada gaji, macam mana nak sara keluarga,” katanya.


Friday, December 16, 2011

Memahami waktu subur wanita

Oleh : Dr. AZWAN

Kenapa anda perlu tahu waktu subur wanita? Ada dua sebab utama :

1. Untuk memudahkan mendapat zuriat
2. Untuk mengelakkan daripada mendapat zuriat

Kedua-duanya adalah sama penting. Ilmu ini mungkin boleh anda sebarkan dan digunakan secara praktikal.


Fahami Kitar Haid

Kitaran haid wanita berlaku setiap bulan, secara puratanya ialah 28-30 hari. Tetapi setiap wanita ada kitarannya sendiri - ada 25 hari dan ada yang lambat sehingga 35 hari. Tetapi secara puratanya ialah 28-30 hari.

Terdapat beberapa fasa dalam kitaran haid. Anda perlu memahami fasa ini.

Hari 1-4

Ini dipanggil fasa pengeluaran haid (menstruation) - ketika ini darah haid keluar. Hari pertama haid adalah penting untuk diketahui kerana ia adalah di mana fasa ini bermula. Pada hari pertama haid datang, ia perlu ditanda pada kalendar dan tamat selepas berapa hari. Sebaik-baiknya ditanda setiap bulan sekiranya anda ingin merancang untuk mengandung. Anda boleh mengagak kitaran period anda beberapa hari di dalam sebulan.

Hari 5-13

Ini dipanggil fasa follicular. Pada fasa ini, hormon estrogen meningkat. Ketika fasa follicular ini, darah akan berkumpul di dinding rahim dan menebal untuk persediaan mengandung. Di kawasan ovari pula, telur yang berada di dalam bekasnya akan menjadi semakin matang.

Hari 14

Waktu inilah satu proses peneluran yang dipanggil ovulasi berlaku. Telur akan terkeluar daripada sarangnya disebabkan oleh peningkatan mendadak sejenis hormon yang dipanggil Luteinizing Hormone (LH). Telur ini sekiranya tidak disenyawakan oleh sperma akan mati dan hilang. Sekiranya ia disenyawakan, ia akan turun melalu saluran fallopio ke rahim.

Hari 15-28

Ini dipanggil fasa luteal atau fasa secretory. Selepas telur dikeluarkan dari sarangnya, sejenis hormone dipanggil progestron dirembes daripada sarangnya (corpus luteum). Ini menyebabkan dinding rahim semakin menebal. Setelah progestron semakin berkurang kerana tiada persenyawaan berlaku, maka dinding ini akan runtuh.

Waktu Terbaik

Setelah anda faham kitaran haid di atas, waktu yang terbaik untuk bersama suami-isteri ialah pada hari ovulasi berlaku. Ini adalah kerana ketika itu telur baru sahaja keluar daripada sarangnya.

Bilakah secara tepat ia berlaku? Sebenarnya ia adalah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama haid seterusnya atau ketika fasa luteal bermula.

Ini adalah kerana fasa luteal mengikut kiraan kebiasaannya berlaku selama tepat 14 hari setelah berlakunya ovulasi, sedangkan fasa folicullar boleh berubah-ubah. Jadi waktu subur adalah 14 hari sebelum hari pertama haid yang seterusnya.

Sekiranya haid anda adalah tetap 28 hari, tidak jadi masalah untuk mengira waktu subur anda. Sekiranya haid anda berubah-ubah, inilah timbulnya masalah mengira waktu subur.

Cara Lain Mengetahui Waktu Subur

Pada waktu subur, suhu badan wanita akan naik sedikit dalam satu darjah celcius. Juga terdapat lendiran cecair yang jernih daripada kemaluan. Ini adalah disebabkan hormon yang meningkat ketika itu.

Menganggar Waktu Terbaik Untuk Mendapat Zuriat

Oleh kerana telur atau ovum tidak mempunyai jangka hayat yang panjang, iaitu dalam lingkungan 1-2 hari sahaja, maka jangkamasa untuk mendapatkan zuriat adalah sangat terhad. Oleh itu sperma dicipta dengan kelebihan yang lain pula.

Selain daripada berjuta-juta sperma dilepaskan, ia juga boleh bertahan selama 3-5 hari. Ini bermakna, sekiranya suami-isteri bersama 3 hari sebelum waktu subur, atau 2 hari selepas waktu subur, maka ada peluang untuk telur itu berjumpa dengan sperma yang hidup lebih lama.

Oleh itu, untuk mendapatkan zuriat, pasangan boleh bersama pada hari ke 11, 12, 13, 14, 15 atau/dan 16 untuk mendapatkan waktu optimum hari kesuburan sekiranya haid anda datang secara konsisten selama 28 hari. Itu adalah menganggarkan waktu subur adalah pada hari ke-14.

Anda boleh cuba setiap bulan untuk beberapa bulan sekiranya tidak berhasil. Ini adalah untuk memastikan waktu subur adalah sesuai dengan waktu bersama anda.

Mengelakkan Mengandung Melalui Cara Kiraan

Selain daripada untuk mendapatkan zuriat, ada pasangan yang ingin mengelakkan mengandung dengan cara mengira kalendar.

Untuk pengetahuan anda, cara mengira melalui kalendar adalah berisiko dan tidak beberapa tepat. Ini adalah kerana anda mungkin boleh tersilap kira, atau kedatangan haid yang tidak beberapa teratur menyebabkan tarikh subur lari dari kebiasaan.

Oleh kerana anda tahu sperma boleh bertahan selama 5 hari di dalam rahim (ada kajian menunjukkan 7 hari!), jadi 5 hari sebelum dan selepas hari kesuburan adalah waktu yang dianggarkan tidak boleh bersama isteri ataupun terpaksa menggunakan cara kontraseptif yang lain.

Ada juga yang meletakkan 3 hari sebelum dan selepas waktu subur. Ini lebih rapat dan lebih berisiko. Terpulang kepada anda sendiri. Seperti yang dinyatakan tadi, cara ini tidak beberapa tepat dan mempunyai risiko yang tersendiri.

(Semoga bermanfaat)


Thursday, December 15, 2011

Adun Kuala Semantan nafi terlibat projek Lynas

KENYATAAN MEDIA

Baru-baru ini sebuah akhbar (Berita Harian) telah memetik kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ketika membentangkan Bajet 2012 yang mengaitkan saya melalui rakan kongsi, telah mendapat kontrak dalam pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Kenyataan tersebut telah dieksplotasi oleh akhbar berkenaan sehingga saya sendiri merasa agak terganggu kerana boleh memburukkan imej saya di mata umum.

Saya ingin menegaskan bahawa, saya menafikan sekeras-kerasnya terlibat dengan sebarang kontrak dengan syarikat berkenaan walau setengah sen pun seperti yang dipetik akhbar berkenaan.

Malah pada ucapan penggulungan oleh Menteri Besar iaitu selepas lima hari daripada ucapan bajetnya, beliau telah membetulkan kenyataannya sebelum itu bukannya “rakan kongsi” tetapi “rakan seperjuangan” yang merujuk kepada ahli PAS lain yang telah menerima kontrak atau tender atau sebagainya daripada syarikat berkenaan.

Malangnya pembetulan tersebut tidak disiarkan oleh akhbar berkenaan. Begitu juga kenyataan penafian oleh Syed Mohamad Tuan Lonnik dalam dewan, tidak disiarkan. Ini membuatkan pelbagai tanggapan buruk terhadap kami.

Saya juga kesal dengan sebuah blog (Pahangdaily Online) yang mengambil kesempatan memainkan isu berkenaan. Namun yang menyedihkan gambar yang disiarkan kononnya bagi mengaitkan saya dengan Umno ialah gambar yang tidak ada kena mengena langsung. Gambar tersebut ialah jamuan makan di Kuala Tekal sewaktu kempen pada Pilihan Raya Kecil Kerdau.

Saya kecewa, blog tersebut juga memanupulasi kenyataan terima kasih dan sokongan saya kepada kerajaan.

Saya agak dukacita dengan cara akhbar harian memuatkan berita di mana banyak perkara yang saya sebagai wakil rakyat bangkitkan di dalam Dewan Undangan Negeri untuk kepentingan orang ramai, telah tidak disiarkan.

Umpamanya dalam sidang baru-baru ini saya telah menyentuh tentang kewajaran PBT membenarkan banyak program hiburan di Taman Kubang Gajah (dalam kawasan saya) sedangkan apakah berbaloi dengan kerosakan, lebih-lebih lagi kesan kepada kerosakan akhlak muda-mudi. Semuanya itu sepatutnya diambil kira.

Saya juga telah membangkitkan kerugian PBT yang membina jambatan gantung merentangi sungai di Kuala Semantan yang melibatkan kos sebanyak RM399,000. Tetapi hanya boleh dinaiki oleh dua orang dalam satu-satu masa. Sedangkan di seberang sana ada restoran. Bagaimana nak maju? Ini sudah tentu membawa kepada pembaziran.

Saya juga menawarkan khidmat bakti pemuda-pemuda PAS kepada agensi penyelamat kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan kebajikan. Namun semuanya yang saya sebutkan itu tidak diketengahkan oleh media.

Oleh itu, saya sekali lagi menafikan keterlibatan saya secara langsung mahupun tidak dalam kontrak melibatkan Lynas. Kerana prinsip saya ialah sentiasa bersama rakyat, selagi mana rakyat tidak meyakini keselamatan mereka terjamin maka saya tetap bersama rakyat.

Saya harap tidak timbul apa-apa kontroversi lagi selepas ini.

Sekian terima kasih.

Wassalam.

Yang benar;


SYED HAMID SYED MOHAMAD

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan

14 Disember

Wednesday, December 14, 2011

Awas wanita, gambar anda boleh dibogel!

Ini maklumat baru dan sangat berguna.

Kepada pengguna-pengguna internet wanita semua terutamanya penggemar facebook, diharap berhati-hatilah agar tidak menjadi mangsa kepada orang yang tidak bertanggung jawab yang boleh memaparkan seluruh tubuh anda!

Zaman sekarang kita semua pun sudah tahu memang ramai editor yang mahir dalam menggunakan software Photoshop ini. Tetapi, sekarang ada tools editor x-ray di dalam Photoshop boleh membuat gambar anda berpakaian akan menjadi bogel atau nampak bertelanjang.

Jadi bagi wanita, dinasihatkan agar janganlah upload gambar anda di facebook atau di mana-mana laman sosial dengan keadaan penuh seperti gambar di atas. Ambillah gambar dari atas dada dan ke atas. Dan juga, jangan pakai baju putih kerana editor akan lebih senang untuk edit gambar anda.

Sila kongsikan dengan kawan-kawan anda yang lain!


Sumber: http://paaduu.com/


Tuesday, December 13, 2011

Sepetang bersama DS Anwar

MINUM & SEMBANG PETANG BERSAMA DATO SERI ANWAR IBRAHIM

· 16. 12. 2011, di SHAKIRA CAFE

· Batu 1, Temerloh

· (Depan SMA Al-Khairiah)

· Jam 5.00 petang

· Datang beramai-ramai (percuma) –

· SEBARKAN KEPADA SEMUA RAKAN DAN RAKYAT