Thursday, December 15, 2011

Adun Kuala Semantan nafi terlibat projek Lynas

KENYATAAN MEDIA

Baru-baru ini sebuah akhbar (Berita Harian) telah memetik kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ketika membentangkan Bajet 2012 yang mengaitkan saya melalui rakan kongsi, telah mendapat kontrak dalam pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Kenyataan tersebut telah dieksplotasi oleh akhbar berkenaan sehingga saya sendiri merasa agak terganggu kerana boleh memburukkan imej saya di mata umum.

Saya ingin menegaskan bahawa, saya menafikan sekeras-kerasnya terlibat dengan sebarang kontrak dengan syarikat berkenaan walau setengah sen pun seperti yang dipetik akhbar berkenaan.

Malah pada ucapan penggulungan oleh Menteri Besar iaitu selepas lima hari daripada ucapan bajetnya, beliau telah membetulkan kenyataannya sebelum itu bukannya “rakan kongsi” tetapi “rakan seperjuangan” yang merujuk kepada ahli PAS lain yang telah menerima kontrak atau tender atau sebagainya daripada syarikat berkenaan.

Malangnya pembetulan tersebut tidak disiarkan oleh akhbar berkenaan. Begitu juga kenyataan penafian oleh Syed Mohamad Tuan Lonnik dalam dewan, tidak disiarkan. Ini membuatkan pelbagai tanggapan buruk terhadap kami.

Saya juga kesal dengan sebuah blog (Pahangdaily Online) yang mengambil kesempatan memainkan isu berkenaan. Namun yang menyedihkan gambar yang disiarkan kononnya bagi mengaitkan saya dengan Umno ialah gambar yang tidak ada kena mengena langsung. Gambar tersebut ialah jamuan makan di Kuala Tekal sewaktu kempen pada Pilihan Raya Kecil Kerdau.

Saya kecewa, blog tersebut juga memanupulasi kenyataan terima kasih dan sokongan saya kepada kerajaan.

Saya agak dukacita dengan cara akhbar harian memuatkan berita di mana banyak perkara yang saya sebagai wakil rakyat bangkitkan di dalam Dewan Undangan Negeri untuk kepentingan orang ramai, telah tidak disiarkan.

Umpamanya dalam sidang baru-baru ini saya telah menyentuh tentang kewajaran PBT membenarkan banyak program hiburan di Taman Kubang Gajah (dalam kawasan saya) sedangkan apakah berbaloi dengan kerosakan, lebih-lebih lagi kesan kepada kerosakan akhlak muda-mudi. Semuanya itu sepatutnya diambil kira.

Saya juga telah membangkitkan kerugian PBT yang membina jambatan gantung merentangi sungai di Kuala Semantan yang melibatkan kos sebanyak RM399,000. Tetapi hanya boleh dinaiki oleh dua orang dalam satu-satu masa. Sedangkan di seberang sana ada restoran. Bagaimana nak maju? Ini sudah tentu membawa kepada pembaziran.

Saya juga menawarkan khidmat bakti pemuda-pemuda PAS kepada agensi penyelamat kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan kebajikan. Namun semuanya yang saya sebutkan itu tidak diketengahkan oleh media.

Oleh itu, saya sekali lagi menafikan keterlibatan saya secara langsung mahupun tidak dalam kontrak melibatkan Lynas. Kerana prinsip saya ialah sentiasa bersama rakyat, selagi mana rakyat tidak meyakini keselamatan mereka terjamin maka saya tetap bersama rakyat.

Saya harap tidak timbul apa-apa kontroversi lagi selepas ini.

Sekian terima kasih.

Wassalam.

Yang benar;


SYED HAMID SYED MOHAMAD

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan

14 Disember

1 comment: