Wednesday, November 9, 2011

Bukan kurang kakitangan, tingkat keberkesanan perkhidmatan awam

TEMERLOH: PAS menganggap isu kakitangan awam akan dikurangkan jika Pakatan Rakyat (PR) menang pilihan raya umum akan datang hanya andaian yang dimainkan oleh media pro kerajaan sedangkan ia tidak pernah berbangkit sama sekali.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menjelaskan soal pengecilan (downsizing) atau penambahan (upsizing) kakitangan awam bergantung kepada kepentingan dan keperluan masa depan negara.

“Soal mengecilkan jumlah kakitangan awam tidak timbul kerana prospek keperluan mana-mana negara akan diselaraskan dengan keperluan pembangunan negara yang sentiasa bertambah tahun ke tahun.

“Masalah utama yang melanda kakitangan awam kini ialah ketidakselarasan tenaga kerja menyebabkan wujudnya pertindanan tugas antara jabatan-jabatan kerajaan. Sebagai contoh, dalam penguatkuasaan di jalanraya sahaja, terdapat pelbagai agensi yang terlibat - antaranya polis, peronda lebuhraya, Jabatan Pengangkutan Awam, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain,” jelas Tuan Ibrahim.

Beliau diminta memberi respons berikutan media pro kerajaan kebelakangan ini memainkan isu pengurangan kakitangan awam jika PR memerintah kononnya berdasarkan ucapan Ahli Parlimen DAP Tony Pua yang dipetik akhbar Sinchew Daily.

Sebelum ini Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, menegaskan PR tidak pernah membincangkan pengurangan jumlah kakitangan awam dan itu mungkin pandangan peribadi yang tidak mewakili PR.

Bagi Tuan Ibrahim, apa yang ditekankan PR ialah meningkatkan keberkesanan dalam perkhidmatan awam yang secara langsung juga akan meningkatkan daya saing kerajaan.

Tambahnya, ia juga akan meningkatkan sikap kebertanggungjawaban dalam jabatan-jabatan kerajaan sekaligus dapat mengurangkan jumlah insiden ketirisan, keborosan dan elemen rasuah yang dilaporkan dalam Laporan Audit setiap tahun.

“Itulah fokus utama Pakatan Rakyat untuk mengubah nasib kakitangan awam sekiranya diberi mandat berkuasa nanti, dan bukannya soal mengecilkan jumlah kakitangan awam.

“Dengan pentadbiran bersih dan kebolehan Pakatan Rakyat seperti yang ditunjukkan di negeri-negeri kuasaan mereka, sekiranya diberi mandat nanti, PAS yakin pendapatan dan bajet kerajaan akan bertambah sihat dengan pengurangan hutang negara secara berperingkat,” tulis beliau.

Tuan Ibrahim menegaskan, jika PR memerintah, rakyat, terutamanya para kakitangan awam bakal mengecapi pulangan yang lebih baik berbanding zaman pemerintahan BN.

“InsyaAllah. Oleh itu, apa yang penting sekarang ialah untuk menyedarkan seluruh kakitangan awam bahawa mereka perlu bangkit membuat perubahan demi masa depan yang lebih baik.”


No comments:

Post a Comment