BERA: Bunyinya ganjil apabila tinggal di pinggir Sungai Pahang yang mewah dengan sumber air tetapi masalah bekalan air bersih sudah tiga tahun tidak pernah selesai.
Demikianlah nasib yang dideritai kira-kira 150 orang penduduk di 27 buah rumah di Taman Tualang, Mengkarak Stesen di sini sejak tiga tahun lalu.
Menurut maklumat penduduk yang ditemui akibat kesilapan kontraktror, air daripada saluran paip utama tidak naik ke tangki berkapasiti 30,500 gelen yang didirikan manakala sebuah tangki lagi yang disediakan oleh Jabatan Bekalan Air (JBA) berkapasiti 14,000 gelen, juga gagal berfungsi.
Penduduk telah memanjangkan permasalahan mereka kepada pihak JBA Bera tetapi tidak ada usaha pembaikan dilakukan kecuali menghantar lori untuk mengisi air ke dalam tangki gantian namun tidakan itu tidak dapat menyelesaikan masalah penduduk.
Menurut seorang penduduk, Muhammad Nan, 48, sejak menduduki rumah mereka tiga tahun lalu, masalah air menjadi sangat menakutkan terutama menjelang hari perayaan atau kenduri.
“Jangan kata nak ajak saudara mara datang berkunjung, air untuk kegunaan anak beranak untuk makan minum, mandi dan membasuh pun pun tak pernah cukup. Ini disebabkan tiada bekalan air paip, yang ada angin saja yang keluar.
“Apabila perkara ini diadukan kepada pihak Jabatan Bekalan Air (JBA), ada air bersih yang dihantar lori tangki hanya dua trip dalam tempoh antara tiga ke empat hari... mana cukup dalam masa sekejap dah kering semula,” keluhnya.
Muhammad berkata, keadaan ini memaksa penduduk managih simpati daripada penghuni perumahan berhampiran untuk mendapatkan air bersih dan memunggahnya dengan motosikal.
Seorang penduduk lagi, Nan Tong San, 52, berkata penduduk akan menjadi resah dan susah hati bila tiba hari kebesaran seperti Tahun Baru Cina , hari raya dan kenduri perkahwinan yang memaksa keluarga dan sanak saudara pulang.
“Sekarang ini Tahun Baru Cina dah dekat. Sebab itu penduduk amat berharap agar pihak yang berwajib terutama JBA Bera atau pemaju dapat menyelesaikan dengan segera masalah dihadapi penduduk yang semakin hari semakin meruncing ini,” katanya.
Menurut Tong San, penduduk pada masa ini secara purata terpaksa menjelaskan bil RM20 sebulan bukan untuk bayar air tetapi bayar angin sahaja.
Penduduk Tan Yeow Siong, 53, (gambar) pula hairan bagaimana pihak berkuasa boleh luluskan projek perumahan tersebut kerana baginya pemaju atau kontraktornya tidak mengikut spesifikasi projek sebenar menyebabkan berlaku kesusahan kepada pembeli.
Beliau turut kesal dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Guai yang dakwanya langsung tidak cuba menyelesaikan keperitan yang dialami rakyat di situ.
Sementara itu Pengarah PAS Dun Guai, Musaniff Abdul Rahman, yang turut melawat kawasan berkenaan menggesa pihak JBA, pemaju dan Majlis Daerah Bera bertindak segera menyelesaikan masalah dihadapi 27 keluarga itu.
Beliau yang juga seorang jurutera, berkata saiz paip yang disediakan kontraktor tidak sesuai iaitu lebih kecil daripada batang paip yang mendatang sehingga menyebabkan air tidak mampu masuk ke tangki utama.
“Saya cadangkan ditambah pam lain untuk sedut air naik dari taman perumahan berdekatan sedangkan pada masa ini air disedut dari Taman Tong Ah yang jauh dan rendah pula. Pilihan kedua ialah bekalan air disedut daripada saluran paip utama berhampiran jalan raya,” katanya.
~ Harakahdaily
No comments:
Post a Comment