Wednesday, November 23, 2011

Sudah dua kali Najib menipu


Tangkapan ISA dan pembentangan Rang Undang-undang Akta Perhimpunan Aman membuktikan Najib tidak bercakap benar berkaitan hak asasi rakyat negara ini.

Ketika membentangkan projek transformasi politiknya dulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipuji dan dipuja laksana seorang dewa yang kononnya begitu prihatin dengan perubahan semasa dan dapat menghidu pula kepentingan hak asasi rakyat dalam sebuah negara moden.

Kita masih ingat, ketika Najib mengunjurkan untuk penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 15 September lalu, seluruh media ternakan Umno/BN memuji beliau. Walaupun yang bekerja siang malam mahu dihapuskan akta warisan penjajah itu bukan Umno, namun yang dianggap hero ialah Najib dan Umno.

Kononnya, pada masa itu media menamakannya sebagai ‘satu tindakan berani’. Pelik, tetapi itulah hakikatnya.

Belumpun sempat penghapusan ISA untuk tahun 2012, baru-baru ini 13 orang di Sabah telah ditangkap tanpa bicara di bawah ISA.

Jadi yang jelasnya tawaran Najib itu yang disebutkannya sebagai transformasi politik itu hanya omongan dan retorik kosong semata-mata. Bak kata orang tua-tua, buat pemanis mulut berbicara. Manakala jentera propaganda dan gerak saraf telah menyelinap ke serata ceruk mencanangkan perubahan baru yang dibuat oleh anak Tun Razak itu.

Jangan lupa, Najib juga mengisytiharkan hak kebebasan berhimpun. Tetapi semalam parlimen membentangkan

rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menggantikan Akta Polis 1967.

Akta Perhimpunan Aman itu hakikatnya melarang sama sekali sebarang perhimpunan adalah jelas satu lagi siri penipuan Kerajaan BN Umno dan Datuk Seri Najib ke atas rakyat.

Peguam Hanipa Maidin berkata, Akta Perhimpunan Aman sepatutnya memudahkan perhimpunan aman bukan menyusahkan perhimpunan aman. Tetapi jika Akta Polis 1967 khususnya seksyen 27 dan 27A sudah bersifat ‘draconian dan zalim, akta yang ingin digubal itu beribu-ribu kali lebih zalim daripada Akta Polis yang ingin diganti.

Secara jelas, ia bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Hanipa, Peguam Negara dan Kerajaan Umno BN tidak menunjukkan sebarang perubahan yang positif di dalam rekodnya yang sedia buruk dalam isu pencerobohan hak asasi khususnya dalam isu perhimpunan aman.

Dua transformasi politik yang dicanangkan Najib dikatakan telah melonjakkan namanya, itu barangkali seperti kajian yang diperolehi UIAM baru-baru ini.

Hakikatnya tipuan belaka.



No comments:

Post a Comment