TEMERLOH: Seorang penulis surat dan pesuruhjaya sumpah yang biasa berurusan dengan orang ramai di pejabat tanah, berpendapat sistem biometrik yang dicadang SPR belum masanya lagi untuk dilaksanakan dalam pilihan raya umum (PRU).
Beliau yang enggan disiarkan namanya berkata, lebih baik SPR menggunakannya dalam simulasi dahulu kerana terdapat kelemahan ketara antaranya capaian internet, cip mykad rosak dan mereka yang menggunakan kad pengenalan sementara jika biometrik digunakan.
“Kita tahu capaian internet bukannya menyeluruh. Sedangkan penggunaan alat pengimbas biometrik perlu untuk akses ke laman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengesahan pemilik.
“Yang keduanya apabila seluruh negara mengakses ke laman JPN, sudah tentu akan menjadi sesak dan menimbulkan masalah lain. Buktinya pernah terjadi ketika orang ramai berebut-rebut nak bayar trafik pada Februari lalu.
“Maknanya masih terdapat kelemahan, sedangkan hari mengundi dalam PRU itu sangat penting dan singkat,” katanya ketika menemui SelamatkanPahang.
Beliau yang mendakwa berurusan dengan orang ramai dengan menggunakan pengimbas biometrik, tampil bagi menjawab cadangan SPR yang mahu menggunakan sistem itu dalam PRU akan datang.
Beliau menambah, terdapat masalah lain lagi iaitu cip mykad rosak, pemegang kad pengenalan sementara dan warga emas yang tidak dapat dikesan cap jarinya.
“Semua orang tahu cip pada mykad seseorang boleh rosak. Berdasarkan pengalaman saya, ini biasa berlaku kepada orang ramai ketika berurusan dengan bank dengan jabatan kerajaan. Jadi jika pada hari yang begitu penting untuk melantik sebuah kerajaan, jika menggunakan sistem biometrik tetap akan menimbulkan masalah.
“Satu lagi bagi pemegang kad pengenalan sementara pada masa kad pengenalan hilang atau rosak, mereka diberikan kertas biasa jadi tidak ada cip untuk baca maklumat. Kalau mereka layak mengundi tapi hanya tidak ada mykad, itu macam mana?
“Saya juga pernah berurusan dengan warga emas yang urat jarinya licin atau ‘haus’ sehingga tidak akan dapat dikesan dengan alat pengimbas itu. Walau pun jumlah mereka kecil tetapi jika mereka warganegara mereka tetap layak mengundi,” ujarnya.
Justeru cadangnya, SPR menggunakan sistem biometrik dalam simulasi pilihan raya mereka dulu sementara untuk PRU elok digunakan celup jari dengan dakwat kekal supaya dilihat adil dan telus.
No comments:
Post a Comment