Friday, August 26, 2011

DPPNP bantah 'haram' tazkirah

Harakahdaily
Tazkirah: Muip sepatutnya lebih berakhlak


TEMERLOH:
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) hari ini melahirkan rasa kesal dan membantah arahan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang melarang penyampaian tazkirah Ramadan di semua masjid dan surau seluruh negeri ini.

Ketuanya, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim, menganggap ‘pengharaman’ berkenaan sebagai satu kejutan baru di Malaysia selepas negara ini diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam.

Kelmarin, Timbalan Pengarah Muip telah muncul di sebuah stesen televisyen dalam slot berita tengah hari mengumumkan larangan mengadakan tazkirah Ramadhan di semua surau dan masjid seluruh negeri Pahang dengan alasan telah menggangu ibadah orang lain dan majlis ilmu.

Difahamkan, kebanyakan masjid di bawah Muip sudah menghentikan majlis tazkirah selepas sembahyang zohor dan sembahyang tarawih.

Shahril dalam edaran medianya yang kesal dengan arahan tersebut, menyoal adakah pengharaman tazkirah ini hanya berdasarkan aduan seorang individu atau Exco kerajaan negeri lalu tanpa sebarang siasatan terus mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah.

“Sepatutnya Muip sebagai sebuah institusi agama yang besar bertindak lebih matang dan berakhlak dengan memanggil penyampai tazkirah untuk menyiasat adakah benar beliau menyampaikan tazkirah yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, bukannya mengharamkan tazkirah dan menyekat majlis ilmu.

“Tazkirah menjadi dimensi untuk mendidik umat Islam secara tidak langsung. Institusi pendidikan bukan sekadar di sekolah, kolej atau universiti semata-mata. Malah masjid, surau dan madrasah menjadi platform menyuburkan Islam sejak zaman berzaman.

“Kemungkinan pula hala tuju larangan itu menjurus kepada tazkirah menjadi ceramah politik. Takkan lah seorang pentazkirah apabila menghuraikan ayat-ayat al-Quran yang mengharamkan riba, rasuah, judi, haramnya bersalam antara lelaki dan perempuan, wajib pakai tudung dan sebagainya sudah dikira mengganggu ibadah orang ramai?” soalnya.

Shahril dalam edaran medianya berkata, kini rakyat bertambah malu untuk menobatkan Malaysia 'Negara Islam' apabila ajaran Islam cuba dihalang oleh orang Islam sendiri, apatah lagi yang menghalang itu sebuah institusi yang bertanggungjawab menjaga agama.

Tambahnya, tazkirah yang diadakan sekadar mengulas ayat al-Quran dibaca ketika solat. Sekiranya menyentuh pelbagai isu mengenai kehidupan manusia, itu realitinya sebuah kitab suci. Al Quran diturunkan dari Allah Taala yang mengatur segala kehidupan manusia.

“Apabila proses memberi kefahaman, ayat-ayat Allah berlaku, orang ramai akan faham maksud isi kandung al-Quran. Ketika sembahyang mereka akan mengingati maksud-maksud ayat yang dibaca imam. Sembahyangnya tentu menjadi lebih khusyuk dan iman semakin menebal.

“Perlu diingat, kejahilan umat Islam dalam menghayati ajaran Islam dalam segala aspek kehidupan boleh menjerumuskan umat Islam kepada gejala murtad. Adakah pihak Muip akan bertanggungjawab di hadapan Allah kelak diatas kejahilan umat Islam di Pahang yang boleh membuka ruang kepada terdedahnya gejala murtad?” soalnya lagi.

Oleh itu, DPPNP membantah keras larangan ini dan mendesak supaya pihak Muip menarik balik larangan tazkirah kerana ia akan menyebabkan orang jahil bertambah jahil dan orang alim membisu, maka ia akan memberi kesan kepada kehancuran sebuah negara.

Komen aku: Dulu masa Umno melalui pihak berkuasa agama negeri mengambilalih pengurusan dan perjawatan masjid-masjid dalam Pahang, habis majlis-majlis ilmu mati. Itulah kehendak mereka sebenarnya.

No comments:

Post a Comment