Saturday, August 20, 2011

Balu, anak-anak Allahyarham pengedar harakah dibantu

TEMERLOH: PAS Pahang prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga seorang aktivis PAS yang juga pengedar Harakah daerah ini Zulhazmi Nuwawi, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Sedar dengan kesedihan dan keperitan yang ditanggung oleh keluarga berkenaan, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang Hassanuddin Salim, Khamis lalu menziarahi sambil menyampaikan sumbangan wang dan barangan di rumah mereka di Taman Pulai Idaman, di sini.

Turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada balu Zulhazmi, Zawiyah Udin, 37, ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad.

Zulhazmi Norwawi, 40, kembali ke rahmatullah 9 Ogos lalu setelah van dipandunya terbabas di kilometer 74.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Sungai Dua, Karak.

Allahyarham memandu bersendirian dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur setelah membeli barang-barang untuk perniagaannya ketika kemalangan.

Van jenis Nissan Vannete yang dipandu Zulhazmi dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh pokok dan beliau meninggal dunia serta merta di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital Bentong.

Jenazahnya sempurna dikebumikan di kampungnya di tanah perkuburan Islam Kuala Kerdau jam 1 pagi pada hari itu juga.

Zulhazmi meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil iaitu Zul Muhammad Syauqi 11 tahun, Zul Muhaimin Syauqi, 10 dan Zul Muzakkir Fakhrin, 8 tahun.

Bagi sesiapa yang ingin menyumbang bolehlah menghubingi Zawiyah di talian: 013-3517905.

GAMBAR:
Syed Hamid sedang menghulurkan sumbangan kepada Zawiyah. Berdiri di tengah ialah Hassanuddin dan anak-anak Zulhazmi.


No comments:

Post a Comment