
Kakitangan kerajaan BN itu telah membeli rumah berkenaan pada 2005 dan membayar RM452.58 setiap bulan sehingga kini dan dalam masa sama terpaksa membayar rumah sewa dengan kadar RM300 sebulan.
Orang Melayu dalam Parlimen Bentong itu melahirkan rasa terkilan kerana masih belum dapat mendiami rumah itu walaupun sudah hampir lapan tahun membelinya.
“Apa yang diharapkan adalah kemelut dihadapi pembeli tidak berlarutan dan saya amat berharap kepimpinan di peringkat negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob mendengar rintihan kami,” rayunya.
Sedih dan simpati ada, kelakar pun ada kami membacanya. Apakah Adnan yang merupakan Ketua Umno Bahagian Bentong itu mahu mendengar rintihan Saripah?

“Jika rumah ini tidak dapat didiami, pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera termasuk memulangkan kembali bayaran kepada pembeli atau menggantikannya dengan rumah baru,” katanya.
Sebenarnya Selamatkan Pahang sudah acap kali menyiarkan masalah pembeli rumah yang dihebohkan sebagai projek “Dato Zaini”, yang kalau tidak silap juga merupakan rakan seUmno Adnan di Bentong itu.
Pangsapuri kos sederhana rendah yang bernilai antara RM56,000 hingga RM63,000 (tingkat bawah) itu telah diubah oleh pemaju daripada pelan asalnya yang dianggap pembeli sebagai menipu.

Dikelilingi semak samun sementara bangunannya sudah banyak yang retak dan longkang serta cermin tingkapnya pecah. Kebanyakan kabel elektrik sudah dicuri. Di bahagian dalamnya dipenuhi lepekan akhbar dipercayai menjadi ‘port’ remaja melakukan maksiat dan tempat penagih melepaskan gian.
Pembelinya terdiri daripada 11 Melayu, 10 Cina dan tiga India, mula dibina pada tahun 2003 itu terletak di atas tanah kerajaan atas nama Puncak Properties di lot 3335, H.S (D) 14104 P.T 594 dan dimajukan oleh sebuah syarikat yang dipercayai ada kaitan dengan Umno Bahagian Bentong, IT Prima Development Sdn Bhd.
Apa lagi yang tidak dilakukan oleh pembeli yang telah menubuhkan jawatankuasa bertindak, mereka telah membuat laporan polis. Mereka juga telah mengadu hal berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabai, Ahli Parlimen Bentong, pembantu peribadi Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang minta diselesaikan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah juga dihubungi. Unit korporat pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang juga berjanji untuk selesaikan dalam tempoh 10 hari, tapi sampai ini senyap.
Macam-macam cara dibuat termasuk pernah bertemu dengan i Adnan Yaakob minta beliau campur tangan, tapi beliau kata tidak tahu menahu sedangkan ini ialah kawasannya. Pembeli juga ada mengutus surat kepada Sultan Pahang meminta baginda melihat nasib mereka, tetapi juga terus sunyi sepi.
Kini pilihan raya hampir muncul lagi. Kita percaya pemimpin Umno dan BN akan terus berjanji dan berjanji lagi. Kerana janji itulah senjata paling ampuh pihak kerajaan demi untuk terus mendapat undi dan sokongan rakyat!

No comments:
Post a Comment