Thursday, April 28, 2011

“Temerloh tidak lagi bandar selamat”

Kejadian pemandu peribadi Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said, yang dikenali ramai sebagai “Mat” ditetak di kepala dan dibelasah dengan besi paip kelmarin, benar-benar menggerunkan penduduk Temerloh.

Malah seorang pimpinan Pintas (Pertubuhan Kebajikan Warisan Kuala Semantan) yang enggan disebutkan namanya, menganggap bandar ini tidak lagi selamat kerana kes yang melibatkan “Mat” merupakan kes ketiga tetak lari dan pihak polis masih gagal menjejak penjenayahnya.

“Ini sudah kes ketiga dan modus operandinya hampir sama iaitu penunggang motosikal menghampiri lalu menetak mangsa dan lari. Seingat saya, dua kes hampir serupa sebelum ini, mula-mula Nasir lepas itu Hazim, juga belum ditemukan penjenayahnya.

“Apabila kes sebegini berlaku, sudah pasti orang ramai menjadi gerun dan merasa ancaman seolah-olah berada di mana-mana. Itu belum lagi kita tengok jenayah lain seperti curi, samun, penipuan serta gejala sosial yang lain. Jadi tak salah jika saya katakan Temerloh sudah menjadi seperti bandar koboi,” katanya kepada penulis agar disiarkan rintihannya dalam blog ini.

Tambah beliau, penduduk Temerloh kini fobia.

Pintas ialah sebuah pertubuhan yang mengumpulkan keahliannya daripada warga Melayu daerah ini yang lahir di Kuala Semantan. Pertubuhan yang agak berpengaruh ini memiliki ribuan anggota dan aktif dengan pelbagai aktiviti.

Dalam kes semalam, “Mat” cedera parah di kepala ditetak dengan sebilah parang dan besi paip oleh dua lelaki tidak dikenali ketika sedang minum di sebuah restoran (India) berhampiran pasaraya Teluk Ria, Jalan Bahagia di sini jam 12.30 tengah hari.

Ketika kejadian mangsa dipercayai sedang menunggu anak Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said pulang dari Sekolah Rendah Jalan Bahagia, berhampiran tempat kejadian.

Akhbar Sinar Harian yang memetik kenyataan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Deputi Superintendan R.Sundra-lingam berkata, kejadian berlaku begitu pantas.

Menurutnya, ketika sedang minum di meja bahagian luar restoran tersebut mangsa didatangi dua lelaki yang memakai topi keledar tutup muka lalu melibas parang dan menghayun batang besi paip ke arah badan mangsa.

“Akibat serangan bertubi-tubi itu mangsa mengalami cedera teruk di kepala dan kesan luka akibat tetakan sepanjang lapan sentimeter.

“Mangsa yang parah kemudian dihantar dengan ambulans ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dan menjalani rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Sundralingam berkata, motif kejadian dipercayai ada kaitan dengan kerja sampingan mangsa sebagai penarik kereta.

Beliau berkata, polis menolak kejadian bermotifkan politik dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Minggu lalu pula, dua orang kena tahan (OKT) terlepas daripada kawalan polis pagi tadi, ketika turun daripada trak polis untuk dibicarakan atau direman di mahkamah Temerloh.

OKT tanpa bergari itu secara tiba-tiba melarikan diri melalui pintu pagar kecil menghala ke taman tasik Temerloh yang berhampiran, dengan masih berseragam lokap polis kira-kira jam 8.30 pagi sebelum dibawa untuk pendakwaan.

Dua OKT yang difahamkan dibawa dari lokap polis Triang itu, dipercayai mengambil kesempatan ketika pengawal masih dalam keadaan tidak begitu bersedia iaitu antara menuruni trak ke pintu masuk tingkat bawah, bahagian belakang mahkamah.

OKT berkenaan dilaporkan berjaya merampas sebuah kereta sepasang suami isteri yang dikatakan baru selesai berjogging di taman rekreasi berkenaan.

Tiada laporan kedua OKT ditangkap kembali.


No comments:

Post a Comment