Wednesday, April 6, 2011

Mainan isu video seks wujud kesan negatif kepada generasi muda

TEMERLOH: Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Nik Zawawi Nik Salleh berkata, isu video seks yang pada asalnya didedah untuk meraih kepentingan politik sebenarnya memberi kesan negatif kepada generasi muda dan kanak-kanak.

Nik Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura PAS Pusat berkata, isu video seks yang diulang-ulang dalam berita televisyen dan akhbar arus perdana menimbulkan suasana tidak selesa kepada ibu bapa.

“Saya jadi begitu segan bila menonton televisyen bersama anak-anak kerana bermacam-macam istilah lucah yang keluar.
Begitu juga akhbar arus perdana yang mengulang-ulang berita aib itu, sedangkan akhbar berkenaan dilanggan di sekolah-sekolah.

“Akhirnya terbit budaya baru di mana istilah-istilah porno menjadi sebutan biasa dan gurauan pelajar-pelajar sekolah rendah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Temerloh baru-baru ini.

Nik Zawawi berkata, penularan budaya negatif itu mesti disekat segera oleh semua institusi masyarakat kerana negara sudah sedia terbeban dengan pelbagai masalah sosial yang tenat.

“Bayangkan gejala buang bayi sahaja sudah tidak terbendung dan sekarang yang mengandung luar nikah serta seks bebas bukan lagi wanita tidak berpelajaran tetapi lebih teruk melibatkan pelajar institut pengajian tinggi.

“Tengok, sekarang tidak ada kampung yang tidak dilanda masalah dadah. Peningkatan jenayah juga semakin hari semakin menakutkan,” katanya.

Dengan sebab itu, kata Nik Zawawi, PAS sebagai sebuiah gerakan Islam mesti berusaha tidak membiarkan kerajaan yang ada ini bertapak lebih lama kerana sudah jelas gagal membendung negara ke kancah gejala sosial yang parah.

Tambahnya, rakyat juga terpaksa menanggung kos kehidupan yang tinggi akibat gejala rasuah yang tidak terkawal.

“Sebab itu saya katakan jika Pakatan Rakyat diberi peluang memerintah negara ini, lebih daripada Buku Jingga yang boleh dilaksana sebab negara ini kaya tetapi rasuah banyak.

“Sebagai contoh kita lihat Arab Saudi hanya ada petroleum semata-mata tanpa ada komoditi lain tetapi boleh bagi pendidikan percuma, rawatan percuma. Saya tahu betul, gaji permulaan seorang guru saja di sana RM6,000.

“Arab Saudi pengeluar minyak dan boleh jual minyak kepada rakyatnya dengan harga 35 sen seliter, harga kereta jauh lebih murah dan tol tidak ada. Bukan macam Malaysia wang saman ekor pun kerajaan nak kebas daripada rakyat.

“Malaysia ini bukan saja pengeluar minyak tetapi juga getah, kelapa sawit, bijih timah... ada emas pelancongan dan sebagainya. Tetapi bagaimana dengan kos kehidupan rakyatnya?,” soalnya.

Tambah Nik Zawawi, sebab itu Malaysia ini kaya dan ada semua bahan mentah tetapi rakyat tetap ditekan dengan kos hidup yang tinggi.

“Apabila Pakatan buat tawaran jika memerintah, Wok Yeh-Wok Yeh Umno kata kalau laksana Buku Jingga negara akan bankrap. Sebenarnya pemikiran merekalah yang bankrap,” ujarnya.

Sementara itu di majlis berkenaan Nik Zawawi turut diberi penghormatan menerima keahlian baru daripada PAS Cawangan Sungai Gau.


GAMBAR:
1. Nik Zawawi berucap, merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Temerloh
2. Ketua PAS Cawangan Sungai Gau, Roslan Ahmad menyerahkan borang keahlian baru


No comments:

Post a Comment