Wednesday, June 9, 2010

Minyak sawit tumpah akibatkan kemalangan maut

TEMERLOH: PAS Maran merakamkan ucapan takziah kepada mangsa kemalangan dari Kampung Awah yang terbunuh awal pagi semalam (8 Jun) akibat terbabas kerana jalan raya berminyak.

Yang Di Pertua PAS Kawasan, Ustaz Ramli Abdul Rahman berkata, walaupun redha dengan takdir, namun kemalangan mungkin boleh dielakkan jika pihak berkuasa bersikap lebih prihatin dan profesional serta bertindak lebih pantas.

Semalam seorang eksekutif kilang kertas maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja selepas kenderaan dipandu terbabas sebaik melalui permukaan jalan berminyak di Kilometer 125, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat simpang Kampung Tanjung Batu, di sini kira-kira jam 7.25 pagi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa Norul Hasmiza Ab Aziz, 29, yang memandu Proton Satria melalui selekoh yang dipenuhi minyak kelapa sawit akibat tumpah dari sebuah lori yang melalui jalan sama pada awal pagi semalam.

Mangsa dari arah Kampung Awah menuju ke tempat kerja di Mentakab melalui selekoh berminyak dan gagal mengawal kereta sebelum terbabas lalu memasuki laluan bertentangan. Pada masa sama sebuah lori membawa ubat nyamuk dari arah Temerloh ke Kampung Awah tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta mangsa.

Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala. Manakala pemandu lori dikenali Mohd Izwan Mansor 31, dari Felda Kampung Awah tidak mengalami sebarang kecederaan .

“PAS Maran merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang mempunyai pertalian keluarga dengan saya dan tinggal berhampiran dengan rumah saya.

“Namun begitu kami juga agak kesal kerana kelewatan pihak berkuasa bertindak membersihkan tumpahan minyak sawit sehingga menyebabkan banyak kemalangan berlaku dan meragut nyawa,” ujarnya. Menurut kenyataan polis, permukaan jalan yang berminyak turut menyebabkan tiga kereta lain dan sebuah motosikal kesemuanya dalam perjalanan ke tempat kerja terbabas serta berlanggar sesama sendiri.

Tumpahan minyak itu memanjang sejauh kira-kira dua kilometer bermula dari simpang Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Kampung Paya Luas di sini hingga ke tempat kejadian.

Difahamkan, tumpahan minyak sawit itu telah berlaku sejak jam 5 pagi dan beberapa orang saksi dikatakan telah menghubungi pihak berkuasa. Namun tindakan tidak diambil, sehinggalah berlaku kemalangan ngeri ini.

Sementara itu, Ramli berkata, kesedihan menyelubungi pihak keluarga Norul Hasmiza yang meninggalkan seorang anak berusia lima bulan dan suami.

Beliau yang baru tahun lalu berumahtangga difahamkan sehari sebelum itu telah menghantar suaminya pulang bekerja di Pulau Pinang menaiki bas ekspres dari bandar ini.

Difahamkan suami Norul dalam keadaan sangat trauma pada masa ini.




4 comments:

  1. kak miza ni, kawan sy masa kat politeknik ungku omar......tingal serumah 2 tahun (2001-2002) dh mcm 1 keluarga......sebak rasa hati....moga keluarga arwah tabah atas pemergianny.....al-fatihah......

    ReplyDelete
  2. Takziah buat keluarga arwah yang merupakan rakan sekerja saya di MNI Mentakab. ( Al Fatihah )

    ReplyDelete
  3. salam..
    saya juga salah saorang rakan yg paling rapat dgn beliau.sebak dihati hanya Allah yg tahu.kepada rakan rakan arwah dipohonkan jgn berhenti sedekahkn Al-Fatihan bt beliau..semoga rohnya dicucuri rahmat..

    ReplyDelete
  4. Sekali-kali kita tidak pernah mampu menghidu takdir. Takdir kita, apatah lagi takdir orang lain. Maka di situlah terserlah kehebatan Tuhan yang Maha Agung. Betapa kerdilnya kita, malah tidak upaya menjangkau nasib sendiri.

    Dari Allah kita datang, kepada Nya pulalah kita akan kembali.

    maka selagi berkudrat dab termampu, kita hulurkanlah sedekah Al-Fatihah sebabnyak-banyaknya buat roh yang pergi...

    Amin... ya Robbal 'Alamin....

    ReplyDelete