Monday, June 21, 2010

Alahai kawanku... perwakilan Temerloh punya hal

Muktamar Agung PAS ke 56 sudahpun berakhir hujung minggu lalu. Namun cakap-cakap selepas muktamar masih belum berakhir di mana pelbagai peristiwa yang terjadi di dalam nya terus menerus diperkatakan.

Antara yang terus dibualkan ama ada pro atau kontra, ialah gelagat seorang perwakilan dari Temerloh, Amirruslan Manaf, yang mengambil bahagian membahaskan usul memperkasakan parti yang dibawa oleh Dewan Ulamak. Tetapi ucapannya paling menimbulkan kontroversi.

Menurut media, antara lain, Amir mendakwa bahawa Perlembagaan PAS yang ada hari ini diciplak daripada Umno iaitu berkaitan perlantikan pesuruhjaya negeri-negeri. Selain itu Amir mendakwa, PAS adalah parti yang tidak mengikut perubahan semasa rakyat berbanding Umno yang sudah melaksanakan satu tranformasi besar apabila memberi peluang kepada 380,000 ahli untuk memilih presiden.

Katanya, akibat daripada itu lahirlah “All president’s men” di peringkat negeri-negeri tanpa didokong akar umbi (kerana menjadi ketua atas lantikan persiden saja).

Mengenai keperluan lima naib presiden (yang dicadangkan Mahfuz Omar) pula, Amir mahu kelima-limanya dipertandingkan kerana jika hanya tiga kerusi naib sahaja dipertandingkan, ia memberi maksud seolah-olah memberi kuasa penuh kepada Presiden sedangkan langkah ini, menurut Amir, tidak mengikut perubahan dan cita rasa rakyat.

Menurut media lagi, kenyataan Amir tadi telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan 1,000 perwakilan lain sehingga Timbalan Pengerusi Tetap, Cikgu Husin, meminta Amir menarik balik kenyataannya. Amir kemudian beralah dan bersetuju menarik balik dakwaannya, mungkin setelah dilihatnya keadaan tidak terkawal.

Namun begitu, sewaktu penggulungan di hari terakhir, AJK Pusat Hanipa Maidin mengkritik cara emosional para perwakilan yang tidak memberi ruang kepada Amir menghabiskan ucapan. Sedangkan muktamar merupakan medium terbaik untuk ahli-ahli PAS meluahkan sesuatu demi mencari kebaikan dan pemerkasaan pendapat. Sepatutnya berbeza pendapat boleh dibudayakan dalam PAS.

Sebenarnya, saya kenal Amir ini... malah amat kenal sejak dari kecil dan boleh selalu berjumpa dan bersembang dengan beliau. Dia seorang kontraktor yang boleh dikatakan agak berjaya.

Tatkala kontroversi Amir ini masih diperkatakan, saya sempat bertemu beliau dan bertanya apa sebenarnya yang beliau mahu jelaskan.

“Saya berbahas semasa usul memperkasakan parti... saya mahu parti diperkasa untuk sediakan PAS sebagai parti masa depan. Malangnya budaya muhasabah dalam parti agak negatif sehingga saya tak diberi peluang untuk menghabiskan hujah.

“Kita mahu merakyatkan PAS... jadi kita rasakan ahli-ahli lebih berkuasa daripada presiden, jadi mestilah ahli-ahli diberi peluang memilih pemimpin-pemimpin mereka di segenap peringkat, bukannya semua ditunjukkan oleh presiden,” katanya sambil merujuk kepada pelantikan Pesuruhjaya PAS negeri-negeri.

“Kaedah itu ditiru daripada amalan Umno. Dan maksud saya katakan Perlembagaan PAS diciplak daripada Umno bukanlah saya katakan itu salah. Saya katakan itu kenyataannya kerana PAS lahir dari Biro Agama Umno.

“Saya tak kata salah, sebab Saiyyidina Umar ketika pemerintahannya juga turut mengambil peraturan daripada pemerintahan Parsi bagi perjalanan jabatan-jabatan di bawah pentadbirannya. Berani orang kata Saiyyidina Umar salah kerana ciplak daripada Parsi?

“Almarhum Profesor Dr Ahmad Ibrahim ketika membentangkan kertas kerja tentang negara Islam, Perlembagaan Malaysia hanya perlu memasukkan klausa ‘Al-Quran dan Sunnah’ sebagai undang-undang tertinggi, kemudiannya Malaysia sudah boleh jadi negara Islam. Jadi bukan bermakna saya menghina Perlembagaan PAS,” jelasnya.

Selain apa yang disebutkan oleh media, Amir juga berkata beliau mahu mengutarakan idea agar PAS menubuhkan jawatankuasa hisbah di negeri-negeri diperintah, perisytiharan harta semua Adun, Ahli Parlimen dan pimpinan PAS. Semua itu mahu memperkasakan parti jika mahu dilihat hebat dan berwibawa.

Itu yang mahu diucapkan oleh Amir, katanya dia bukan mahu memperlecehkan PAS kerana dia ‘orang kuat PAS’.

Barangkali perwakilan bertindak betul menyanggah Amir awal-awal lagi, kerana mereka terlampau sayangkan jamaah sehingga tidak sanggup dikritik apa lagi disamakan dengan Umno.

Amir juga rasanya tidaklah bersalah besar, beliau ada idea untuk diperbahaskan demi untuk memperkasakan parti cuma beliau mungkin hanya ‘tersalah’ mengemukakan hujah awal (menghentam Presiden dan Perlembagaan PAS) sehingga dilihat membelakangkan adab-adab mengkritik dalam PAS.

Saya merasakan tidak mengapa, Amir mungkin pertama kali berbahas di muktamar jadi mungkin berlaku sedikit kelemahan kepada dirinya. Mungkin dia agak gugup dan belum bersedia secukupnya dari awal seperti mengambil kira sekiranya dia di “boo” atau berhadapan dengan karenah pengerusi.

Ada kawan memberitahu, jika satu masa dulu ada perwakilan dari Pahang (contohnya pada zaman arwah Malik Yusuf dan sebagainya) berucap atau berbahas, seluruh perwakilan akan terdiam dan memberi perhatian kerana biasanya perwakilan Pahang akan membawa sesuatu yang baru.

Amir mungkin masih jauh untuk setara Malik... tetapi Amir kena belajar bagaimana untuk menyerap tekanan jika mahu berucap dan berbahas lagi pada masa-masa akan datang.

Kita orang Pahang ini, apa lagi dari Temerloh, merupakan keturunan pejuang, revolusioner ddan dari pangsa bangsa yang tidak pernah tunduk kepada kezaliman dan pantang menjadi yes man!










3 comments:

  1. Salam Pahang Selamat,
    Berbahas menajamkan minda.... kira ok le tu...

    ReplyDelete
  2. Steady Aki Net...

    Koi sokong awak...

    heheheh...

    ReplyDelete
  3. didalam setiap jamaah,organisasi dan pertubuhan adalah kewajaran meraikan perbedaan pendapat.

    ReplyDelete