Monday, May 24, 2010

Bilakah kes saman kerajaan Pahang selesai?


Kes saman syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd (SGM) terhadap Kerajaan Negeri Pahang yang berlanjutan sejak satu dekad, terus menjadi topik bualan ramai di negeri ini. Sesetengahnya pula bertanya, sehingga bilakah kes tersebut mahu dibiarkan terus berlarutan.

Apa yang dimusykilkan orang ramai ialah keengganan melengah-lengahkan pembayaran tersebut bermakna jumlah bayaran semakin meningkat kerana wang faedahnya sebagaimana diputuskan mahkamah terus bertambah sebanyak RM8,300 sehari.

Menurut sumber, jumlah yang kena bayar sehingga kini sudah hampir menjangkau RM70 juta! Oleh kerana keputusan membayar telah dikeluarkan oleh mahkamah, tidak dapat tidak pembayaran mesti dibuat. Jika kerajaan negeri yang membayar, itu bermakna wang rakyat yang akan dikorbankan bagi menyelesaikan kes tanah Umno.

SGM ialah syarikat kontraktor pembalakan yang telah menerima hak eksklusif mengeluarkan saki baki kayu balak di tanah milik Umno iaitu P.T. Lot 6959 Mukim Bebar, Pekan seluas 10,000 ekar pada tahun 2000 lalu.

Ceritanya bermula apabila SGM telah membayar kepada Umno Pahang untuk mengeluarkan saki baki balak dikawasan terbabit, sebelum kerja-kerja pembalakan selesai Jabatan Perhutanan Pahang enggan melesenkan kepada SGM pada sebahagian tanah yang ditender sehingga menyebabkan syarikat tersebut mendakwa mengalami kerugian besar.

Ekoran itu SGM telah mengambil tindakan mahkamah sebagai jalan terakhir setelah kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri enggan melayan tuntutan SGM untuk mendapatkan lesen bagi meneruskan kerja-kerja pembalakan.

Justeru itu Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 telah mengeluarkan suatu perintah kepada defendan supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37,127,471.60 kepada SGM berserta kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000 kepada SGM.

Ini setelah Mahkamah Tinggi Kuantan mendapati Pengarah Perhutanan Negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan menggunapakai pelan terkini yang dikemukakan syarikat itu yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998, digunapakai.

Dalam pada itu pihak defendan ada memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Bagaimana pun penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh pada 13 Februari 2008 kedua-dua defendan (Kerajaan Pahang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang) gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi Kuantan.

Pada 7 Mac 2008 pula, Mahkamah Tinggi Kuantan telah memperakukan sijil perintah dan amaun penghakiman terhadap kedua-dua defendan daripada Mahkamah Tinggi Kuantan (keputusan penghakiman 25 Mei 2007).

Tarikh 7 April 2008 sepatutnya adalah hari wajib bayar iaitu tarikh akhir bagi pihak defendan kepada SGM. Namun pihak defendan telah gagal membuat apa-apa bayaran ataupun menghubungi SGM. Maka secara automatik pihak kerajaan negeri dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

Pada 20 April 2009 pula Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah mandamus (memaksa pihak berkuasa mematuhi perintah mahkamah) terhadap Adnan dan kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran RM63 juta kepada SGM dalam tempoh 14 hari.

Namun begitu, keputusan terbaru Mahkamah Rayuan ialah menamakan Pegawai Kewangan Negeri Pahang sebagai penerima mandamus menggantikan Menteri Besar Pahang yang menerimanya dari mahkamah sebelum ini kerana konteks negeri Pahang penjawat merupakan orang yang bertanggungjawab mengeluarkan bayaran.

Pembuat dasar langgar undang-undang sendiri

Bagi peguam Ahmad Nizam Hamid, setelah Mahkamah memutuskan sesuatu hukuman tidak sepatutnya belaku kelengahan kerana ia bermakna melanggar undang-undang ataui mengingkari mahkamah.

Katanya, ini sudah tentu membukkan imej kerajaan sendiri yang membuat dasar dan peraturan, tetapi melanggarnya.

“Kita boleh melihat kes rampasan kuasa Kerajaan Negeri perak sebagai rujukan. Apabila Mahkamah Persekutuan pada satu ketika memutuskan (Datuk Seri) Nizar diputuskan sebagai menteri besar, (Datuk Seri) Zambry turun. Dan bila mahkamah yang sama memutuskan Zambry sebagai menteri besar semula, Nizar pula yang turun.”

“Kesnya sama, iaitu melibatkan pematuhan terhadap perintah mahkamah. Pada masa ini saman terus berjalan dan apa yang saya bimbangkan ialah jika sikap pemimpin kerajaan negeri terus-terus bersikap begitu, jumlah yang kena bayar meningkat lagi kerana wang faedah terus berjalan sebanyak RM8,000 sehari."

“Dalam akta penghakiman terhadap kerajaan apabila dikeluarkan perintah amaun kena bayar melalui proceeding act, bayaran wajib ikut perintah dikeluarkan mahkamah, kerajaan negeri enggan... mahkamah terpaksa pula keluarkan perintah mandamus. Keingaran ini sangat memalukan kerana macam negeri koboi di mana undang-undang tidak dipedulikan”.

“Seperti kes SGM ini, setiap langkah yang diambil bagi mendapatkan bayaran daripada Pegawai Kewangan, Setiausaha Kerajaan Negeri atau daripada pihak berkuasa negeri melalui penasihat undang-undangnya, semuanya menepati perintah mahkamah,” katanya.

Satu hal lagi, Kesannya sudah tentu buruk daripada sikap melanggar perintah mahkamah oleh Kerajaan Negeri Pahang juga dikhuatiri akhirnya dipandang negatif oleh pelabur dalam dan luar negeri.

Usahawan Saharudin Omar, berpendapat kes ini sudah tentu dilihat buruk di mata pelabur-pelabur dalam dan luar negeri kerana mereka rasa tiada jaminan mendapat hak dan keadilan di sisi undang-undang jika berlaku konflik dengan kerajaan negeri.

“Demi kebaikan semua, kita berharap kes yang berlarutan sekian lama ini dapat diselesaikan secara baik kerana kes yang tertangguh ini memburukkan imej negeri sendiri juga termasuk di mata pelabur dalam dan luar negeri,” katanya.

Saharudin turut menyelar sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Negeri Pahang kerana membelakangkan prinsip-prinsip good governance, ketelusan dan integriti sehingga kerajaan negeri terpaksa membayar lebih daripada sepatutnya.

Imej buruk di mata pelabur

Februari lalu akhbar edisi internet Adelaide Now dari Australia melaporkan, Rose Ong, iaitu rakan kongsi SGM dari negara itu telah memberi amaran kepada pelabur-pelabur dari Australia agar berhati-hati melabur di Pahang kerana kerajaannya melanggar undang-undang.

Di bawah artikel bertajuk “Adelaide timber investor fights for $21m payout”, Rose berkata, mahkamah tinggi telah mengarahkan kerajaan negeri membayar ganti rugi sebanyak RM 63 juta ($21 million), tetapi Kerajaan Negeri Pahang tetap enggan membayarnya.

“Penghakiman oleh mahkamah tinggi dan mahkamah persekutuan Malaysia kedua-duanya menyebelahi kami (dalam tuntutan saman) namun Kerajaan Negeri Pahang tetap enggan membayar,” katanya.

Ahli perniagaan wanita tersebut turut menghantar bantahan kepada Kedutaan Melaysia di negara itu.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh pula meletakkan Menteri Besar Pahang mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam hal ini dan rakyat harus menuntut supaya wang rakyat tidak disentuh oleh kerajaan negeri dalam melangsaikan bayaran saman ini.

“Tindakan menggadaikan hak rakyat oleh pemimpin negeri ini mestilah diberhentikan serta-merta bagi menyelamatkan negeri ini daripada lebih parah dan hanya akan merugikan rakyat”,

“Bagaimanakah pula Kerajaan Negeri Pahang terpaksa membayar sebanyak hampir RM70 juta sedangkan hutang sedia ada dikatakan hampir RM2 bilion. Apa yang kita tidak mahu rakyat telah bertungkus lumus bekerja keras, membayar cukai, kemudian terpaksa pula melihat wang mereka digunakan untuk membayar saman hasil dari pentadbiran yang gagal dan tidak bertanggungjawab ini”.

Manakala ketirisan aset dan khazanah negeri yang berterusan menjadikan Pahang sebuah negeri yang hampir muflis walaupun kaya dengan berbagai sumber hasil, tambah Fuziah.



1. Inilah pelan kawasan Tanah Umno di Pekan (kawasan bergaruis lurus) yang diserahkan kepada SGM



2 comments:

  1. sangat memalukan dan lihat saham felcra untuk dun kerdau yang dapat kebanyakanya guru guru dan kaki tangan kerajaan serta swasta yg tidak terlibat langsung dengan kerja pertanian tapi penyokong kuat umno... tanyalah org kuala krau, org peragap org kerdau siapa tukang agihnya dulu boleh tanya cik gu pin

    ReplyDelete
  2. Wow!!!...

    Mi banyak tau pasal Kerdau ni...

    Kalau takdirnya jadi pilihan raya kecil, bolehlah tolong carikan isu-isu tempatan....

    ReplyDelete