Friday, May 28, 2010

BN pertahan kuasa kerana main politik perkauman

JERANTUT: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kuasa selama ini kerana adu domba politik perkauman sehingga menyebabkan rakyat menganggap hanya parti itu yang mampu memberi pembangunan dan menjamin keselamatan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Muhamad Sabu berkata, inilah propaganda yang telah disemai bertahun-tahun namun kini sudah mula tidak dipercayai rakyat.

Bercakap dalam majlis ceramah umum di Kompleks Imam As-Syafie (KIAS) Temin Jerantut baru-baru ini, Muhamad berkata pada hakikatnya Umnolah yang mengkhianati hak-hak Melayu.

“Dulu mereka memainkan isu jika PAS memerintah orang Cina dan India akan kena khatan, tak boleh makan babi dan sebagainya. Inilah mainan mereka sebab selagi orang Cina tak undi PAS dan orang Melayu takutkan DAP, BN akan terus berkuasa.”

Namun, tambah Muhamad, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 terdapat perubahan besar pada sikap bukan Melayu sehingga mereka mulai mengetepikan propaganda tersebut.

Katanya, bagi orang Melayu, mereka masih belum berani melakukan perubahan sehingga menganggap memenangkan Umno/BN bermakna mereka mempertahankan Melayu.

“Ada tiga perkara yang orang Melayu takut nak ubah, pertama masalah keamanan. Kedua kalau parti lain menang tidak ada pembangunan. Ketiga, hanya Umno sahaja yang boleh jamin hak-hak Melayu, dan inilah yang telah disemaikan bertahun-tahun.”

“Tetapi masalah keamanan dan pembangunan itu sudah mula tidak dipercayai oleh rakyat berdasarkan PRU 2008, tetapi perkara ketiga iaitu Umno menjamin hak-hak Melayu masih diterima dengan kuat oleh orang Melayu.”

Jelas Muhamad, semua itu tidak benar kerana berdasarkan sejarah Umnolah yang mencabul hak-hak orang Melayu selama ini.

“Cuba kita tengok siapa yang sekat bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR)? Adakah DAP? Siapa tukar cuti hari cuti umum di Johor daripada Jumaat kepada Ahad, adakah DAP? Tidak, Muhyiddin. Ingat 10 tahun dulu siapa yang tukar subjek Sains dan Matematik ke bahasa Inggeris, adakah DAP? Tidak... Dr Mahathir.”

“Tengok pula, siapakah yang menjahanamkan tulisan jawi sehingga membuatkan anak-anak Melayu sendiri buta Islam? Siapa yang lupuskan tanah rizab Melayu daripada 3 juta ekar kini hanya tinggal 1.7 juta? Semua ini akibat perlakuan pemimpin Umno”.

“Tiba-tiba selepas PRU 2008 muncullah Umno sebagai pejuang Melayu, muncul pula Perkasa kononnya nak bela Melayu” ujarnya sambil diiringi gelak ketawa orang ramai.

Lebih 2,000 hadir. Turut berceramah Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang Fadzli Ramly dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar.

Jelas Muhamad, di Pulau Pinang Umno menunjukkan sikap patriotik melampau walhal selama pemerintahan di bawah mereka orang Melayu jelas kurang terbela.

“Bayangkan, di Pulau Pinang selama ini yang 80% penduduk miskin tegar ialah orang Melayu, 50 tahun Umno memerintah buat apa? Sekarang Lim Guan Eng sebut nak ikut Umar Abdul Aziz, Umno marah. Tetapi kita sepatutnya bersyukur. Itu lebih baik daripada kalau dia nak ikut Mao Tze Tung atau Ho Chi Min.”

“Tuan-tuan tahu, hasil penjimatan kerajaan negeri dapat kumpul RM36 juta. Daripada situ diagihkan antaranya kepada SAR. Jadi yang sekat bantuan SAR Umno, yang bagi bantuan kepada SAR DAP Pulau Pinang.”

Muhamad menjelaskan, teraju pemerintahan Umno/BN akan tumbang sekiranya PAS berjaya matikan politik perkauman mereka pada masa akan datang.


3 comments:

  1. Ngape bendera pahang tu terbalik? Sepatutnya putih kat atas, hitam kat bawah. Memalukan.

    ReplyDelete
  2. bendera terbalik sbab kerajaan Pahang dah muflis.tanda tanda bawa sial

    ReplyDelete
  3. Kah kah kah!!!!!!


    Koi setuju amat!

    ReplyDelete