Wednesday, March 30, 2011

Warga Kuantan berdemo bantah Lynas di parlimen

Lebih 100 penduduk Kuantan bergerombolan dalam empat buah bas pagi ini bagi membuat demonstrasi aman membantah pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi (rare earth) yang paling besar di dunia di Gebeng, Kuantan.

Mereka terdiri daripada aktivitis termasuk dari NGO, Save Malaysia.

Menurut mesej yang dihantar oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, warga Kuantan yang sampai sekitar jam 9.30 pagi itu telah dihalang oleh pasukan polis dan FRU.

Sementara itu, menurut Ketua Pemuda PAS Pahang Suhaimi Saad, yang turut menyertai penduduk Kuantan ke parlimen itu, hanya 10 orang wakil penduduk yang dibenarkan memasuki parlimen.

Manakala yang lain berkumpul di hadapan pengawal parlimen sambil mengibarkan banner dan melaungkan "Stop Lynas, Selamatkan Kuantan, Stop Radioactive dan Selamatkan Malaysia".

Lynas Corp ialah syarikat dari Australia, yang diizinkan beroperasi oleh kerajaan Pahang bagi projek bernilai RM700 juta itu. Syarikat berkenaan memproses bahan dari Australia, sementara sisa pemprosesannya yang mengandungi radioaktif akan dibuang di Kuantan.

Lynas, sebelum ini dikatakan telah ditolak di China dan negeri Perak daripada beroperasi kerana bimbangkan risiko.

Menurut Fuziah, pembuangan radioaktif itu di Kuantan, walaupun lima peratus, tetapi ia boleh memberi kesan seperti kanser dan kecacatan.





No comments:

Post a Comment