Monday, March 21, 2011

Serangan politik seks: Najib seperti Mahathir

Saya kira cara atau stail Umno berpolitik masih tidak berubah walaupun masa terus berlalu, iaitu menjatuhkan lawan politik mereka dengan tuduhan terlibat dalam skandal seks yang divideokan.

Ertinya, dalam mempertahankan kuasa, apa cara dan apa kaedah sama ada baik atau tidak di sisi Islam, tidak pernah diperhitungkan. Yang penting, lawan mereka akan aib dan dengan harapan rakyat akan menolak lawan politik pemerintah itu.

Metod ini bukannya baru, ketika Datuk Seri Anwar mahu dijatuhkan daripada jawatan kedua tertinggi negara dulu, beliau juga sebelum itu diaibkan. Termasuk melalui buku “50 dalil” dan pelbagai saksi yang ditampilkan dan dihadapkan ke mahkamah.

Saya masih ingat, di Pahang pada kempen PRU 1999, pernah diadakan 'road show' di atas pentas politik didatangkan dua orang wanita yang kononnya ‘rakan seks’ Anwar. Yang menaja kehadiran wanita itu pula ialah 'bekas orang Anwar' yang sudah menjadi orang penting Umno Pahang!

Tadi, wartawan-wartawan media arus perdana telah dibawa menyaksikan satu rakaman video aksi seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin utama pembangkang dengan seorang wanita muda yang tidak dikenali.

Video tersebut ditayangkan untuk tontonan pihak media pagi ini di hotel Seri Carcosa Negara di ibunegara. Wartawan menonton video selama 20 minit itu secara bergilir mengikut kumpulan.

Mungkin penyaksian wartawan-wartawan terhadap video berkenaan tidak datang secara ‘direct’ daripada kepimpinan tertinggi Umno. Akan tetapi anda percayakah ia berani dilakukan oleh sesuatu pihak tanpa restu atasan? Beranikah mereka jika ini bukan satu konspirasi?

Apa jaminannya ia bukan satu konspirasi untuk mengaibkan pimpinan Pakatan menjelang pilihan raya Sarawak? Anda percayakah video ini tidak akan menjadi bahan kempen BN pada pilihan raya nanti?

Seperti biasa, Tv3 mengambil kesempatan terawal mengungguli memainkan isu tersebut. Benar atau tidak pemimpin tertentu dalam skandal berkenaan tidak lagi penting, yang penting ialah dalam kepala rakyat ‘orang tertentu’ sudah terpahat.

Menurut laman Malaysiakini, pihak yang mendedahkan rakaman tersebut mendesak ahli politik berkenaan (pembangkang) meletak jawatan dalam tempoh seminggu jika tidak mahu klip video didedahkan kepada umum.

Alangkah buruknya stail berpolitik cara ini di mana lawan dijatuhkan bukannya di medan demokrasi tetapi dimalukan dengan cara terancang. Selepas ini, seakan-akan dapat dibaca bahawa akan ada demonstrasi di sana sini mahukan pemimpin tertentu berundur. Akan ada 'road show' tanpa diusik oleh polis.

Skripnya sudah siap, tinggal lagi untuk dilakukan sahaja!

Bagaimanapun, masih ingatkah anda bahawa isu seks yang dikenakan terhadap Anwar pada 1998 dahulu tidak diindahkan rakyat malah fitnah tersebut telah menyebabkan kira-kira 65 % orang Melayu telah berpaling daripada Umno dan mengundi Barisan Alternatif pada PRU 1999?

Untuk kes terbaru ini, saya menyeru para ulamak yang bencikan fitnah, orang Islam yang takut dengan bala dan azab Allah akibat fitnah, agar segera bermunajat dan memohon Allah SWT segera ‘mengajar’ golongan yang bertindak mendedahkan keaiban seorang muslim ini.

Cukuplah daripada membenarkan mereka mendapat kekuasaan melalui mengaib dan memangsa fitnahkan orang lain. Ingatlah, di hujung kehidupan kita ialah kematian.

Mohonlah kepada Allah SWT agar segera mengazab dan menghina golongan pencacai fitnah agar dunia ini terselamat daripada bala bencana yang tidak memilih sesiapa!


No comments:

Post a Comment