Tuesday, January 18, 2011

Yusri Ahon lebih sesuai debat dengan Khairy - Fauzi


TEMERLOH: Lawan sebenar Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin jika mahu berdebat bukannya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi Timbalan Pengerusi II, Biro Hal Ehwal Orang Asal PKR Pahang, Yusri Ahon.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Fauzi Abd Rahman berkata, Yusri Ahon adalah calon yang sesuai untuk berdebat dengan Khairy yang menawarkan diri menggantikan tempat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi berdebat dengan Ketua Umum PKR itu.

Tambah Fauzi, ini disebabkan Khairy hanya duduk di kaki lima kabinet Najib yang tidak tahu apa-apa tentang dasar ekonomi dan subsidi kerajaan, justeru tidak layak berdebat tentang ‘Tawaran 100 hari Pakatan Rakyat’.

"Jika Khairy mahu menggantikan tempat Najib, maka Yusri adalah calon paling layak untuk berdebat dengannya pula. Lagi pun Yusri , walaupun berketurunan Orang Asli adalah lulusan universiti yang bijak menganalisis perkembangan ekonomi

“PKR sedia sahut cabaran Khairy itu namun beliau perlu lawan Yusri dan bukannya Anwar,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama jawatankuasa MPN yang pertama sesi 2011 – 2013 di Rumah Rehat Temerloh, Ahad lalu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau itu mengutarakan cabaran berdebat dengan Anwar, setelah Anwar mencabar Anwar Najib berdebar berkaitan isu tawaran 100 hari Pakatan Rakyat.

Mengenai organisasi PKR Pahang, menurut Fauzi, mesyuarat telahpun melantik timbalan-timbalannya dan setiausaha perhubungan negeri.

“Mesyuarat tadi telah melantik setiausaha perhubungan iaitu Mohamad Musa bagi menggantikan Razali Alias yang telah berpindah ke Kuala Lumpur. Sementara bagi timbalan-timbalan kita telah kemukakan beberapa nama kepada Pusat dan minta Pusat yang tentukan.

“Kita juga ucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail yang juga Ketua PKR Cabang berkenaan kerana diberi kepercayaan oleh Pusat untuk menjadi Pengerusi MPN Terengganu,” ujarnya.

Mengenai pilihan raya umum (PRU) ke 13 yang akan datang, Fauzi berkata mesyuarat tadi mendedahkan Pakatan Rakyat boleh mencapai kemenangan sehingga menguasai negeri ini kerana swing yang diperlukan hanya 5 peratus.

“Pakatan Pahang hanya perlukan swing sekitar 5 peratus tambahan daripada keputusan PRU 12 untuk memerintah. Jika Pakatan memperoleh lonjakan 5 peratus itu bermakna 19 kerusi dewan undangan negeri (Dun) BN yang dimenangi sekarang akan jatuh ke tangan Pakatan.

“Jadi dicampur dengan empat kerusi kerusi dimenangi pakatan sekarang dan satu kerusi bebas, Pakatan akan memiliki 24 kerusi daripada 43 kerusi Dun yang ada,” jelasnya.




1 comment:

  1. lulusan universiti? rase nye,sekolah rendah pun tak habis belajar.. macam mane boleh jadi lulusan universiti?

    ReplyDelete