Monday, January 10, 2011

Oooo.... patutlah berlambak drama Indonesia di tv kita

Saya baru saja perasan, rupa-rupanya sebahagian besar drama yang tersiar dalam stesen televisyen di negara ini dipenuhi siaran cerita-ceriti daripada Indonesia. Iaitu sejak tahun 2007. Itu pun setelah membaca blog Najwasuhaimi, milik Ketua Pemuda PAS Pahang.

Aneh, kenapa sih?

Tidak berapa lama dahulu jika sebelah tengahari, disiarkan drama sangat popular iaitu ‘Bawang Merah Bawang Putih’. Saya masih ingat, di pejabat kami kakitangan perempuan paling ‘galak’ dan berahi menonton drama tersebut sehingga pada satu ketika bos kami terpaksa ‘menegur’. Saya masih ingat, akhirnya kakitangan perempuan ‘mengusung’ peti televisyen ke dalam bilik muslimat, kerana enggan terlepas menonton drama tersebut. Betapa minatnya mereka!

Ada satu lagi drama terkenal yang berjudul ‘Intan’ Iakonan aktres ayu Nasyila Mirdad iaitu puteri kepada penyanyi Jamal Mirdad dan pelakon Lydia Kandou. Pasangannya ialah pelakon ‘ganteng’ Dude Harlino. Drama yang ditayangkan saban hari jam 11 hingga 12 malam itu lebih memeranjatkan kerana menjadi ‘kegilaan’ daripada isteri hinggalah kepada anak bungsu saya!

Saya turut berteleku sama dan terpaksa menghafal nama watak-watak seperti Ello, Dr Rado, Rangga, Romi, Mama Kasih, Tanter Nia, Suria, Fajar, Bintang, Pelangi, Dr Franz dan banyak lagi demi menyaingi isteri dan anak-anak saya kerana mereka menghafal jalan cerita daripada siri 1 hinggalah ke akhirnya siri 160 (jika tidak silap ingatan).

Anak-anak saya minat dengan banyak lagi drama Indonesia seperti “Toyib mintak kawin’, ‘Cahaya’, Benci bilang cinta','Bila cinta bertasbih' dan macam-macam lagi yang saya sendiri tidak tahu. Saya kira bukan di dalam rumah saya sahaja, kebanyakan yang punyai banyak waktu terluang pun turut meminati.

Malah tidak salah jika dikatakan, Menteri Penerangan pun amat meminati karya dan produk dari seberang!

Namun bukan maksud saya untuk berbahas tentang drama Indonesia di sini, cuma alangkah beruntungnya bisnes karyawan filem di negara seberang itu kerana telivisyen di sini bersedia membeli dan menyiarkannya.

Rupa-rupanya tindakan Kementerian Penerangan membenarkan terlalu banyak drama Indonesia mendapat bantahan karyawan filem di Malaysia.

Berikut saya perturunkan keluhan mereka:

LAMBAKAN DRAMA INDONESIA

Berbuih mulut para pengkarya drama tv dan wartawan hiburan media cetak mengeluh dan memberi komen mengenai kebanjiran serta lambakan drama luar terutamanya dari Indonesia di kaca tv di Malaysia. Tapi keadaan tidak berubah malah bertambah teruk lagi.

Minggu ini saya agak terkejut apabila melihat drama popular Indonesia JELITA yang dilakunkan oleh penyanyi terkenal Indonesia Agnes Monica diulang tayang oleh TV3. Apa alasan TV3 mengulang tayang drama tersebut tidak pula saya ketahui. Namun TV3 memang terkenal dengan tag linenya "Atas Permintaan Ramai".

Faktor pengiklanan dan merebut rating mungkin sebab utama TV3 walaupun taq line "Atas Permintaan Ramai" sering digunakan. RTM dan ASTRO juga banyak mendewa-dewakan drama Indonesia. RTM yang sepatutnya paling patriotik juga seolah-olah terikut-ikut dengan rentak merebut rating TV.

Hakikatnya kebanjiran drama luar tanpa sebarang kawalan, secara langsung telah menutup periuk nasi golongan pengkarya belakang tabir di Malaysia. Pengarah, Penulis Skrip, Krew Produksi, Production Manager adalah antara yang menerima kesan langsungnya. Adakah pengkarya kita terlalu 'sengkek idea' atau rendah tahap profesionalisme hingga kita terdesak mengimport produk dari luar?

Mengimport produk dari luar bermakna kita juga mengimport 'nilai' mereka untuk dihidangkan dan 'dipasakkan' dalam mind set serta world view khalayak penonton kita. Kisah seorang 'Pak Haji' pulang dari Mekah bermain judi mungkin boleh diterima pada 'nilai' yang dipegang masyarakat Islam di Indonesia tapi ianya 'nilai' yang tidak diterima pada masyarakat Islam di Malaysia.

PPTV dan SWAM patut bertindak tegas dan perlu 'dilihat' sedang bersungguh-sungguh berbuat sesuatu mengenai isu ini. Jangan sampai esok lusa para penggiat drama tv terpaksa hidup kais pagi makan pagi seperti yang berlaku pada keluarga Allahyarham Ismail Din.



No comments:

Post a Comment