Monday, January 3, 2011

Khairy Ketua Pemuda Umno paling malang?

Betullah kata orang, “jika terlalu cepat naiknya seseorang itu, maka pantaslah pula jatuhnya”.

Demikianlah yang boleh diibaratkan kepada nasib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin. Belumpun menghabiskan penggal pertamanya jawatannya, akhbar The Star semalam melaporkan Ahli Parlimen Rembau itu mahu ‘pencen’ daripada politik.

Beliau membayangkan, tidak akan mempertahankan kerusi Rembau yang diwakilinya pada PRU akan datang dengan alasan mahu berehat.

Semua orang tahu bahawa Khairy menjadi pemuda paling berkuasa pada satu ketika dulu tatkala bapa mentuanya Tun Abdullah Ahmad Badawi (yang dianggap PM paling singkat dalam sejarah Malaysia setakat ini).

Pendek kata, dialah “Rosmah” kepada mantan PM itu.

Khairy memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno tanpa bertanding pada usia 20-an. Kemudian dia memenangi jawatan ketua pemuda dalam persaingan tiga penjuru pada pemilihan Umno yang lalu. Malangnya bekas penuntut University of Oxford itu tidak dilantik apa-apa jawatan kabinet. Kedudukan ini dianggap sebagai ‘mencarik adat’ kerana kebiasaannya mana-mana Ketua Pemuda Umno akan diangkat ke kabinet. Apatah lagi penolongnya, Datuk Razali Ibrahim menjawat timbalan menteri. Bahkan pesaing yang tewas ditangannya Datuk Mukhriz Mahathir juga diangkat ke kabinet.

Berbalik kepada hasratnya untuk berundur, ada yang mengatakan beliau hanya sekadar ‘test power’ bagi memancing perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun ada pula yang berpendapat sememangnya beliau benar-benar ‘kecil hati’ terutama dengan bekas PM Tun Dr Mahathir yang dikatakan mempengaruhi Najib agar tidak mengangkat Khairy masuk ke kabinetnya.

Justeru, jadilah Khairy sebagai ketua pemuda paling malang dalam sejarah hampir 7 dekad Umno.




No comments:

Post a Comment