Saturday, January 8, 2011

Dia pengemis warga Kuala Semantan

Dia warga Temerloh, anak kelahiran Kuala Semantan. Tinggalnya di kaki lima kedai di tengah-tengah Bandar Lama, Temerloh bagi berteduh daripada hujan dan panas. Dia menyambung nyawa dengan mudah kerana tidurnya beralaskan simen berbantalkan kelompen buruk. Kakinya sudah dipotong, tapi untuk terus bernafas dia terpaksa bergerak mengalas perut dengan menadah tangan memohon simpati insan yang lalu lalang.

Rayuannya terkadang dia mendapat perhatian, namun kekadang tidak dipedulikan, ada kalanya dia diludah dan dimaki! Apakah daya, itulah adat seorang pengemis yang menumpang hidup di buana Allah SWT ini.

Untuk menemui manusia ini mudah, pada sebelah pagi datang saja ke Restoran Old Town (Kedai Mamak Hamzah) Bandar Lama, kerana kegemarannya teh tarik dan roti canai.

Siapakah saudara maranya? Sudah tentu orang Kuala Semantan. Andai kata Orang Kaya Dato’ Bahaman dan Pak Sako serta pejuang-pejuang lain kelahiran sini masih hidup, barangkali mereka akan menangis...

Walaupun sudah merdeka daripada tangan Inggeris, ada juga nasib anak bangsa yang seperti ini!



3 comments:

  1. salam,
    yg beginilah kita Pas, parti yg perjuangkan Islam mesti bantu, tp mana pemimpin2 kita?

    ReplyDelete
  2. Setahu saya dia ni bukan orang Kuala Semantan. Asalnya orang Paya Pasir jalan Maran. Semasa mudanya dia adalah seorang yang ramai kawan. Sebahagian besarnya adalah pemandu teksi. tapi ramai yang dah meninggal dunia. Mengikut certianya dia pernah beristeri tetapi telah bercera dan tinggal bersama anak saudaranya. Sikapnya yang panas baran dan tidak akan mengendahkan cakap orang lain menyebabkan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang aktiviti hariannyanya. Tiap hari dia akan ke Bandar Temerloh. Agak sukar untuk kita katogerikan dia sebagai pengemis. Dia tidak meminta-minta wang untuk sara hidup dan membeli itu ini. Baginya cukup sekadar dapat makan roti canai, teh tarik dan rokok. Dulu dia adalah insan yang sempurna tetapi terpaksa dipotong kakinya kerana penyakit kencing manis yang kronik. Bagi saya kita tidak boleh menyalahkan keluarganya yang membiarkan dia begitu... kalau kita berkesempatan, hulurkanlah hulurkanlah bantuan kepadanya sekadar untuk dia menikmati makanan kegemarannya

    ReplyDelete
  3. Mungkin saudara yang menulis di atas lebih mengenali insan malang ini, berbanding saya yang hanya tahu hal ehwalnya menerusi perbualan singkat dengannya. Ketika beliau masih sihat seperti yang saudara ceritakan itu, saya sudah mengenalinya dengan maksud pernah bertemu dengannya. Kebetulan saya bersekolah di bandar Temerloh, dan pada ketika itu saya masih kecil, masih belajar dan belum mengerti banyak hal. Tapi saya membesar di tengah bandar Kuala Semantan ini.

    Cuma seingat saya, ketika sihatnya dulu dan pada waktu saya masih dalam persekolahan rendah itu, dia sudah boleh mengubat orang. Kalau tidak silap ingatan saya, ada orang yang menemuinya pada ketika itu untuk meminta ‘ilmu pengasih’. Itu yang saya masih ingat sikit-sikit.

    Maksudnya, mungkin dia agak handal atau mengerti sedikit sebanyak tentang ilmu warisan Melayu itu.

    Jauh sekali saya memaparkan ini untuk mengaibkan keluarganya. Saya hanya tersentuh dengan insan ini apabila melihatkan kelibatnya di bandar saban pagi. Paling merungsingkan saya ialah apabila dia berusaha kuat berulang kali menyeberang lebuh di celah-celah kesibukan kereta yang lalu-lalang sambil mengesot-esot (bahasa Semantan) dengan sebelah kaki. Kerana ini amat membahayakan.

    Saya rasa, demi sifat-sifat kemanusian, adalah lebih baik jika ada inisiatif daripada pihak berkuasa menempatkannya di sebuah rumah kebajikan atau rumah orang tua. Barangkali inilah alternatif terbaik jika waris atau darah dagingnya tidak mahu menguruskannya.

    Sekali lagi, saya tidak berhasrat langsung untuk mengaibkan sesiapa. Sebaliknya rasa simpati saya terbit setelah beberapa kali berbual-bual dengannya, walaupun dia tidak berminat. Harapan saya hanya tidak mahu melihat insan ini dipandang hina sebagai sampah masyarakat atau kemalangan menimpanya sambil kita membiarkannya!

    Itu saja.

    ReplyDelete