Monday, January 17, 2011

Aktivis PAS rayu bantuan untuk bedah buah pinggang anak

Harakahdaily

TEMERLOH: Ketua Penaja PAS Cawangan Kampung Lebak Seberang, Musaiyeb Dollah, 72, merayu sumbangan wang orang ramai bagi meringankan beban kos pembedahan buah pinggang anaknya awal bulan depan.

Musaiyeb yang menemui Harakahdaily di sini berkata, anaknya Nor Hasidah, 20, disahkan perlu menjalani pembedahan buah pinggang sebelah kanan kerana didapati rosak setelah menjalani pemeriksaan di Kuantan Medical Centre (KMC) dua minggu lalu.

Menurutnya, anaknya yang juga bekas pengawas Sekolah Menengah Abu Bakar Temerloh yang sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu dijadual akan menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bulan depan.

“Saya pesara tentera tetapi tak dapat pencen kerana tak cukup servis dan hanya kerja kampung sahaja. Jadi saya merayu sumbangan orang ramai yang sudi membantu,” rayunya.

Katanya, anak bongsunya daripada 9 beradik itu mula dikesan menghadapi masalah buah pinggang setelah pulang daripada mengikut rombongan pengawas sekolahnya ke Kemaman beberapa bulan lalu apabila keseluruhan badannya bengkak.

“Pada masa itu baru menyambut awal Ramadhan. Dia dimasukkan ke wad Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh selama 9 hari.

“Ada juga saya bawa dia menjalani rawatan tradisional dan alternatif, tetapi keadannya semakin tenat sehinggalah pihak hospital syorkan menjalani pembedahan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun Kuala Semantan Ahmad Zuber Omar telah melancarkan tabung kutipan derma bagi membantu Musaiyeb.

Bagi yang ingin melakukan amal jariah bolehlah memasukkan sumbangan ke akaun beliau di BSN: 06400-29-00029194-3. Untuk keterangan lanjut bolehlah menghubunginya di talian: 09-2799168.



No comments:

Post a Comment