MARAN: Seorang pemuda parah apabila bahagian mukanya dikelar ketika bergelut dengan tiga penyamun bersenjatakan parang dalam satu kejadian samun di Kampung Bukit Lada di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa, Roshadi Rosli, 39, yang tinggal berdua bersama ibunya, Habesah Maamor, 61, sedang tidur di bilik berasingan di kedudukan bertentangan.
Habesah berkata, bunyi bising seperti orang sedang bergaduh di selang seli dengan jeritan mengejutkannya sebelum bertindak memanggil nama mangsa.
Menurutnya, panggilannya hanya disahut mangsa, namun dengan nada menjerit yang sukar difahami keadaan sebenar sedang berlaku.
”Saya panggil nama Adi berkali-kali tetapi bunyi di bilik anak saya semakin bising seakan Adi sedang bergaduh.
”Pada mulanya saya tidak mencurigai sebarang kejadian buruk kerana Adi sering mengingau, jauh sekali terfikir rumah kami dimasuki penyamun,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.
Habesah berkata, ketika terus mencuba memanggil akhirnya anaknya itu menjerit menyuruhnya melarikan diri.
Menurutnya, permintaan itu tidak diendahkan kerana masih samar dengan apa yang sedang berlaku dan tidak lama kemudian, suasana kembali sunyi.
“Maka saya fikir, Adi sedang mengingau dan berbaring semula untuk tidur sebelum pintu bilik saya diketuk seseorang.
”Saya sangka itu Adi lalu memanggil namanya namun tidak berbalas dan secara tiba-tiba, pintu bilik dihentak kuat sehingga tercabut,” katanya.
Habesah terkejut dan tergamam apabila seramai tiga lelaki bersenjatakan parang dengan dua daripadanya bertopeng meluru masuk lalu menghunus parang dan diletakkan di lehernya.
Menurutnya, suspek mengarahkannya supaya tidak bersuara dengan mengugut untuk membunuh anaknya jika gagal berbuat demikian.
”Tangan saya diikat ke belakang dan dua lagi suspek menyelongkar seluruh rumah. Mereka berjaya membawa lari RM600 dan barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya.
Habesah berkata, selepas suspek melarikan diri, dia bertindak lari ke rumah jirannya dengan menggigit kain yang terbuka ikatan dan tangan terikat untuk mendapatkan pertolongan.
Menurutnya, dia dan jiran terkejut apabila mendapati Adi terkulai dalam keadaan lemah di penjuru bilik dengan muka berlumuran darah.
”Kami cuba membantu mengangkat Adi yang mengerang kesakitan sebelum menghubungi polis. Adi kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh,” katanya.
Adik mangsa, Mohd Shah, 33, berkata, abangnya dilaporkan stabil dan masuk ke bilik bedah pada jam 6 petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin mengesahkan kejadian itu dan polis sedang giat memburu ketiga-tiga suspek.
~ Sinar Harian
Sementara itu Yang Di Pertua PAS kawasan Maran Ustaz Ramli Abdul Rahman, ketika dihubungi mengesahkan peristiwa berkenaan dan menziarah ibu mangsa di Kampung Bukit Lada.
Beliau bercadang untuk menggerakkan tabung kutipan derma bagi rawatan mangsa.
No comments:
Post a Comment