Saturday, January 29, 2011
Isu Interlok: Pemimpin Umno mengalah kerana lemah
KUANTAN: Seperti dijangkakan, demi undi dan pilihan raya Umno sanggup mengalah dengan tuntutan parti komponen BN MIC dalam isu Interlok apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup membelakangkan pertubuhan Melayu yang faham tentang nilai kreatif sastera.
Sehubungan itu, banyak pihak melihat keputusan tergesa-gesa dibuat merupakan strategi rapuh Umno dan amat merugikan apabila satu hari khazanah negara ini akan kehilangan lebih banyak pusaka Melayu.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Alang Ahmad Teh, 72, menganggap pemimpin Umno lemah apabila bersetuju dengan tekanan MIC berhubung isu novel Interlok.
AJK Persatuan Sejarah Pahang itu berkata, isi novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu tidak sepatutnya dipinda atau dihapus kerana ia merupakan penulisan sejarah yang perlu diketahui oleh generasi muda hari ini
Media melaporkan semalam, Muhyiddin mahu meminda kepada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India sebagai syarat novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima di ebberapa negeri di negara ini.
Kata Muhyiddin, keputusan mengekalkan novel tersebut dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik.
“Sepatutnya pemimpin Umno mesti memberi kefahaman dan keyakinan kepada kaum India berhubung novel berkenaan, bukannya mengalah dengan meminda karya sasterawan negara itu kerana ia merupakan novel sejarah yang menceritakan keadaan pada satu waktu dulu menurut tanggapan penjajah.
“Umpamanya, saya difahamkan dalam novel tersebut yang berkaitan dengan orang Melayu ada disebut bahawa orang Melayu malas. Kalau nak diikut memang orang melayu pun marah sebab orang Melayu sekarang dah rajin... tapi apa boleh buat, itulah tanggapan British.
“Saya dengar ada perkataan ‘pariah’ dalam novel tersebut yang amat dimarahi sesetengah pihak, tetapi jika kita rujuk sejarah memang puak itu yang telah dibawa penjajah British ke sini untuk masuk ke industri pekerjaan dah perkara itu telahpun menjadi sejarah,” katanya.
Tambahnya, ada satu lagi perkataan yang mungkin sensitif iaitu perkataan “keling”. Tetapi bagaimana dengan nama Tanjung Keling di Melaka dan Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, apakah itu perlukan perubahan.
Alang yang juga bekas wartawan akbar Utusan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pemimpin Umno mengalah kerana mengambil kira faktor pilihan raya kecil (PRK) Tenang dan pilihan raya umum (PRU) akan datang supaya tidak kehilangan undi kaum India.
Seorang lagi AJK DPMP, Abdul Kadir Abdul Manap, turut mempersoalkan tindakan meminda karya sasterawan negara kerana apabila dipinda di sana-sani akan membuang nilai kreatif seorang pengkarya.
“Bagaimana nilai sebuah karya kreatif seorang sasterawan negara boleh diterima dengan pindaan? Bayangkan, sebuah novel yang telah siap berpuluh tahun lalu boleh ditokok tambah atau dibuang mana-mana yang tidak disukai.
“Apabila pindaan dibuat atas sensitiviti perkauman pada masa ini, bermakna novel ini dipinda kerana survival politik dan karya sasterawan negara yang menjadi mangsa,” jelasnya.
Abdul Kadir yang juga penggiat filem berkata, jika pemimpin Umno boleh mendengar pandangan orang politik, kenapa tidak boleh mendengar pandangan sasterawan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment