Thursday, December 26, 2019

Isu Tanah Cameron Highlands: PAS Pahang sokong Kerajaan Negeri

PAS Pahang menyokong penuh tindakan kerajaan Negeri dalam mengambil tindakan terhadap isu pencerobohan yang berlaku di rizab sungai dan rizab jalan yang berada dalam kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Telom baru-baru ini.


Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam kenyataan medianya memberitahu, loji air Kuala Terla adalah penting kerana ianya menjadi sumber air kepada lebih 70 peratus keperluan air bersih di Cameron Highlands yang melibatkan 8,332 akaun pengguna.

Tambahnya, Penerokaan tanah secara haram dan tanpa kawalan bukan sahaja  mengundang risiko berlakunya tanah runtuh malahan penerokaan tanah haram bagi aktiviti pertanian di kawasan berhampiran sumber air juga akan terdedah kepada berlakunya keracunan.

“Kerana itulah pihak kerajaan terpaksa melakukan operasi bagi mengelakkan kawasan tadahan air (water catchment) untuk muka sauk (intake) Ipoh Road di Kuala Terla daripada terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja.Tindakan ini sangat bersesuaian bagi tujuan memelihara kepentingan rakyat.

“PAS Pahang bukan sahaja menyokong tindakan ini, malah mengharapkan pihak kerajaan Negeri terus menerus berusaha membenteras pencerobohan yang mendatangkan akibat buruk pada rakyat tidak kira dimana sahaja bukan hanya di Cameron Highlands dan tindakan tegas  mesti diambil kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan kaum sekalipun.

“Bagi PAS, kepentingan dan keselamatan rakyat adalah menjadi keutamaan. Dalam menyokong sesuatu tindakan, ketegasan pihak kerajaan dan YAB Menteri Besar Pahang dalam isu ini adalah bertepatan dengan tujuan untuk memelihara kepentingan rakyat secara keseluruhannya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ustaz Rosli menyarankan agar mana-mana pihak yang ingin memajukan tanah sama ada untuk pertanian atau apa jua aktiviti,  agar dapat mematuhi syarat dan undang-undang. Justeru, berharap agar pihak kerajaan juga mempermudahkan lagi urusan kepada mereka yang layak agar kes pencerobohan tanah haram ini dapat dikurangkan seterusnya dapat dibendung.

Khamis lalu, kira-kira 200 orang telah berhimpun  bagi membantah dan menghalang operasi Ops Lestari 2 untuk merobohkan kebun sayur haram dan struktur bangunan di kawasan tanah tinggi itu menyebabkan 7 daripadanya ditahan apabila enggan bersurai.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 9 Disember lalu bersetuju Op Lestari 2 diteruskan bermula 16 Disember lepas.

Pada 7 September lepas, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika meninjau kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya di Sungai Ichat bertitah agar pencerobohan di lokasi berkenaan dihentikan segera.



No comments:

Post a Comment