Thursday, October 24, 2019

Penduduk Perumahan Sejahtera perlu pembelaan

Ustaz Mujib (tiga, kiri) meninjau kawasan perumahan yang terbiar

Projek Rumah Sejahtera atau Rumah 20 di Kampung Teluk Melati Chenor, Maran dahulunya begitu gah dan dibanggakan sebagai  projek perintis Program Sejahtera yang bermatlamat membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan antara penduduk desa dan bandar.


Projek kerajaan terdahulu, penempatan berkenaan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri (ketika itu) Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2009.  

Namun selepas itu, pelbagai kerosakan telah berlaku malangnya tiada pihak yang tampil membantu, apatah lagi setelah pertukaran kerajaan baharu.

Baru-baru ini Adun Chenor Ustaz Mujibur Rahman Ishak bersama Penghulu Mukim Kertau En. Khairul Azman, turun padang mendengar  aduan penduduk perumahan tersebut setelah kerap kali diajukan persoalan dan rungutan.

Antara masalah yang ditimbulkan ialah tiada wang peruntukan untuk membaik pulih rumah-rumah berkenaan sedangkan banyak pintu , tingkap dan tangki tandas rosak.

Kata mereka, jika masalah berlanjutan kualiti kehidupan penduduk akan terjejas selain mengundang risiko jika dibiarkan berterusan.

Penduduk sangat mengharapkan ada peruntukan kewangan bagi membantu mereka.

“Kami hanya menumpang sahaja disini bukan pemilik tanah dan rumah ini,” kata wakil penduduk yang ditemui.

Sementara itu, Ustaz Mujib turut mengharapkan pihak agensi kerajaan yang terbabit agar segera menangani masalah tersebut dengan mengenepikan kepentingan atau dendam politik sebaliknya mendahulukan rakyat.

Program Sejahtera merupakan projek naungan Sekretariat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi Syarikat Milik Kerajaan (PCG) yang memperkenalkan pendekatan lestari dalam membasmi kemiskinan tegar dan sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk mencapai kemiskinan sifar menjelang 2010.

No comments:

Post a Comment