Dewan Pemuda PAS Negeri
Pahang membantah penutupan UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah,
Rompin bermula Jun 2020 dan menganggapnya sebagai ‘mengambil langkah ke
belakang’.
Dalam satu kenyataan yang
diedarkan kepada media, ketuanya Ustaz
Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP)
melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan keputusan yang dikeluarkan daripada
persidangan Lembaga Pengarah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 26
September 2019 yang memberi mandat kepada pengurusan universiti bagi
melaksanakan Pelan Integrasi dan Operasi Kampus Berpusat sekaligus membawa
kepada penutupan UNITEN kampus berkenaan.
Beliau yang juga ADUN Tahan berkata, dalam usaha negara giat
melahirkan modal insan kelas pertama, keputusan ini jelas satu langkah
terkebelakang pihak UNITEN dalam menyelesaikan isu kos dan kurang pelajar di
UNITEN Muadzam Shah.
“Langkah penutupan ini
bukanlah solusi terbaik untuk menyelesaikan isu asas UNITEN Muadzam Shah sejak
awal penubuhannya. Isu ini seharusnya diuruskan dengan lebih kompeten dengan
mengambil kira kepentingan setempat dan kesan jangka masa Panjang.
“UNITEN dicadangkan untuk
mengggiatkan promosi dan menggalakkan penyertaan golongan muda setempat
khususnya di Pahang Timur dan negeri-negeri Pantai Timur yang lain untuk turut
serta mengikuti pengajian tinggi dan sederhana di UNITEN dengan fokus dalam
bidang pengurusan, perniagaan, akauntan dan sebagainya.
“UNITEN Muadzam Shah yang
telah hampir 20 tahun operasinya sejak 2001 merupakan antara nadi utama dalam
menghidupkan sosio-ekonomi Bandar Muadzam Shah. Bandar ini yang diinspirasikan
oleh Tun Abdul Razak untuk menjadi sebuah bandar pendidikan yang memiliki
pentadbirannya sendiri sangat membantu dalam pertumbuhan pembangunan dan taraf
hidup masyarakat setempat di kawasan Pahang Tenggara dan Selatan,” jelasnya.
Tambahnya, penutupan UNITEN
sudah tentu akan memberi impak yang besar kepada komoniti setempat sekaligus
merencatkan kerancakan pembangunan Muadzam Shah menjadi sebuah Bandar Hub
Pendidikan.
“Kami juga melahirkan rasa
terkilan dengan keputusan pihak pentadbiran khususnya pihak Tenaga Nasional
Berhad (TNB) ini yang tidak mengambil kira tanggungjawab sosial korperat (CSR)
mereka dalam memutuskan keputusan ini. TNB sebagai antara gergasi GLC kerajaan
sewajarnya tidak terlalu memikirkan keuntungan semata-mata dalam setiap
tindakan dan keputusan mereka memandangkan mereka juga ‘hidup’ dengan
keuntungan yang dikaut daripada poket rakyat jelata.
“Seharusnya TNB menjadi
pemain utama dalam membantu membangunkan negara dan rakyat khususnya dalam
sektor pendidikan tinggi.
“Kami ingin menegaskan
bahawa penutupan UNITEN kampus Muadzam Shah adalah langkah terkebelakang dan
sangat merugikan rakyat di negeri Pahang khususnya di kawasan Pahang Tenggara
dan Selatan. Kami mendesak keputusan ini dikaji semula dengan lebih teliti
dengan mengambil kira semua faktor untuk jangka masa panjang,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment